KEADILAN Dedah Senarai Tanah Rezab Melayu, Tanah Lapang Di Perancangan Felda Yang Dipajakkan

Pada 28 Mei 2012, KEADILAN telah mendedahkan bagaimana Barisan Nasional telah memajakkan Tanah-tanah Rezab Melayu (TRM) yang dianggarkan seluas 105,382 ekar kepada Felda Global Ventures (FGV) yang disenaraikan.

Ini menimbulkan persoalan penting status tanah-tanah ini kerana ia kini dimiliki dan dikuasai oleh sebuah syarikat yang tidak dikuasai oleh Bumiputra, lalu bertentangan dengan undang-undang TRM yang mengekalkan hakmilik di tangan Melayu/Bumiputra.

Prospektus penyenaraian FGV dengan jelas menunjukkan bahawa pegangan peneroka dan kakitangan Felda di dalam syarikat tersebut hanyalah 5.5% sedangkan sejumlah besar saham diperuntukkan kepada syarikat asing dan individu bukan Bumiputra.

Sehingga kini, KEADILAN tidak mendapat apa-apa jawapan dari Dato’ Seri Najib Tun Razak atau pun Tan Sri Isa Samad.

Hari ini, KEADILAN mendedahkan senarai setiap Tanah Rezab Melayu yang telah dipajakkan selama 99 tahun kepada FGV; bermakna hakmilik dan hasil ekonomi dari tanah-tanah ini dipindahkan kepada sebuah syarikat yang status Bumiputranya dipersoalkan.

(Sila rujuk senarai Tanah-tanah Rezab Melayu yang digadaikan seperti yang diedarkan)

Senarai ini adalah lampiran perjanjian pajakan tanah yang ditandatangani di antara FELDA dan FGV bertarikh 1 November 2011.

Saya juga ingin menampilkan satu peruntukan penting di dalam perjanjian tersebut yang menjejaskan pegangan tanah di penempatan FELDA seluruh negara dan mempunyai kesan besar kepada kebajikan peneroka FELDA.

Bersama-sama ini saya lampirkan muka surat 8 dari perjanjian tersebut yang menyenaraikan kumpulan tanah-tanah yang telah dipajakkan ke pasaran saham, seperti berikut:

1. Tanah Sedia Ada (dirujuk sebagai Existing Lands) iaitu 343,484.46 hektar tanah Felda Plantations Sdn Bhd yang dipajakkan, termasuklah Tanah-tanah Rezab Melayu seperti yang saya terangkan di atas;

2. Tanah Sedia Ada Tambahan (dirujuk sebagai Additional Existing Lands) iaitu semua tanah-tanah tidak bergeran yang kini dimiliki oleh FELDA. Ini merujuk kepada semua tanah lapang yang kini dimanfaatkan bagi tujuan kemasyarakatan di penempatan FELDA seperti tapak kedai, padang, surau, jalan dan lain-lain; dan

3. Tanah Akan Datang (dirujuk sebagai Future Lands) iaitu semua tanah yang FELDA bakal perolehi di masa hadapan.
Pendedahan perjanjian ini mengesahkan dakwaan KEADILAN selama ini bahawa semua tanah-tanah tidak bergeran di dalam penempatan FELDA di seluruh negara telah pun dipajakkan ke sebuah syarikat yang dimiliki secara majoriti oleh pelabur swasta, sedangkan tanah-tanah ini menjadi nadi aktiviti kemasyarakatan ekonomi warga FELDA.

Apakah jaminan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad bahawa tanah-tanah ini tidak dijual satu masa kelak; atau kegunaannya diubah dan tidak lagi mengutamakan kebajikan warga FELDA? Apakah jaminan bahawa kedai-kedai runcit kecil yang didirikan di atas tanah-tanah tidak bergeran ini suatu hari nanti tidak akan dirobohkan oleh FGV?

Pendedahan ini juga jelas membuktikan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad telah berbohong apabila mereka menyatakan tanah-tanah yang melibatkan warga FELDA tidak dipajakkan dalam proses penyenaraian FGV.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

6 JUN 2012

2 thoughts on “KEADILAN Dedah Senarai Tanah Rezab Melayu, Tanah Lapang Di Perancangan Felda Yang Dipajakkan”

  1. sangat tertarik dengan pendedahan anda tetapi lampiran yang dikemukan dalam blog tuan x dapat dilihat . mgkin sbb file nya terlaku kecil pixelnya. harap dapat besarkan file supaya rakyat jelata dapat lihat lampiran tersebut dgn lebih jelas.

  2. Pendedahan biasa tak cukup[ fakta .. tak kan tak boleh fikir nak besarkan image gambar tu? . Kalau dilihat dari penulisan dia, lebih kepada persoalan dan pertanyaan dan membuat rumusan sendiri. Buktikan kepada seiapa dan kepada pula kerajaan tidak boleh buat jaminin sedangkan dalam unit amana saham minik kerjaan sehingga berpuluh tahun tetap teguh…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.