Menteri Pendidikan Tinggi Mengarahkan PTPTN Menyekat Pinjaman Pelajar Unisel?

Perkembangan terbaru bahawa PTPTN bertindak menyekat pinjaman pelajar Unisel adalah membimbangkan.

Saya juga terkejut dengan satu tweet oleh Dato’ Seri Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi berhubung perkara ini, yang dibuat semalam seperti berikut:

“Unisel boleh hapuskan yuran, dgn sendirinya memenuhi matlamat pendidikan percuma dan penutupan PTPTN yg dilaungkan Anuar dan Pakatan”

Gelagat beliau yang seolah-olah meraikan kepayahan ribuan pelajar dan mengamalkan politik dendam menimbulkan tanda tanya yang lebih besar: apakah beliau sendiri yang mengarahkan agar PTPTN menyekat pinjaman kepada pelajar Unisel sebagai sebahagian dari mainan politik dendam Umno/Barisan Nasional?

Polemik tawaran pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN adalah perkembangan yang sihat dan wajar diraikan. KEADILAN mengambil pendirian bahawa model pendidikan tinggi sedia ada yang mendahulukan pendidikan swasta dengan menghadkan pelaburan di dalam institusi pendidikan awam akan menjerumuskan negara ke kancah hutang seperti yang telah berlaku di negara-negara lain.

Pada masa yang sama, KEADILAN juga yakin bahawa Malaysia mampu menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada rakyatnya berdasarkan kira-kira yang telah dibentangkan kepada rakyat.

Oleh kerana pendidikan tinggi adalah bidang kuasa pusat dan mengikut Perlembagaan dibiayai oleh dana kewangan Kerajaan Pusat, maka sebarang perubahan dalam model pendidikan tinggi negara hanya boleh dilaksanakan secara bersepadu oleh Kerajaan Pusat.

Seharusnya Dato’ Seri Khaled Nordin, sebagai Menteri Pendidikan Tinggi menjadi pemuka yang paling intelek untuk mempertahankan model pendidikan tinggi yang mendahulukan swasta seperti yang diamalkan sekarang, bukannya mengambil sikap kebudak-budakan dengan berdendam dan menghukum pelajar.

Saya juga harus memuji rakan saya Saudara Khairy Jamaluddin yang jelas lebih professional dan berilmu dalam hal ini, sewajarnya beliaulah yang dilantik menjadi Menteri Pendidikan Tinggi oleh Umno/Barisan Nasional bagi menggantikan Dato’ Seri Khaled Nordin.

Saya mencabar Dato’ Seri Khaled Nordin untuk menjelaskan kepada rakyat sama ada tindakan menyekat pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel ini adalah arahan beliau sendiri?

Jika itu benar, tindakan itu perlu dikutuk dan beliau wajar meletakkan jawatan kerana mengamalkan politik berdendam yang tidak lagi sesuai dengan arus politik mutakhir.

Jika beliau tidak terlibat, beliau harus bertanggungjawab campur tangan dan memastikan tindakan kebudak-budakan yang zalim ini tidak akan berlaku lagi di masa akan datang.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI

6 JUN 2012

One thought on “Menteri Pendidikan Tinggi Mengarahkan PTPTN Menyekat Pinjaman Pelajar Unisel?”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.