Kerajaan Perlu Segera Selesaikan Masalah Ijazah Sarjana Muda Perguruan (ISMP) Terutama Di Universiti Swasta Milik UMNO

Masalah pengangguran di kalangan graduan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (ISMP) belum diselesaikan walaupun berkali-kali kerajaan Barisan Nasional berjanji untuk memberi penempatan kepada graduan-graduan ini.

Dalam bulan Mac 2012, Timbalan Menteri Pendidikan Dato’ Puad Zakarshi mengesahkan bahawa graduan ISMP seramai 7,000 orang yang belum mendapat pekerjaan akan ditempatkan dan prosesnya sedang berjalan ketika itu.

Pada masa yang sama juga, Kementerian Pendidikan menetapkan bahawa hanya graduan ISMP lulusan IPTA sahaja yang akan dipanggil temuduga, sedangkan masih ramai graduan SMP lulusan IPTS yang turut terbelenggu dengan masalah pengangguran.
Kenyataan Dato’ Puad Zakarshi dan tindakan Kementerian Pendidikan tidak ubah seperti cakap tidak serupa bikin, janji tidak ditepati.

Umno perlu mengambil tanggungjawab terhadap nasib graduan-graduan ini kerana institusi swasta yang paling rancak menawarkan ISMP adalah institusi yang rapat dengan pimpinan Umno seperti Universiti Tun Abdul Razak, atau UniRazak. Pada masa yang sama, Kemnterian Pendidikan Tinggi meluluskan kuota pengambilan yang memberi lesen kepada UniRazak menawarkan ISMP dengan memberi gambaran graduan-graduan ini akan mendapat pekerjaan di dalam perkhidmatan perguruan negara.

UniRazak dimiliki oleh Yayasan Pintar, yang mana Lembaga Pengarahnya turut dianggotai oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak, Dato’ Hishamuddin Hussin, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato’ Mustapha Mohamad dan Dato’ Seri Ali Rustam.

Di manakah moral pimpinan-pimpinan ini yang boleh mencuci tangan apabila graduan-graduan UniRazak lulusan ISMP tersadai tanpa peluang pekerjaan, sedangkan universiti yang dikendalikan mereka bersekongkol dengan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menawarkan kursus perguruan sedangkan mereka tahu bahawa kekosongan jawatan tidak mengizinkan pengambilan sedemikian rupa.

Saya yang selalu didatangi oleh graduan-graduan ini telah memberi persetujuan untuk membawa isu ini bersama-sama dengan pimpinan muda KEADILAN yang lain.

Mahasiswa KEADILAN Malaysia (MKM) pula akan terus mengumpulkan graduan-graduan ini agar nasib mereka dapat diperjuangkan.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI
20 DISEMBER 2012

Pertemuan Dengan ICAC Positif, Yakin Kes Dibuka Semula

Delegasi KEADILAN telah mengadakan pertemuan dan memberi keterangan kepada Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) pada jam 230 petang, 13 Disember 2012. Bukti-bukti dan dokumen juga telah diserahkan kepada ICAC dalam pertemuan yang memakan masa satu jam itu.

Delegasi KEADILAN juga mengadakan pertemuan susulan dengan YB James To, ahli Majlis Perundangan Hong Kong yang juga Naib Pengerusi, Panel Keselamatan dan Undang-undang Majlis Perundangan yang bertanggungjawab menyelia ICAC.

Delegasi KEADILAN disertai oleh YB William Leong (Ahli Parlimen Selayang), YB Hee Loy Sian (Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan), YB Chang Li Kang (ADUN Teja), Saudara Darell Leiking (Timbalan Setiausaha Agong/Ketua Cabang Penampang) dan saya sendiri.

Semasa pertemuan tersebut, saya yakin bahawa bukti-bukti dan dokumen yang diserahkan, termasuklah keseluruhan penyata bank dan urusniaga keluar masuk wang ke dalam akaun bank dua buah syarikat yang dikaitkan dengan Michael Chia (iaitu Zenique Investments Ltd dan Blisstop Corporation Ltd) di Hong Kong merupakan bukti baru dan dokumen yang belum diperolehi oleh ICAC.

Begitu juga dengan akuan bersumpah oleh Dato’ Seri Lajim Ukin yang menafikan bahawa wang RM40 juta adalah derma politik kepada Umno kerana ia tidak pernah diumumkan kepada pengurusan Umno Pusat atau Umno Sabah, yang dipandang serius oleh ICAC.

Malah, saya yakin bahawa ICAC akan memanggil saksi rahsia yang telah tampil untuk memberi keterangan dan maklumat dalaman mengenai Michael Chia kepada ICAC. Saya juga yakin Dato’ Seri Lajim Ukin akan dipanggil untuk memberi keterangan di Hong Kong.

Pun begitu, ICAC memohon kerjasama kami untuk tidak membuat kenyataan lanjut mengenai kes ini mengikut prosedur mereka bagi melindungi kerahsiaan siasatan. Oleh yang demikian, kami tidak boleh menyatakan secara terperinci hasil perbincangan atau pun mendedahkan rancangan seterusnya seperti yang diputuskan oleh ICAC.

Saya beranggapan bahawa permintaan ICAC supaya butiran siasatan setakat ini dirahsiakan mengesahkan bahawa ICAC memandang serius kes ini dan akan mengambil tindakan susulan termasuklah memanggil saksi-saksi.

Oleh itu, walaupun ICAC tidak akan mengesahkan secara rasmi bahawa kes ini dibuka semula, keseriusan dan perhatian yang diberikan mengenai kerahsiaan kes membayangkan bahawa siasatan penuh akan menyusul.

Pertemuan dengan YB James To juga membuahkan hasil. Beliau turut menerima salinan bukti dan dokumen atas tanggungjawab beliau sebagai Naib Pengerusi, Panel Keselamatan dan Undang-undang.

YB James To memaklumkan kepada delegasi bahawa ada kemungkinan besar Dato’ Seri Musa Aman boleh didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram (“money laundering”) yang undang-undangnya lebih ketat di Hong Kong berbanding di negara-negara lain. Jika didapati bersalah, pihak berkuasa Hong Kong boleh mengeluarkan waran tangkap melalui Interpol dan boleh dikuatkuasakan di Malaysia.

Perkembangan sihat di Hong Kong ini akan terus disusuli dengan kempen-kempen penerangan terbaru di Sabah dan seluruh Malaysia untuk meningkatkan tekanan supaya pihak SPRM dan Peguam Negara menyiasat kembali kes ini.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
13 DISEMBER 2012

Akuan Bersumpah Datuk Seri Lajim Ukin Mengenai Wang RM40 juta

STATUTORY DECLARATION
Saya, Lajim Ukin (550615-12-5069) yang beralamat di Pejabat Perhubungan Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS), Lot 18 & 19, Tingkat 1 & 2, Blok C, Millenium Centre, Jalan Lintas Kepayan, Penampang 88200 Kota Kinabalu dengan sesungguhnya dan sebenarnya membuat perakuan berikut:

1. Saya adalah seorang ahli politik yang telah memegang pelbagai jawatan kanan di dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) iaitu parti yang telah memerintah Malaysia sejak merdeka dalam tahun 1957;

2. Saya telah memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah sehingga tahun 2004 dan telah menjadi wakil rakyat bagi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen sejak 1994. Jawatan terakhir saya di dalam Kerajaan Malaysia adalah sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan;

3. Saya meninggalkan Kerajaan Malaysia dalam bulan Ogos 2012 berhubung perbezaan pendapat dan rasa tidak setuju mengenai pelbagai perkara terutamanya nasib rakyat Sabah yang telah lama diabaikan oleh Kerajaan Malaysia;

4. Sepanjang penglibatan saya dengan UMNO, saya telah dipilih sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO sejak tahun 2000. Majlis Tertinggi UMNO adalah badan pembuat keputusan yang tertinggi di dalam UMNO dan bertanggungjawab terhadap segala keputusan UMNO, termasuklah hal ehwal kewangannya;

5. Saya juga menganggotai Badan Perhubungan UMNO Sabah yang bertanggungjawab terhadap segala keputusan UMNO di peringkat negeri, termasuklah hal ehwal kewangannya;

6. Pada 9 Oktober 2012, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Aziz mengejutkan Parlimen apabila beliau mengumumkan bahawa dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Sabah, Dato’ Seri Musa Aman (berhubung dakwaan wang rasuah berjumlah RM40 juta yang dikaitkan dengan beliau) telah digugurkan;

7. Menteri berkenaan telah juga mengumumkan bahawa pihak berkuasa turut menggugurkan dakwaan rasuah terhadap seorang niagawan balak dari Sabah bernama Michael Chia, yang sebelum ini dikaitkan dengan tuduhan rasuah berhubung lesen pembalakan melibatkan Dato’ Seri Musa Aman;

8. Menurut kenyataan menteri tersebut di Parlimen, dakwaan rasuah terhadap Dato’ Seri Musa Aman dan Michael Chia digugurkan atas alasan wang RM40 juta yang disiasat itu merupakan derma politik kepada UMNO Sabah dan bukannya untuk kegunaan peribadi Ketua Menteri;

9. Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa sepanjang penglibatan dan pengalaman saya dalam pelbagai kedudukan kepimpinan dan pengurusan di dalam UMNO di peringkat pusat dan negeri, saya tidak pernah tahu atau diberitahu mengenai:

i. Sebarang perbincangan yang berlaku di peringkat Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan UMNO Sabah mengenai usaha mendapatkan derma politik sebesar jumlah RM40 juta, seperti yang didakwa menteri berkenaan di Parlimen;

ii. Sebarang pengisytiharan yang dibuat di peringkat Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan UMNO Sabah bahawa derma politik sejumlah RM40 juta telah dibuat kepada UMNO Sabah, seperti yang didakwa menteri berkenaan di Parlimen;

iii. Sebarang bukti urusniaga, transaksi atau urusan yang dibentangkan kepada Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan UMNO Sabah yang boleh membuktikan bahawa UMNO Sabah adalah penerima derma politik RM40 juta itu; dan

iv. Sebarang laporan atau bukti yang dibentangkan kepada Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan UMNO Sabah bahawa UMNO telah mendapat manfaat dari derma politik RM40 juta itu;

10. Oleh yang demikian, saya menyimpulkan bahawa kenyataan menteri berkenaan kepada Parlimen adalah tidak benar, menyeleweng dan berniat untuk menutup isu yang lebih besar iaitu dakwaan salahguna kuasa dalam anugerah lesen pembalakan di Sabah yang hanya menguntungkan beberapa orang sedang rakyat dan negeri Sabah tidak mendapat pulangan setimpal;

11. Buat sekian lama, pembalakan telah menjadi sumber untuk mengkayakan diri bagi segelintir ahli politik dan pemimpin kerajaan Sabah. Dari pengalaman saya sendiri sebagai Timbalan Ketua Menteri, saya mengesyaki bahawa lesen pembalakan sering dianugerahkan kepada individu yang rapat dengan pemimpin kerajaan Sabah;

12. Wang haram dari kegiatan rasuah ini disyaki disimpan di luar negara menggunakan ejen yang mengendalikan penjualan balak pada harga yang rendah dan merugikan Kerajaan Negeri. Keuntungan dari penjualan balak pada harga rendah ini kemudiannya disalurkan sebagai rasuah dan dimasukkan ke pelbagai akaun di luar negara, yang akhirnya dipindahkan semula untuk manfaat ahli politik utama dan pemimpin kerajaan Sabah;

13. Saya bersedia untuk memberi kenyataan kepada mana-mana pihak berkuasa dari mana-mana negara yang menyiasat perkara ini untuk menghentikan jaringan rasuah yang melibatkan anugerah lesen pembalakan yang telah lama merugikan rakyat Sabah;

14. Saya yakin pengalaman, pengetahuan dan maklumat dalaman yang saya ada mengenai perjalanan UMNO dan kerajaan di peringkat pusat dan negeri akan membantu siasatan.

Dan saya membuat Surat Akuan Sumpah ini dengan kepercayaan bahawa apa-apa yang tersebut di dalamnya adalah benar serta menurut Akta Akuan Berkanun 1960.

Diperbuat dengan sebenarnya dan
diakui oleh yang tersebut namanya
di atas di Kota Kinabalu
dalam negeri Sabah
pada 10 haribulan Disember, 2012

………………………………
LAJIM BIN UKIN

Dihadapan saya,

…………………………………….
PESURUHJAYA SUMPAH

Bukti-Bukti Baru Dikemukakan Kepada ICAC Untuk Buka Semula Siasatan

Delegasi KEADILAN yang dianggotai oleh:

1. YB William Leong, Ahli Parlimen Selayang
2. YB Hee Loy Sian, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan
3. YB Chang Li Kang, ADUN Teja
4. Saudara Darell Leiking, Timbalan Setiausaha Agong/Ketua Cabang Penampang
5. Saudara Rafizi Ramli, Pengarah Strategi

akan membuat lawatan kedua ke Hong Kong pada 12 dan 13 Disember 2012 dalam usaha membuka semula siasatan pihak berkuasa Hong Kong mengenai tuduhan rasuah RM40 juta membabitkan Dato’ Seri Musa Aman melalui orang pertengahannya iaitu Michael Chia.

Delegasi akan mengadakan pertemuan dengan YB James To, ahli Majlis Perundangan Hong Kong yang bertanggungjawab menyelia perjalanan Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC), selain mengadakan pertemuan khusus dengan pegawai penyiasat ICAC untuk menyerahkan bukti-bukti lanjut kes.

KEADILAN telah berjaya mengumpulkan bukti-bukti baru terutamanya bukti urusniaga dan butiran pemindahan wang di Hong Kong seperti berikut:

Urusniaga Melalui Akaun HSBC Milik Michael Chia di Singapura

Michael Chia mempunyai beberapa bank akaun yang dibuka dengan HSBC di Singapura sekitar tahun 2005 hingga 2006.
Bersama-sama ini disertakan salinan pengesahan pemindahan wang (telegraphic transfer credit advice) ke dalam akaun-akaun Michael Chia bertarikh 7 Jun 2005, 16 Jun 2005, 22 Februari 2006 dan 16 Mac 2006.

Pemindahan wang yang setiap satunya bernilai jutaan ringgit ini dimasukkan ke akaun Michael Chia oleh syarikat-syarikat yang sebelum ini dinamakan sebagai pengusaha balak melalui konsesi balak yang dianugerahkan oleh Kerajaan Sabah kepada mereka, termasuklah Ever Fame Enterprises Limited, Borion Enterprise Limited dan Wayco Enterprise Limited.

Salinan pengesahan pemindahan wang ini dengan jelas memberi butiran bahawa pemindahan wang ini adalah bayaran deposit kepada konsesi, merujuk kepada konsesi balak yang diusahakan oleh syarikat-syarikat ini.

Kewujudan akaun ini yang dimiliki Michael Chia dan pemindahan wang oleh pemegang konsesi kepadanya bagi tujuan deposit konsesi mengesahkan bahawa Michael Chia bertindak sebagai orang tengah kepada individu tertentu untuk mengutip wang hasil dari konsesi balak yang dikeluarkan Kerajaan Sabah.

Mengikut Enakmen Perhutanan Sabah 1968 dan Peraturan Permit Pembalakan Sabah 1969, kelulusan permit dan kutipan hasil dari pembalakan dikendalikan sepenuhnya oleh Kerajaan Sabah dan tidak melibatkan sebarang pihak lain.

Oleh yang demikian, sebarang kutipan wang bagi deposit konsesi oleh pihak lain berkemungkinan besar adalah wang rasuah yang dibayar untuk mendapatkan konsesi.

Michael Chia perlu disiasat segera oleh SPRM untuk mengenalpasti individu yang mewakilkannya untuk mengutip wang dari syarikat-syarikat pemegang konsesi balak, yang disalurkan ke dalam akaun HSBC miliknya di Singapura.

Urusniaga Melalui Akaun UBS di Hong Kong Milik Zenique Investments Ltd dan Blisstop Corporation Ltd

Zenique Investments Ltd dan Blisstop Corporation Ltd adalah 2 buah syarikat yang diperbadankan di pusat perniagaan pesisir luar pantai (offshore business centre) iaitu di British Virgin Island, yang melindungi maklumat pemilik serta pegangan sahamnya. Oleh itu, adalah mustahil untuk orang awam mendapatkan maklumat pemiliknya dari pihak berkuasa dan syarikat-syarikat ini tidak perlu mengemukakan akaun setiap tahun seperti syarikat-syarikat lain.

Pun begitu, salah satu pihak yang menguasai Zenique Investments Ltd dan Blisstop Corporation Ltd secara bersama dengan Michael Chia telah tampil dan menawarkan maklumat mengenai kedua-dua syarikat ini. Mereka juga telah menyerahkan sepenuhnya penyata bank dan segala slip urusniaga melibatkan akaun kedua-dua syarikat tersebut dengan Bank UBS di Hong Kong.

Zenique Investments Ltd dan Blisstop Corporation Ltd digunakan oleh Michael Chia bagi tujuan yang sama seperti akaunnya di HSBC Singapura – iaitu menyalurkan wang suapan hasil dari konsesi balak yang dianugerahkan oleh Kerajaan Sabah kepada pemegang-pemegang konsesi.

Bersama-sama ini disertakan slip pengesahan urusniaga (debit or credit advice slips) yang melibatkan Zenique Investments Ltd dan Blisstop Corporation Ltd.

Satu pemindahan wang berjumlah US$277,975 bertarikh 13 Februari 2007 misalnya, dibuat oleh Multilink Star Pte. Ltd. Kepada Zenique Investments Ltd bagi pembayaran deposit konsesi pembalakan, seperti yang dapat disahkan oleh slip pengesahan urusniaga.

Dari semasa ke semasa, wang dari kedua-dua syarikat ini dipindahkan ke sebuah syarikat BVI milik Michael Chia iaitu CTF International Ltd.

Pada 25 May 2007 pula, Zenique Investments Ltd memindahkan wang sebanyak AU$2,350 terus ke akaun Mohammed Hayssam Musa, iaitu anak kepada Dato’ Seri Musa Aman.

Semakan terhadap slip-slip pengesahan urusniaga ini menunjukkan pemindahan wang ke akaun yang dikawal Michael Chia oleh syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan konsesi balak di Sabah, selain dari perbelanjaan dan pemindahan peribadi seperti pembelian kereta mewah, pemindahan kepada isteri Michael Chia dan lain-lain.

Helah yang digunakan adalah sama, iaitu mengumpul wang rasuah hasil dari konsesi balak yang dianugerahkan Kerajaan Sabah melalui akaun-akaun di luar negara yang didaftarkan di atas nama syarikat BVI yang penuh kerahsiaan.

Pihak ketiga yang turut terlibat di dalam Zenique Investments Ltd dan Blisstop Corporation Ltd telah menyatakan kesudian mereka untuk memberikan keterangan sepenuhnya kepada ICAC bagi membuktikan bahawa pemindahan wang di Hong Kong yang melibatkan kedua-dua syarikat BVI itu adalah bersabit wang rasuah konsesi balak di Hong Kong.

Ini menepati kehendak ICAC untuk membuka semula siasatan terhadap Dato’ Seri Musa Aman, iaitu bukti berlakunya urusniaga melibatkan bank di Hong Kong dan bukti bahawa urusniaga itu melibatkan wang hasil dari rasuah.

Akuan Bersumpah Dato’ Seri Lajim Ukin

Bersama-sama ini disertakan akuan bersumpah oleh Dato’ Seri Lajim Ukin yang menafikan sepenuhnya bahawa Umno Sabah pernah menerima sumbangan RM40 juta seperti yang didakwa oleh Dato’ Seri Nazri Aziz.

Kedudukan beliau sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno dan ahli Badan Perhubungan Umno Sabah sepatutnya menjamin bahawa beliau juga akan dimaklumkan sekiranya ada sumbangan sebesar itu kepada Umno Sabah.

Akuan bersumpah beliau yang turut menawarkan diri untuk memberi kenyataan termasuklah pengalaman beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dalam menguruskan pentadbiran konsesi balak di Sabah akan diserahkan kepada ICAC untuk tindakan lanjut ICAC.

Ketiga-tiga bukti ini adalah mencukupi, seperti yang dibincangkan dengan ICAC, untuk membuka semula siasatan terhadap Dato’ Seri Musa Aman.

Sekiranya pihak berkuasa Malaysia terus mendiamkan diri dan tidak mengambil tindakan, bukti-bukti ini akan terus tersebar dan melemahkan lagi keyakinan rakyat terhadap SPRM dan Peguam Negara.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
11 DISEMBER 2012

Blisstop Corporation Ltd

Zenique Investments Ltd – 1

Zenique Investments Ltd – 2

Zenique Investments Ltd – 3

HSBC1

HSBC2

HSBC3

HSBC4

HSBC5

HSBC5

Perbandingan Pencapaian Pentadbiran Ekonomi Dato’ Seri Anwar Ibrahim: Rakyat Arif Membezakan Angka Ekonomi

Serangan Dato’ Seri Najib Tun Razak terhadap kredibiliti dan kemampuan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengemudi teraju ekonomi negara bukanlan perkara baru. Retorik yang sama turut digunakan menjelang Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) dalam tahun 2008 bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat; kononnya negara akan muflis jika pakatan politik yang lain memerintah Malaysia.

Pun begitu, dalam PRU12 rakyat tetap memilih KEADILAN dan rakan-rakan PAS dan DAP untuk mentadbir negeri-negeri terkaya di Malaysia seperti Selangor dan Pulau Pinang, selain Kelantan, Kedah dan Perak. Maknanya, rakyat tidak termakan dengan adu domba dan propaganda politik Umno/Barisan Nasional yang merendah-rendahkan pemikiran rakyat, seolah-olah rakyat tidak boleh membandingkan dengan objektif pencapaian ekonomi di bawah kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan.

Cara terbaik menilai keupayaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mentadbir ekonomi adalah dengan membandingkan angka-angka ekonomi seperti berikut:

Pertumbuhan ekonomi sepanjang Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan[1]

Tahun

1992

1993

1994

1995

1996

1997

% pertumbuhan[2]

8.8

9.9

9.2

9.8

10.0

7.3

Pertumbuhan ekonomi sepanjang Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Kewangan[3]

Tahun

2009

2010

2011

% pertumbuhan[4]

(1.5)

7.2

5.1

Sejak menjadi Menteri Kewangan, pencapaian ekonomi Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak pernah sekali pun mengatasi pencapaian Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Pada kala Dato’ Seri Anwar berjaya memacu pertumbuhan ekonomi negara sehingga mencecah 9% – 10% hampir sepanjang beliau menjadi Menteri Kewangan, tahun pertama Dato’ Seri Najib (2009) mengemudi ekonomi negara menjunamkan negara ke kancah kegawatan ekonomi, sedang negara jiran seperti Indonesia kekal berkembang pesat.

Hakikatnya, rakyat Malaysia tidak buta angka dan arif membezakan pertumbuhan sekitar 9% – 10% semasa Dato’ Seri Anwar Ibrahim mentadbir ekonomi negara, berbanding pertumbuhan lembap 4% – 5% sekarang, disamping berdepan dengan pelbagai masalah ekonomi harian seperti harga barang naik, gaji yang terbantut dan lain-lain.

Rekod ekonomi Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga menunjukkan beliaulah Menteri Kewangan yang terakhir yang berjaya mencapai belanjawan lebihan. Selepas beliau, menteri-menteri kewangan Umno mengambil pendekatan berhutang untuk menampung perbelanjaan negara yang meningkat saban tahun sedang hasil tidak bertambah.

Sebab itulah, Malaysia masih bergelut dengan masalah hutang/defisit yang meruncing sehingga kini.

Perbandingan angka berikut membuktikan kegagalan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan apabila gagal mengatasi masalah hutang/defisit, walaupun ditinggalkan dalam keadaan yang cukup baik oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim:

Perbandingan defisit belanjawan dan jumlah hutang negara[5]

Tahun

1992

1993

1994

1995

1996

1997

Lebihan/Defisit (%)

(0.8)

0.2

2.3

0.8

0.7

2.4

Jumlah hutang negara (RM b)

97

96

93

91

90

89

 

 

Tahun

1998

1999

2000

2001

2002

2003

Lebihan/Defisit (%)

(1.8)

(3.2)

(5.5)

(5.2)

(5.3)

(5.0)

Jumlah hutang negara (RM b)

103

112

126

146

165

189

 

Tahun

2004

2005

2006

2007

2008

2009

Lebihan/Defisit (%)

(4.1)

(3.4)

(3.2)

(3.1)

(4.6)

(6.7)

Jumlah hutang negara (RM b)

217

229

242

267

306

362

 

Tahun

2010

2011

Lebihan/Defisit (%)

(5.4)

(4.8)

Jumlah hutang negara (RM b)

407

456

 

Sepanjang tempoh Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan, hutang negara semakin berkurangan dan Malaysia mengalami lebihan belanjawan yang berterusan sehinggalah tahun 1997. Sebaliknya, hutang negara pula melonjak lima kali ganda berbanding baki hutang yang ditinggalkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan jumlah hutang yang digandakan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak (iaitu RM456 bilion pada akhir tahun 2011).

Kegilaan berhutang dan berborosan ini berlaku tatkala Dato’ Seri Najib Tun Razak memaksa PETRONAS menyumbang dividen pada kadar yang paling tinggi dalam sejarah Malaysia. Tidak pernah ada Menteri Kewangan atau Perdana Menteri yang paling banyak menggunakan dana PETRONAS, kecuali Dato’ Seri Najib Tun Razak seperti yang dibuktikan oleh angka berikut:

 

Tahun

1992

1993

1994

1995

1996

1997

Dividen PETRONAS (RM b)

 

3.1

 

3.1

 

3.1

 

3.1

 

3.1

 

3.1

Jumlah dividen yang disumbangkan PETRONAS semasa Dato’ Seri Anwar menjadi Menteri Kewangan[6]

Tahun

2004

2005

2006

2007

Dividen PETRONAS (RM b)

 

9.1

 

11.0

 

18.0

 

24.0

Jumlah dividen yang disumbangkan PETRONAS semasa Tun Abdullah Badawi menjadi Menteri Kewangan

 

Tahun

2009

2010

2011

Dividen PETRONAS (RM b)

 

30.0

 

30.0

 

30.0

Jumlah dividen yang disumbangkan PETRONAS semasa Dato’ Seri Najib menjadi Menteri Kewangan

Sedang Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengurangkan hutang negara, berbelanja berhemah sehingga pendapatan mengatasi belanja, tidak membebankan PETRONAS dan ekonomi tumbuh 9% – 10%, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengambil 10 kali ganda lebih banyak wang PETRONAS, hutang negara meningkat 5 kali ganda, defisit akibat keborosan berlarutan 14 tahun dan ekonomi tetap lembap sekitar 4% – 5% sahaja.

Saya yakin rakyat Malaysia lebih arif membezakan angka-angka ini. Pimpinan negara perlu fokus kepada usaha memulihkan ekonomi negara dengan berpandukan angka-angka yang objektif ini, bukannya cuba memutarbelitkan prestasi ekonomi negara kerana takut dengan wibawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan yang berkebolehan.

 

 

AZMIN ALI
TIMBALAN PRESIDEN KEADILAN

29 NOVEMBER 2012


[1] Tahun penuh Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan

[2] Sumber: Kementerian Kewangan & Jabatan Perangkaan Negara

[3] Tahun penuh Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Kewangan

[4] Sumber: Kementerian Kewangan & Jabatan Perangkaan Negara

[5] Sumber: Kementerian Kewangan, Jabatan Perangkaan Negara dan Bank Negara Malaysia

[6] Sumber: Kementerian Kewangan dan Jabatan Statistik

%d bloggers like this: