Siasatan Di Bawah Akta Hasutan Kes Buku Reformasi2.0

Saya telah memberi persetujuan untuk diambil kenyataan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari ini jam 5 petang untuk satu siasatan di bawah Akta Hasutan.

Kertas siasatan itu dibuka ekoran dari laporan polis yang dibuat terhadap satu buku kecil yang saya tulis berjudul “Reformasi2.0: Fakta Kes Anwar Ibrahim” yang memperincikan keterangan-keterangan yang diberikan di dalam perbicaraan kes sodomi terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Ini bukanlah kali pertama saya disiasat dalam saya menjalankan tugas saya sebagai seorang aktivis politik, jadi ia tidak menghairankan.

Pun begitu, keghairahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka siasatan dan Peguam Negara mengenakan dakwaan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat pada ketika tiada tindakan diambil terhadap kenyataan-kenyataan perkauman yang sengaja dibuat untuk menimbulkan ketegangan membuktikan bahawa kaedah undang-undang digunakan untuk menekan dan menakut-nakutkan pimpinan Pakatan Rakyat.

Saya tidak akan gentar dan akan memastikan buku Reformasi2.0 itu yang kini telah mencecah 20,000 jualannya di seluruh negara akan dicetak dan dijual dengan lebih hebat lagi.


RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

14 Mei 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.