Pindaan Perlembagaan Mengasingkan Kuasa Persempadanan Dari SPR Ke Badan Bebas

Pasukan analisa data di INVOKE telah juga menyemak cadangan persempadanan semula yang dikemukakan oleh SPR. Selain dari maklumat-maklumat yang telah sedia diketahui setakat ini, pola yang jelas ialah persempadanan ini akan mengurangkan kerusi-kerusi campuran kerana peralihan pengundi yang besar secara majoritinya melibatkan kerusi Parlimen campuran dan pengundi bukan Melayu.

Senarai kedudukan peralihan pengundi yang melebihi 10% adalah seperti berikut:

PERTAMBAHAN >10% PENGUNDI
Kod Lama | Negeri | Nama Lama | Kod Baru | Nama Baru | Pengundi PRU14| Pengundi PRU13 | Jumlah Dipindahkan | % Pertambahan

redeline1

Dari senarai 15 kerusi di atas, hanya 4 kerusi membabitkan kerusi yang ditandingi UMNO. Kerusi-kerusi lain sebanyak 11 kerusi adalah kerusi yang ditandingi parti komponen BN bukan Melayu iaitu MCA, MIC, Gerakan dan PPP.

PENGURANGAN >10% PENGUNDI
Kod Lama | Negeri | Nama Lama | Kod Baru | Nama Baru | Pengundi PRU14| Pengundi PRU13 | Jumlah Dipindahkan | % Pertambahan

redeline2

Begitu juga dengan kerusi yang mengalami kekurangan undi yang mendadak – hanya 6 kerusi yang ditandingi UMNO, selebihnya (6 lagi) adalah kerusi yang ditandingi parti komponen bukan Melayu BN iaitu MCA dan MIC.

Oleh yang demikian, jelas bahawa kesan jangka panjang persempadanan semula seperti ini adalah menghapuskan kerusi-kerusi campuran di seluruh negara yang menyebabkan kerusi majoriti Melayu (>70% pengundi Melayu) naik mendadak setiap kali persempadanan.

Ini bermakna setiap kali ada persempadanan semula, parti-parti komponen bukan Melayu BN akan hilang kerusi kerana kerusi campuran yang ditandingi mereka kini bertukar menjadi kerusi majoriti Melayu yang dituntut oleh UMNO. Pada masa yang sama, suara pengundi bukan Melayu dikurangkan apabila pengundi dilambakkan di dalam satu kawasan tetapi dengan jumlah yang banyak (contoh Damansara dengan pengundi sebanyak 150,439 berbanding Parit dengan pengundi 33,368).

Bodohlah parti-parti komponen BN bukan Melayu seperti MCA, MIC, Gerakan, PPP dan lain-lain yang tidak boleh membaca permainan UMNO: dalam 2 pilihanraya sahaja mereka boleh menghapuskan terus kerusi-kerusi MCA, MIC, Gerakan, PPP dan lain-lain dengan cara ini. Akhirnya UMNO akan bertanding 90% dari kerusi Parlimen dan selebihnya diagihkan di antara parti-parti bukan Melayu.

Oleh sebab itu, saya mengucapkan tahniah kepada Gerakan yang telah pun menyatakan secara terbuka bahawa mereka menentang cadangan persempadanan ini.

Saya telah berbincang dengan sukarelawan profesional muda di dalam INVOKE dan berpendapat ini adalah isu politik, maka jalan penyelesaian untuk menghentikannya mestilah juga secara politik (bukan secara undang-undang pilihanraya semata-mata).

Maka, saya akan mengemukakan satu rang undang-undang persendirian untuk meminda Bahagian VIII Perlembagaan Persekutuan , Perkara 113 mengenai perjalanan pilihanraya. Pindaan tersebut akan mengasingkan kuasa melaksanakan persempadanan semula dari SPR dan dipindahkan kepada satu badan bebas yang ditubuhkan untuk melakukan persempadanan semula secara adil dibawah satu perkara baru iaitu Perkara 113A.

Mengikut Peraturan Dewan, rang undang-undang persendirian ini hendaklah dihantar kepada Dewan Rakyat selewat-lewatnya hujung bulan September ini supaya dapat dibawa di dalam sidang akan datang.

Saya akan membincangkan perkara ini dengan ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan yang lain iaitu YB William Leong (Selayang), YB Hanipa Maidin (Sepang) dan YB Gobind Singh Deo (Puchong) supaya rang undang-undang meminda perlembagaan ini akan dikemukakan secara bersama oleh ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan.

Pada masa yang sama, kumpulan sukarelawan INVOKE akan melancarkan kempen untuk mendapatkan sokongan semua pihak – rakyat perseorangan, tokoh masyarakat, wakil-wakil rakyat, pimpinan tinggi perkhidmatan awam, persatuan, parti-parti politik dan Majlis Raja-raja untuk menyokong pindaan perlembagaan ini.

Kempen ini meliputi 3 aktiviti:

1. Kempen secara online yang akan dilancarkan akhir hari ini di www.invokemalaysia.org dan di laman FB @INVOKE Malaysia. Ia akan diiklankan di portal-portal berita utama

2. Kempen kumpulan untuk mendapatkan sokongan dari tokoh masyarakat, wakil-wakil rakyat, pimpinan tinggi perkhidmatan awam, persatuan, parti-parti politik dan Majlis Raja-raja

3. Kempen sukarelawan untuk mendapatkan pengundi-pengundi di kawasan-kawasan yang dipindahkan (contohnya Bandar Utama dan Bandar Sri Damansara) yang undi mereka dihilangkan di peringkat Parlimen untuk menjadi sukarelawan INVOKE berkempen di kawasan-kawasan marginal yang dimenangi Umno/BN. Sukarelawan INVOKE akan mula bergerak rumah ke rumah pada hari Khamis ini di Bandar Utama.

Oleh itu, saya menyeru setiap ahli parlimen baik dari Pakatan Harapan atau Barisan Nasional untuk menyokong pindaan Perlembagaan ini untuk mengekalkan ciri kepelbagaian kaum dan suara minoriti di negara ini. Nama setiap ahli parlimen yang menyokongnya akan disiarkan di laman INVOKE dan begitu juga yang menentangnya.

Saya yakin cadangan pindaan Perlembagaan Perkara 113 ini akan memecahkan BN seperti mana isu hudud digunakan untuk memecah belahkan harmoni Pakatan Rakyat sebelum ini. Jika Dato’ Seri Najib berpandangan jauh, cadangan persempadanan semula itu sepatutnya dibatalkan secepat mungkin sebelum kempen ini pergi lebih jauh.

Rafizi Ramli
Rashad Tajuddin

Bagi pihak INVOKE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.