Barisan Nasional Luluskan RM50 Juta Dana Berasingan Kepada NSERC

Sebelum ini, saya telah sertakan perutusan surat-menyurat di antara sebuah syarikat iaitu NSE Resources Corporation Sdn Bhd (NSERC) dan Dato’ Ser Najib Tun Razak yang meminitkan pertimbangan agar NSERC diberikan dana sebanyak RM100 juta untuk membiayai projek komersilnya.

Mengikut rekod NSERC sendiri, di dalam satu surat kepada Kerajaan Negeri Terengganu bertarikh 27 Januari 2014, selain dari dana awam berjumlah RM100 juta di bawah geran R&D yang dikelolakan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI), syarikat yang sama juga telah dianugerahkan satu lagi dana berasingan di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air). Salinan surat dari NSERC kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) mengenai perkara ini ada dilampirkan bersama.

Download (PDF, 187KB)

Ini bermakna, sebuah syarikat swasta iaitu NSE Resources Corporation Sdn Bhd telah berjaya mendapat peruntukan dana awam sebanyak RM150 juta dari dua kementerian berbeza untuk mengusahakan projek komersilnya. Malah, jumlah RM150 juta ini melebihi dari kos projeknya yang dimaklumkan kepada MOSTI iaitu RM130 juta.

Jumlah RM150 juta adalah satu jumlah yang sangat besar dan tidak wajar dibenarkan diperuntukkan kepada sebuah projek komersil milik syarikat swasta seperti ini.

Sejak saya mendedahkan perkara ini bermula hari Isnin lepas, tidak ada satu kenyataan pun dari Perdana Menteri atau kementerian-kementerian terbabit. Saya hanya dihubungi melalui SMS oleh seorang yang mengakui pegawai Dato’ Seri Najib Tun Razak memohon untuk berbincang dan mengesahkan maklumat yang saya dedahkan.

Bukti-bukti yang saya tampilkan setakat ini adalah jelas dan tidak perlulah saya duduk berbincang dengan sesiapa mengenai perkara ini. Saya masih menunggu tindakan dan penerangan rasmi dari pihak kerajaan mengenai skandal yang membabitkan geran R&D dan teknologi hijau yang terbesar setakat ini.

Dato’ Seri Najib wajar melakukan perkara-perkara berikut ekoran dari pendedahan ini:

1. Menghentikan serta-merta kelulusan pemberian dana berjumlah RM150 juta dari dua kementerian ini sehingga siasatan lanjut dimulakan;

2. Membentuk satu panel pakar yang bebas untuk menilai kandungan dan potensi R&D dan pengkomersilan produk yang dicadangkan oleh NSERC dan memastikan proses saringan yang sama dipatuhi untuk mendapatkan geran R&D seperti mana pemohon geran R&D yang lain;

3. Menubuhkan satu panel khas dari Jabatan Ketua Audit Negara untuk menyiasat serta merta keputusan meluluskan dana sebanyak RM150 juta dari kedua-dua kementerian ini.

Yang paling penting, Dato’ Seri Najib perlu menerangkan kepada rakyat apakah hubungan istimewa di antara NSERC dan beliau, atau ahli keluarga beliau, atau Umno, atau sesiapa di kalangan pimpinan Barisan Nasional (jika ada) – yang membolehkan NSERC diberi layanan sedemikian rupa sehinggakan diluluskan dana RM150 juta secara percuma untuk mengusahakan satu projek oleh syarikat tersebut.

Jika tiada apa-apa makluman dari pihak Dato’ Seri Najib, saya akan membuat satu laporan SPRM mengenai perkara ini minggu depan.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

23 April 2014

One thought on “Barisan Nasional Luluskan RM50 Juta Dana Berasingan Kepada NSERC”

  1. Sdr YB Rafizi,

    Terima kasih kerana pendedahan terhadap skandal mega ini, sebelum wang rakyat beratus juta terbang menghilangkan diri tanpa dapat dikesan bagaikan MH370.

    Saya pernah berkhidmat di dalam agensi kerajaan di bawah MOSTI dan amat kenal dengan pemain-pemain yang Sdr sebutkan. Ini adalah contoh yang jelas bagaimana pegawai-pegawai atasan agensi kerajaan dan pihak swasta bersekongkol mengaburi mata pemimpin politik yang jahil tentang teknologi tinggi dan prinsip asas ekonomi dan industri berselindung disebalik FDI (Foreign Direct Investment) yang dikatakan dapat menjana GNI berbilion ringgit.

    Pegawai-pegawai atasan dapat perkukuhkan kedudukan mereka dengan gaji dan bonus yang lumayan di samping dapat berjalan ke serata dunia di atas nama mendapatkan FDI. Ahli-ahli politik pula bergaya dengan majlis pecah tanah, perjanjian MOU dll dan mendabik dada mereka berjaya menarik pelabur asing. Manakala pelabur asing pula dapat mendirikan perniagan mereka dengan kos yang murah…dengan menyapu wang pembayar cukai! Sudahlah mereka dapat status bebas cukai, dalam kes NSCRC ini CJ-AKEMA di Kemamam Bio Polymer Park dapat bekalan “steam” yang murah!

    Tahniah YB atas keberanian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.