Belanjawan Tambahan 2015: Laporan Terperinci Ke Atas Kedudukan Kewangan KWAP Dan Kerajaan Negeri

Saya merujuk kepada Rang Undang-Undang Belanjawan Tambahan 2015 yang dibentangkan oleh Datuk Chua Tee Yong dua hari lalu dan akan dibahaskan di dalam sidang Dewan Rakyat kali ini. Saya telah meneliti angka-angka peruntukan tambahan yang dimasukkan dan ada beberapa perkara penting yang perlu diperincikan dan diselidik dengan lebih mendalam.

Pada prinsipnya, amalan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang membentangkan Rang Undang-Undang Belanjawan Tambahan hanya selepas peruntukan tambahan telah dibelanjakan hendaklah dihentikan serta-merta. Ia satu penghinaan kepada Dewan Rakyat apabila Perdana Menteri dan Menteri Kewangan seolah-olah melihat Dewan Rakyat sebagai “rubber stamp” sahaja. Amalan meluluskan peruntukan tambahan yang telah dibelanjakan telah berlarutan sejak sekian lama dan saya merasakan ia perlulah dihentikan segera.

Oleh itu, saya akan mengkaji undang-undang sedia ada dan Peraturan Dewan Rakyat untuk mempertimbangkan memfailkan satu tindakan di Dewan Rakyat agar amalan ini dihentikan serta-merta. Ada dua bentuk tindakan yang boleh dipertimbangkan iaitu memfailkan Rang Undang-Undang Persendirian atau memfailkan usul supaya Peraturan Dewan Rakyat atau akta sedia ada dipinda untuk menghalang amalan meluluskan peruntukan tambahan setelah dibelanjakan. Saya akan memfailkan tindakan ini di dalam sidang Dewan Rakyat Jun 2016.

Saya ingin menumpukan kepada 2 perkara besar yang terkandung di dalam Rang Undang-Undang Belanjawan Tambahan 2015 iaitu peruntukan tambahan untuk tanggungan pencen Kerajaan Persekutuan (sebanyak RM2.3 bilion) dan peruntukan tambahan kepada Kumpulan Wang Pendahuluan Negeri (sebanyak RM240 juta).

Pertambahan perbelanjaan sebanyak RM240 juta kepada Kumpulan Wang Pendahuluan Negeri memberi gambaran kedudukan kewangan sesetengah Kerajaan Negeri yang lemah dan bergantung sepenuhnya kepada suntikan dana dari Kerajaan Persekutuan. Saya khuatir ada sesetengah Kerajaan Negeri yang mungkin menghampiri taraf muflis sekiranya tidak mendapat suntikan kewangan Kerajaan Persekutuan.

Saya akan mengkaji dan meneliti kedudukan kewangan Kerajaan-kerajaan Negeri dan akan membentangkannya kepada umum sebelum berakhirnya sidang Dewan Rakyat kali ini untuk menilai risiko kemuflisan sesetengah Kerajaan Negeri sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak lagi mampu menyuntik dana secara berterusan.

Perkara yang paling membimbangkan saya ialah peruntukan tambahan RM2.3 bilion bagi tanggungan pencen Kerajaan Persekutuan. Mengikut Akta 672 (“Retirement Fund Act”), tanggungan dan pengurusan pencen Kerajaan Persekutuan dan badan-badan kerajaan diuruskan oleh Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).

Kerajaan Persekutuan diwajibkan menyumbang 5% dari jumlah keseluruhan emolumen (belanja penggajian, gratuiti dan kos kakitangan awam yang lain) sementara badan berkanun, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diwajibkan menyumbang 17.5% dari gaji pokok bulanan setiap kakitangan di bawah skim pencen kepada KWAP.

Oleh yang demikian, secara dasarnya, Menteri Kewangan sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk menganggarkan dengan tepat berapa jumlah tanggungan yang perlu diperuntukkan bagi tujuan pencen untuk dicarum di dalam KWAP setiap tahun. Asasnya adalah mudah – jika jumlah keseluruhan emolument tidak berubah, sepatutnya tidak ada peruntukan tambahan (“supplementary budget”) bagi tujuan tanggungan pencen.

Pada dasarnya juga Kerajaan Persekutuan hanya perlu menyuntik dana baru sekiranya kedudukan kewangan tabung KWAP (caruman oleh Kerajaan Persekutuan dan keuntungan dari pelaburan dana oleh KWAP) dirasakan tidak mencukupi untuk membayar pencen kepada kakitangan kerajaan di masa hadapan.

Oleh sebab itu, saya telah meneliti secara kasar prestasi pelaburan KWAP bagi tahun kewangan terakhir yang dipaparkan kepada orang ramai iaitu tahun kewangan 2014. Rumusan prestasi kewangan KWAP adalah seperti berikut (diambil dari Laporan Tahunan KWAP 2014):

5yearfinancial

Jelas bahawa prestasi pelaburan KWAP bagi tahun 2014 adalah lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelum itu: “Accounting Rate of Return (ROI)” dan “Time Weighted Rate of Return (TWRR)” adalah lebih rendah iaitu 4.58% (ROI) dan 4.03% (TWRR).

Iklim pelaburan bagi tahun 2015 adalah lebih buruk dan saya menjangkakan prestasi pelaburan KWAP bagi 2015 adalah lebih buruk selari dengan prestasi dana awam yang lain. Pada masa yang sama, KWAP terpalit dengan kontroversi 1MDB termasuklah risiko kewangan yang besar melalui hutang RM4 bilion kepada SRC, urusniaga kewangan yang lain dan pembelian tanah 1MDB di Tun Razak Exchange.

Oleh sebab itu, saya ingin menimbulkan kebimbangan saya sekiranya jumlah RM2.3 bilion dalam bentuk peruntukan tambahan ini adalah berkait dengan sebarang perbezaan (“shortfall”) di antara jumlah dana yang diperlukan untuk menanggung liabiliti pencen di masa hadapan dan kedudukan kewangan KWAP sekarang.

Saya juga telah cuba mencari Laporan Nilaian Aktuari (“Actuarial Valuation Report”) seperti yang diwajibkan ke atas tabung-tabung pencen di negara lain untuk menilai kedudukan kewangan KWAP dalam menanggung liabiliti pencen di masa hadapan. Saya tidak dapat mengesan sebarang Laporan Nilaian Aktuari dan Akta 672 juga tidak menyebut keperluan mengadakan satu Laporan Nilaian Aktuari seperti yang diwajibkan di negara-negara lain.

Oleh itu, saya akan membawa isu ini ke dalam perbahasan Rang Undang-Undang Tambahan 2015 dan menulis secara rasmi kepada KWAP untuk mendapatkan Laporan Nilaian Aktuari terkini supaya saya dapat meneliti kedudukan KWAP dengan lebih terperinci.

Saya akan membentangkan perkara-perkara ini dalam sidang media yang akan datang.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.