Harga RON95 Bagi Januari 2016 Sepatutnya RM1.80 – RM1.85 Seliter; Batalkan Kenaikan Tambang & Kos Elektrik

Berdasarkan laporan-laporan berikut:

1. Laporan “Weekly Petrol Prices Report” oleh Institut Petroleum Australia yang menyenaraikan harga RON95 seperti didagangkan di Singapura mengikut laporan Means of Platts Singapore (MOPS) bagi minggu berakhir 20 Disember 2015; dan

Download (PDF, 528KB)

Download (PDF, 317KB)

2. Laporan harga minyak mentah Brent bagi bulan Disember 2015 yang diterjemahkan secara anggaran kepada harga MOPS RON95 bagi minggu terakhir Disember 2015 menggunakan kadar tukaran matawang semasa;

Saya menganggarkan bahawa harga petrol RON95 bagi bulan Januari 2016 sepatutnya ditetapkan di antara RM1.80 hingga RM1.85 seliter (iaitu penurunan sebanyak 10 sen hingga 15 sen dari harga Disember 2015).

(Perkiraan dan graf ditunjukkan di dalam Lampiran A).

Saya perlu membandingkan bagaimana penetapan harga RON95 mengikut formula yang digunakan oleh kerajaan ini tidak melambangkan pergerakan harga minyak mentah di pasaran dunia yang terus jatuh secara mendadak seperti graf yang ditunjukkan di bawah:

crudeprice2014-15

Harga minyak mentah Brent dari 2012 hingga 2015 (USD setong)

Walaupun harga minyak mentah di pasaran dunia secara puratanya telah susut sebanyak 66% sejak setahun lalu (dari harga stabil sekitar USD110 setong sehingga Julai 2014 menjadi kepada sekitar USD37 setong dalam minggu terakhir Disember 2015), harga RON95 yang ditetapkan mengikut formula kerajaan susut pada kadar yang lebih perlahan seperti berikut:

Bulan Harga minyak mentah Brent (USD/tong) % kejatuhan harga minyak mentah Harga RON95 (RM/liter) % kejatuhan harga RON95
Julai 2014 110   2.10  
Disember 2015 37 66% 1.95 7%

 

Perbezaan yang besar ini (harga RON95 hanya susut 7% berbanding 66% kejatuhan harga minyak mentah Brent) adalah disebabkan kejatuhan mendadak nilai matawang ringgit berbanding dollar Amerika Syarikat. Oleh yang demikian, harga RON95 yang ditetapkan menggunakan formula yang bergantung kepada kadar tukaran ringgit kepada dollar ini tidak lagi melambangkan kos sebenar seliter RON95 yang sepatutnya dibayar oleh pengguna kerana diherotkan (“distorted”) oleh kadar matawang ringgit yang merudum.

Saya telah mencadangkan sebelum ini supaya satu kaedah penetapan harga baru diperkenalkan dengan menggunakan maklumat kos pengeluaran sebenar loji penapisan minyak di Malaysia yang dikira di dalam ringgit bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan kadar matawang ringgit kepada dollar. Namun, saya yakin konsep ini tidak akan difahami oleh menteri dan tidak akan dilaksanakan selagi Umno/Barisan Nasional berkuasa.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya kerajaan mengembalikan penjimatan harga minyak lebih besar yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat (jika tidak kerana keadaan matawang ringgit yang tidak menentu) dengan cara berikut:

1. Hentikan semua kenaikan tambang yang telah diumumkan setakat ini yang melibatkan pengangkutan awam (seperti LRT, komuter, ERL, bas dan lain-lain) untuk mengambil kira kos bahan api yang semakin murah dan telah mengurangkan kos operasi pengendali pengangkutan awam

2. Mengekalkan rebat elektrik pada kadar 2.25 sen/kWj dan membatalkan pengurangan rebat kepada 1.52 sen/kWj yang diumumkan baru-baru ini untuk memastikan kos elektrik yang ditanggung rakyat berkadar dengan kejatuhan kos bahan api

Saya juga menunggu reaksi Saudara Khairy Jamaluddin kepada cadangan ini supaya rakyat dapat menilai sama ada beliau benar-benar akan membela kebajikan rakyat dari kenaikan kos yang tidak berpatutan seperti ucapan beliau di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

LAMPIRAN A

crudedec2015

Harga minyak mentah Brent bagi Disember 2015 (USD setong)

 

exchangeratedec2015

Kadar matawang RM kepada AUD bagi Disember 2015

2 thoughts on “Harga RON95 Bagi Januari 2016 Sepatutnya RM1.80 – RM1.85 Seliter; Batalkan Kenaikan Tambang & Kos Elektrik”

  1. Tuan Rafizi,

    Boleh saya tahu kenapa Tuan menggunakan harga minyak Brent disebalik MCO OSP untuk minyak Malaysia dimana harganya sedikit premium jika dibandingkan dengan Brent.

    Saya juga difahamkan bahawa harga minyak mempunyai harga jualan yang berlainan untuk setiap ‘gate’. Sebagai contoh, di ‘wellhead’, di ‘pipeline’, di ‘Tanker’, di ‘retailer’ etc. Sudikan Tuan berkongsi cara pengiraannya kerana di Platts agak susah untuk mendapatkan harga sedemikian yang lebih telus untuk rakyat. MCO OSP juga tidak diwartakan pada dada akhbar secara meluas

  2. Bagaimana cara saudara Rafizi mengira harga RON 95 pada harga 1.80-1.85? Boleh tolong kongsi? Sebab ikut kiraan saya sepatutnya harga seliter RON 95 adalah dalam lingkungan harga 1.50-1.60. Dengan mengunakan harga purata Brent pada bulan 12 lebih kurang USD 38 setong dan purata USD/MYR dalam lingkungan 4.2850. Kenapa boleh jadi 1.85???

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.