Kempen #KAU #MalaysiaTakPerlukanHero Rekrut Anak Muda Dan Rakyat Bukan Partisan

kau_fb_cover_1

kau_poster-02

Kecelaruan politik yang melanda sejak setahun lepas memerangkap rakyat dengan satu dilemma: sementara rakyat rata-ratanya tidak bersetuju dengan kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak, mereka juga tidak yakin parti-parti politik yang ada dapat menyelesaikan perbezaan untuk bersatu menghadapi Umno/Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).

Desas-desus bahawa PRU14 boleh dipanggil seawall Mac 2017 boleh memerangkap parti-parti pembangkang jika jentera tidak dipersiapkan lebih awal. Jika Dato’ Seri Najib dan Umno/Barisan Nasional kekal memerintah akibat kelemahan organisasi politik parti lawan, ia boleh menyebabkan rakyat marah dan jemu dengan proses demokrasi.

Pada masa yang sama, rakyat Malaysia tidak boleh terus berharap kecelaruan politik akan diselesaikan oleh orang lain terutamanya pimpinan politik. Sikap yang suka menyerahkan nasib kepada golongan pemimpin di atas sementara rakyat melepaskan kemarahan di laman media sosial adalah sesuatu yang negatif dan wajar dibaiki.

Satu komponen yang paling penting untuk menukar keadaan politik dan ekonomi negara ialah menggembleng kuasa rakyat untuk menggerakkan sebarang usaha menukar kepimpinan negara. Oleh itu, satu platform yang tidak partisan (tidak memilih parti) tetapi berasaskan prinsip dan nilai politik yang baik adalah diperlukan untuk menggembleng tenaga rakyat biasa ini untuk turun gelanggang menyertai usaha menukar kepimpinan negara.

Dengan cara ini, usaha menukar Dato’ Seri Najib dan kerajaan tidak diserahkan bulat-bulat kepada pimpinan parti-parti politik.

Atas kesedaran ini, INVOKE ditubuhkan untuk memberi platform kepada rakyat Malaysia yang tidak gemarkan politik kepartian tetapi mahu menyumbang kepada usaha menukar kerajaan dan kepimpinan negara. Ramai di kalangan anak muda sekarang adalah tergolong di dalam kumpulan ini.

Untuk memastikan INVOKE mempunyai kesan yang mendadak di akar umbi, saya telah mendermakan RM300,000 dari simpanan untuk membiayai organisasinya yang diuruskan secara profesional. Derma-derma dari golongan professional juga sudah mencecah RM80,000 dalam bulan pertama INVOKE ditubuhkan. Saya percaya apabila promosi dijalankan secara besar-besaran bermula minggu ini, derma dari orang ramai akan terus meningkat untuk membiayai kempen akar umbi oleh rakyat biasa yang mahukan perubahan.

Sejak beroperasi awal Ogos 2016, INVOKE telah mendaftarkan 763 sukarelawan. Aktiviti merekrut sukarelawan diadakan setiap minggu dan akan digiatkan bermula minggu ini dengan sasaran 30,000 sukarelawan dari seluruh negara menjelang Mac 2017.

Bermula minggu ini juga, saya akan turun ke kerusi parlimen marginal untuk merekrut dan melatih sukarelawan rakyat biasa sebagai persiapan menghadapi PRU14. Mereka akan membantu dan bekerja bagi mana-mana calon dari mana-mana parti yang bersetuju dengan prinsip-prinsip politik yang INVOKE tetapkan.

Calon itu juga perlu bersetuju dengan #ProjekBuangNajib iaitu satu gerakan politik akar umbi yang dicetuskan INVOKE dengan pendekatan menyokong calon yang paling berpeluang besar menewaskan calon Umno/Barisan Nasional di kerusi-kerusi marginal.

Saya akan berada di Ledang, Batu Pahat dan Pasir Gudang di Johor pada hari Jumaat, 16 September ini untuk merekrut dan melatih sukarelawan yang menyahut kempen ini dengan tema #KAU #MalaysiaTakPerlukanHero bertujuan menyedarkan rakyat terutamanya anak muda bahawa merekalah yang berkuasa (#KAU) dan jangan berharap kepada pimpinan politik semata-mata (#MalaysiaTakPerlukanHero) untuk menukar Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya akan terus membantu INVOKE dalam bulan-bulan awal untuk mereka mencapai sasaran sukarelawan dan pengaruh di bahagian akar umbi.

Minggu depan, INVOKE akan mengumumkan inisiatif pendaftaran pengundi baru yang tidak pernah dicuba di negara ini dan diyakini akan menarik minat orang muda.

Maklumat lanjut mengenai INVOKE boleh didapati di www.invokemalaysia.org atau di laman FB @INVOKE Malaysia


Dikeluarkan oleh:

Rafizi Ramli
Bagi pihak INVOKE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.