Category Archives: Reformasi

Dedah Terma Penyelesaian Bank Islam, Jawab Urusniaga Dengan Ecoworld Atau Saman

Saya sedia maklum tindakan pegawai-pegawai YAB Tan Sri Khalid Ibrahim yang menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) satu laporan oleh KEADILAN yang menyenaraikan urusniaga-urusniaga yang menimbulkan keraguan terhadap integriti beliau.

Urusniaga-urusniaga ini bersabit penyelesaian di luar mahkamah yang dicapai di antara Bank Islam dan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung hutang RM70 juta yang perlu dibayar oleh beliau.

Saya senaraikan garis masa urusniaga-urusniaga penting yang menjadi asas kepada penyiasatan KEADILAN terhadap integriti beliau iaitu:

1. Pada 13 Februari 2014 iaitu 2 minggu selepas Kajang Move diumumkan, pendengaran kes rayuan tuntutan hutang Bank Islam terhadap YAB Tan Sri Khalid Ibrahim di Mahkamah Persekutuan tidak diteruskan dan mahkamah dimaklumkan bahawa kedua-dua pihak sedang merundingkan penyelesaian di luar mahkamah

2. Pada 26 Februari 2014, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim tiba-tiba mengumumkan bahawa satu MOU penstrukturan air telah ditandatangani di antara Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan

3. Pada 19 Mac 2014, Tropicana Corporation Berhad mengumumkan bahawa ia telah menjual 308.72 ekar tanah yang dibelinya dari Kerajaan Selangor (dalam bulan April 2013) kepada Ecoworld Berhad. Ini bermakna sebanyak 308.72 ekar tanah milik Kerajaan Selangor akhirnya dipindahmilik ke syarikat yang dikuasai oleh Tan Sri Rashid Manaf

4. Pada 25 Mac 2014, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim menandatangani satu lagi MOU dengan Ecoworld Berhad yang menganugerahkan projek pembinaan 2,400 unit rumah pangsa mampu milik di bawah Kerajaan Selangor yang dianggarkan bernilai RM591 juta kepada Ecoworld Berhad

5. Pada 31 Mac 2014, Bank Islam dan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim memaklumkan kepada mahkamah semasa pengurusan kes bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak meneruskan tindakan undang-undang berikutan penyelesaian di luar mahkamah yang telah dicapai

6. Pada 23 April 2014, Bank Islam memfailkan circular resolution kepada pemegang saham sebagai sebahagian dari peraturan Bursa Malaysia. Ia turut menyenaraikan perjalanan kes tuntutan baki hutang dari YAB Tan Sri Khalid Ibrahim. Circular resolution itu turut mengesahkan bahawa Bank Islam telah bersetuju menggugurkan tuntutan saman baki hutang dari YAB Tan Sri Khalid Ibrahim walaupun “peguam Bank Islam berpendapat Bank Islam mempunyai kes yang kuat terhadap lawan”

Setiausaha Politik YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri mengakui bahawa Menteri Besar berjumpa dengan Tan Sri Rashid Manaf beberapa kali untuk merundingkan penyelesaian kes hutang beliau. Tan Sri Rashid Manaf adalah bekas peguam Tun Daim Zainuddin dan seorang tokoh korporat yang menguasai Ecoworld dan diketahu rapat dengan Barisan Nasional.

Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab KEADILAN untuk mengarahkan YAB Tan Sri Khalid menjelaskan:

1. Kenapa hutang beliau berjumlah RM70 juta diselesaikan secara tiba-tiba?

2. Kenapa beliau merundingkan penyelesaian ini dengan Tan Sri Rashid Manaf?

3. Kenapa Tan Sri Rashid Manaf melalui syarikatnya mendapat manfaat beratus juta ringgit melalui urusniaga tanah dan kontrak pembinaan dari Kerajaan Selangor?

Sehingga kini, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim mengelak dari memberi penjelasan secara telus kepada pimpinan parti lalu meningkatkan lagi keraguan terhadap integriti beliau.

Oleh sebab itulah, saya tidak hairan beliau menghantar laporan KEADILAN kepada SPRM kerana beliau sendiri tahu sukar untuk SPRM mengambil sebarang tindakan terhadap beliau. Rakyat juga tidak akan lupa bahawa dalam kes penyelewengan dana NFC pun, SPRM dari awal-awal lagi mengumumkan bahawa ia bukan rasuah dan Dato’ Seri Shahrizat Jalil tidak bersalah.

Tindakan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim cuba menggunakan SPRM untuk membersihkan namanya samalah seperti SPRM mengumumkan tiada sebarang penyelewengan berlaku di dalam kes NFC. Apabila fakta mula difahami rakyat, majoriti rakyat Malaysia tidak percaya pun dengan kenyataan SPRM bahawa tiada unsur penyelewengan di dalam kes NFC.

Sebab itu, bagi saya cara terbaik untuk YAB Tan Sri Khalid Ibrahim membersihkan nama beliau dan mematikan sebarang keraguan terhadap integriti beliau adalah dengan cara berikut:

1. Dedahkan secara terbuka terma-terma perjanjian beliau dengan Bank Islam yang membolehkan beliau tidak perlu membayar hutang sebanyak RM70 juta secara tiba-tiba

2. Menjelaskan kenapa syarikat yang dikuasai oleh Tan Sri Rashid Manaf mendapat manfaat beratus juta ringgit dari Kerajaan Negeri dalam tempoh sebulan selepas hutang beliau diselesaikan dengan Bank Islam dengan rundingan melalui Tan Sri Rashid Manaf

Jika pun beliau tidak bersedia untuk mendedahkan terma-terma perjanjian dengan Bank Islam, sepatutnya beliau failkan saman fitnah terhadap saya di dalam mahkamah sebelum membuat laporan kepada SPRM.

Sehingga kini, beliau tidak mengambil sebarang tindakan mahkamah terhadap saya atau Dato’ Saifuddin Nasution Ismail. Saya percaya ini kerana beliau tidak mahu memberi keterangan bersumpah di mahkamah mengenai perjanjian rahsia beliau dengan Bank Islam.

Jika beliau tidak ada apa-apa yang disembunyikan, maka beliau sewajarnya mendedahkannya atau menyaman saya di mahkamah sebelum berakhirnya hari Jumaat esok.


RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan
Pengarah Strategi

7 Ogos 2014

Download dan baca laporan penuh fakta dakwaan yang menimbulkan keraguan terhadap YAB Tan Sri Khalid Ibrahim di sini.

Penjelasan Isu Penstrukturan Air Selangor

Kebelakangan ini, ada beberapa tuduhan liar yang dilemparkan terhadap saya dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim kononnya kami terlibat cuba campur tangan dalam rundingan air untuk mendapat bayaran komisen dari pemegang konsesi SPLASH. Tuduhan-tuduhan liar ini ada menyebut jumlah yang besar kononnya melibatkan berpuluh-puluh juta.

Saya tidak menjawab sebarang tuduhan sebegini sebelum ini sebagai menghormati mandat Pakatan Rakyat yang diberikan kepada saya yang menjadi salah seorang Panel Penstrukturan Air yang mewakili PR dan menyelia Kerajaan Selangor dalam hal ini. Saya masih berharap sebelum ini supaya sebarang perbezaan pendapat mengenai kaedah proses penstrukturan air sewajarnya dibincangkan bersama bukan melalui media.

Walau bagaimana pun, oleh kerana tuduhan liar itu melampaui batas dan menjejaskan imej saya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan KEADILAN, saya telah berbincang dengan beberapa pimpinan kanan KEADILAN dan PR sama ada tuduhan-tuduhan ini wajar dijawab secara umum. Saya dinasihati supaya memberi penerangan untuk membolehkan orang ramai tahu keadaan sebenar.

Bersama-sama ini saya sertakan nota penerangan mengenai penstrukturan industri air Selangor yang saya tulis dan bentangkan kepada pimpinan KEADILAN (dan beberapa pimpinan DAP dan PAS) pada akhir Februari 2014 iaitu seminggu selepas Kerajaan Negeri menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Kerajaan Pusat.

Kebimbangan yang saya lahirkan dalam bulan Februari 2014 telah menjadi kenyataan iaitu:

  1. Kerajaan Pusat engkar dengan kata-kata dan enggan melaksanakan janji mereka menggunakan akta untuk menyempurnakan penstrukturan semula
  2. Tarif air di Selangor akan naik mendadak dalam tahun yang dekat dengan pilihanraya umum
  3. Kroni kuat Umno iaitu Tan Sri Rozalli Ismail akan menerima harga tawaran Kerajaan Selangor kerana ia lumayan dan jauh mengatasi nilai sebenar syarikatnya
  4. Pemegang konsesi Loji Sg Selangor (yang merupakan loji terbesar yang membekalkan kepada hampir 60% pengguna) iaitu SPLASH akan menolak kerana harga tawaran awal dipotong oleh Kerajaan Selangor untuk jumlah itu dibayar kepada Tan Sri Rozalli Ismail
  5. Projek Langat 2 diteruskan dan kontrak diberikan kepada kroni-kroni Umno sedangkan bayarannya nanti ditanggung oleh rakyat Selangor
  6. Masalah bekalan air di Selangor berterusan hingga menimbulkan kemarahan rakyat terhadap Pakatan Rakyat

Selepas hampir 6 bulan, sehingga kini penstrukturan air tidak nampak ada kemajuan di Selangor. Pelbagai kontroversi dan pertanyaan terus timbul seperti yang saya akan terangkan selepas ini.

Perbezaan pendapat saya yang paling besar dengan Kerajaan Selangor mengenai penstrukturan air ialah keputusan untuk membayar pampasan keuntungan (disebut “equity portion”) kepada Tan Sri Rozalli Ismail (melalui Syabas dan Puncak Niaga) sebanyak RM1.6 bilion sedangkan nilai kedua-dua syarikat itu adalah hampir muflis. Setelah bertahun-tahun rakyat Selangor sengsara dengan masalah air yang sebahagian besarnya berpunca dari kelemahan Syabas dan Puncak Niaga, Tan Sri Rozalli Ismail menerima ganjaran yang cukup besar yang akan ditanggung oleh rakyat Selangor.

Bagi saya, keputusan itu tidak ada bezanya dengan keputusan Barisan Nasional menghapuskan hutang Tan Sri Tajuddin Ramli sebanyak RM600 juta atau campur tangan Tun Mahathir dulu agar syarikat perkapalan milik anaknya Mirzan Mahathir diberi pampasan lebih tinggi oleh PETRONAS sedangkan nilaian semasanya jauh lebih rendah.

Nota yang saya sertakan ditulis selepas mesyuarat di antara Tan Sri Khalid Ibrahim dan wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk beliau menjelaskan keputusan dan tindakan Kerajaan Selangor dalam isu air ini.

Saya berlapang dada di dalam bulan Ramadhan ini dengan fitnah sebegini dan beranggapan ia adalah asam garam kehidupan seorang penjawat awam. Saya tidak akan mengambil tindakan saman ke atas mereka yang galak menyebarkan fitnah ini kerana saya yakin dosa yang mereka tanggung melebihi apa-apa tekanan tindakan undang-undang yang boleh saya ambil. Saya maafkan semua yang menyebarkan fitnah ini dan menasihati mereka bertaubat dan berhenti menyebarkannya setelah saya menjelaskan dengan fakta seperti di dalam nota.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

 

Rafizi Ramli 
Ahli Parlimen Pandan 
Pengarah Strategi KEADILAN

25 Julai 2014

 

LATAR BELAKANG PENSTRUKTURAN AIR

  • Penstrukturan air yang diusahakan di Selangor (dan negeri-negeri lain) adalah lanjutan dari Akta Perkhidmatan Industri Air yang diluluskan Barisan Nasional di peringkat Persekutuan.
  • Secara konsepnya, akta ini menuntut supaya semua aset air diserahkan dan dikawal oleh sebuah agensi Kerajaan Persekutuan bernama Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) milik penuh Kementerian Kewangan. Selepas aset air diambil alih oleh PAAB, ia akan memajak semula aset ini untuk digunakan oleh operator air yang membayar pajakan tahunan kepada PAAB.
  • Harapannya ialah aset air dipunyai oleh Kerajaan Persekutuan, maka tanggungjawab untuk menyenggara dan menaiktaraf aset air ini dipikul oleh Kerajaan Persekutuan yang mempunyai lebih ruang kewangan untuk menanggung perbelanjaan.
  • Tugas operator kemudiannya hanyalah untuk mengendalikan operasi aset air ini tanpa perlu memikul pelaburan modal untuk menaiktaraf aset air.
  • Di Selangor, ada 4 syarikat konsesi yang memiliki aset air dan mengendalikan operasi air iaitu Syabas dan Puncak Niaga (dikawal melalui saham majoriti oleh Tan Sri Rozalli Ismail), ABASS (milik Kerajaan Negeri) dan Splash (usahama Kerajaan Negeri dan Gamuda dan syarikat dikawal Tan Sri Wan Azmi Hamzah).

 

BAGAIMANA PENGAMBILALIHAN ASET AIR AKAN DIBIAYAI KERAJAAN NEGERI

  • Secara mudahnya, oleh kerana Kerajaan Persekutuan yang mengambil alih aset air, maka pengambilalihan aset air ini akan dibiayai Kerajaan Persekutuan melalui PAAB.
  • Konsepnya, PAAB akan membuat nilaian berapa nilai aset air yang dipunyai oleh setiap syarikat konsesi. PAAB kemudiannya membuat tawaran untuk membeli aset-aset itu dari syarikat konsesi. Pembelian ini akan dibiayai melalui penerbitan bon (iaitu PAAB mendapatkan hutang dari pasaran hutang).
  • Oleh sebab itu, kaedah nilaian untuk menentukan aset air adalah cukup penting. Jika kaedah nilaian yang berlainan digunakan, maka lainlah nilai aset yang perlu dibayar oleh PAAB dan makin tinggilah pajakan tahunan yang dibayar oleh Kerajaan Negeri.
  • Ada beberapa kaedah nilaian yang boleh digunakan:
  1. Membuat nilaian berdasarkan aset air sedia ada dan membayar berdasarkan nilaian itu
  2. Membuat nilaian berdasarkan syarikat konsesi (berapa asetnya ditolak liabiliti dan untung ruginya setakat ini)
  3. Membuat nilaian berdasarkan pampasan ke atas berapa kerugian yang ditanggung oleh syarikat konsesi kerana konsesinya dihentikan lebih awal untuk membolehkan penstrukturan berlaku
  4. Atau kombinasi (1), (2) dan (3)
  5. Atau kaedah-kaedah mengikut formula yang ditentukan
  • Walau bagaimana pun, sepatutnya kaedah nilaian yang diambil tidaklah boleh menyimpang dari konsep dan tujuan asal penstrukturan, iaitu untuk mengambil alih aset air oleh PAAB. Jika nilaian ke atas aset air ini adil, bebas dan diterima pakai oleh pakar antarabangsa yang boleh dilantik, keengganan syarikat konsesi untuk menerima nilaian ini dan menyerahkan aset bolehlah mendorong Kerajaan Pusat menggunakan kuasanya mengikut peruntukan akta Seksyen 114 untuk mengambil alih aset ini dan membuat pampasan, seperti mana kaedah biasa Kerajaan Negeri menggunakan kaedah pengambilan tanah dan membuat pampasan.
  • Dalam proses penstrukturan air Pulau Pinang yang ditandatangani Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dengan Kerajaan Persekutuan dalam tahun 2011, hutang Kerajaan Pulau Pinang berjumlah RM655 juta dilupuskan dan ditukar dengan aset air dan tanah berkaitan. Kerajaan Pulau Pinang kemudian memajak kembali dari Kerajaan Pusat aset air itu pada kadar RM14.56 juta setahun sahaja.
  • Penstrukturan itu menggunakan nilaian aset yang ditukar dengan hutang berbaki dan tidak melibatkan sebarang pampasan keuntungan dan lain-lain.

 

KAEDAH NILAIAN YANG DIGUNAKAN OLEH KERAJAAN SELANGOR

  • Kaedah nilaian yang digunakan oleh Kerajaan Selangor ialah:
  1. Mengambil alih keseluruhan hutang syarikat konsesi
  2. Membayar bahagian ekuiti (“equity portion”) iaitu pampasan keuntungan kepada pemegang konsesi
  • Perbandingan jumlah tawaran oleh Kerajaan Selangor kepada syarikat konsesi swasta (tidak termasuk ABASS kerana ABASS adalah milik penuh Kerajaan Selangor) dalam tawaran yang ditandatangani melalui MOU mempunyai pecahan seperti berikut:

 

Syabas Puncak Niaga Jumlah Syabas + PN SPLASH Jumlah keseluruhan
Tanggungan hutang(RM billion) 2.7 1.36 4.06 1.6 5.66
Bayaran keuntungan atau Bahagian ekuiti(RM billion) 0.438 1.2 1.638 0.251 1.889

 

  • Ini bermakna selain daripada bebas dari tanggungan hutang, syarikat konsesi swasta juga mendapat keuntungan berbilion ringgit.
  • Contohnya, kumpulan Puncak Niaga (meliputi Syabas yang mengendalikan sistem paip air dan Puncak Niaga Sdn Bhd yang mengendalikan loji pemprosesan air) akan menerima pampasan keuntungan sebanyak RM1.638 bilion.
  • Malah, jumlah tawaran yang dimeterai melalui MOU kepada kumpulan Puncak Niaga ini lebih tinggi dari tawaran awal yang dibuat dalam Februari 2013 seperti berikut:

 

Tawaran asal Februari 2013 Tawaran MOUMac 2014 Kenaikan
Tanggungan hutang(RM billion) Tidak berubah Tidak berubah Tidak berubah
Bayaran keuntungan/Bahagian ekuiti

(RM billion)

1.07 1.638 568 juta

 

  • Dalam tempoh beberapa bulan, Kerajaan Selangor telah menaikkan pampasan keuntungan kepada Puncak Niaga (yang dikawal oleh tokoh yang rapat dengan Umno) sebanyak RM568 juta.
  • Jika dibandingkan dengan nilai aset-liabiliti dan rekod keuntungan syarikat (kaedah nilaian 2) seperti yang biasa digunakan untuk menilai harga sesebuah syarikat, laporan kewangan terkini kumpulan Puncak Niaga bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012 adalah seperti berikut:

 

RM Billion
Untung bersih 0.2327
Jumlah aset 13.4
Jumlah hutang/liabiliti (13.5)
Nilai syarikat (aset tolak liabiliti) (75 juta)

 

  • Maknanya, jika kumpulan Puncak Niaga ini dijual pada pasaran terbuka tanpa rundingan, nilaian berdasarkan rekod keuntungan, aset dan liabiliti adalah syarikat tidak ada nilai.
  • Tawaran di dalam MOU sebaliknya memberikan pampasan keuntungan sehingga RM1,638 juta kepada kumpulan Puncak Niaga iaitu RM1,700 juta lebih tinggi dari nilai pasarannya mengikut rekod keuntungan, aset dan liabiliti.

 

LATAR BELAKANG MOU

  • Setelah proses rundingan yang berpanjangan, Kerajaan Negeri menandatangani MOU untuk memuktamadkan pengambilalihan industri air di Selangor.
  • Dalam pertemuan dengan wakil rakyat PR pada 5 Mac 2014, Menteri Besar melalui pegawai-pegawainya mengesahkan bahawa MOU yang disiarkan di laman-laman internet adalah MOU yang sama ditandatangani, kecualilah beberapa perkataan yang ditukar di dalam Perkara 4(iii) dan 4(iv).
  • Isu-isu yang ditimbulkan ekoran dari MOU itu akan diulas satu persatu di dalam bab seterusnya.

 

KENAPA TIBA-TIBA SEKARANG KERAJAAN PERSEKUTUAN BERSETUJU SEDANGKAN IA MENENTANG SELAMA INI?

  • Menteri Besar memberikan dua sebab iaitu:
  1. Kerajaan Persekutuan tidak lagi mahu menangguhkan pembayaran hutang (bon) syarikat-syarikat konsesi seperti yang selama ini ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan melalui pinjaman mudah alih. Ini akan menjadikan kumpulan Puncak Niaga muflis
  1. Kerajaan Persekutuan benar-benar mahu mempercepatkan Projek Langat 2 kerana pembiaya dari Jepun mengugut untuk menarik balik pinjaman

Komentar:

Jika ini asas utama, sudah tentu Kerajaan Selangor berada dalam keadaan yang kukuh dalam rundingan. Jika Kerajaan Persekutuan dan Puncak Niaga berkeras, ia akan muflis dan ada kesan besar kepada rekod ekonomi Kerajaan Persekutuan. Apatah lagi keterdesakan Kerajaan Persekutuan dalam pembiayaan Projek Langat 2 sepatutnya menjadikan kuasa rundingan kita kukuh.

Jika ini keadaannya, ada senario rundingan yang lebih baik kepada rakyat Selangor yang boleh mengurangkan pampasan kepada syarikat konsesi dan memaksa Kerajaan Persekutuan dan syarikat konsesi bersetuju dengannya.

 

KESAHIHAN MOU KERANA TIDAK DILULUSKAN EXCO

  • Menteri Besar mengakui bahawa tidak ada satu kertas EXCO yang membincangkan kandungan akhir MOU yang ditandatangani. Maka, tidak ada satu kelulusan yang direkodkan oleh EXCO yang memberi kuasa kepada Menteri Besar untuk menandatangani MOU ini bagi pihak kerajaan dan rakyat Selangor.
  • Yang ada hanyalah kemaskini perkembangan rundingan yang dibincangkan atau dimaklumkan dari semasa ke semasa. Menteri Besar beranggapan ini sudah memadai sebagai mendapat kelulusan EXCO kerana tiada yang membantah.

Komentar:

Makluman tanpa satu kelulusan rasmi yang dibentangkan dan dipersetujui oleh EXCO melalui kertas EXCO bukanlah satu kelulusan. Jika di masa hadapan Kerajaan Selangor ingin mencabar Kerajaan Persekutuan kerana tidak menunaikan janji di dalam MOU ini, atau jika syarikat konsesi menyaman Kerajaan Selangor dan MOU ini dirujuk, kesahihan MOU ini akan dipersoalkan dan dicabar di mahkamah. Keseluruhan EXCO perlu menjawab kenapa perkara ini tidak dititikberatkan dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

 

MOU BERAT SEBELAH, HANYA MENGIKAT DI SEBELAH KERAJAAN SELANGOR

  • Menteri Besar tidak memberikan jawapan kepada soalan ini, setakat mengatakan bahawa komitmen Kerajaan Persekutuan akan diikat melalui perjanjian-perjanjian yang akan ditandatangani.

Komentar:

Dalam keadaan kuasa rundingan Kerajaan Selangor cukup kuat berbanding Kerajaan Persekutuan seperti yang dihuraikan di atas, menjadi tanda tanya utama kenapa kelulusan Projek Langat 2 yang mengikat di sisi undang-undang dan tidak boleh ditarik balik diberikan serta merta sedangkan Kerajaan Persekutuan hanya memberi persefahaman.

Persoalan ini tidak boleh dijawab sehingga ke hari ini.

 

MOU MENYEBUT TAWARAN RM9.65 BILION, TIMBUL PERSOALAN MENGENAI RM2 BILION YANG TURUT DISEBUT

  • Menteri Besar tetap mempertahankan bahawa RM2 bilion yang disebut di dalam Perkara 4(iii) adalah untuk dibayar kepada syarikat konsesi sebagai pampasan keuntungan (bahagian ekuiti seperti yang dihuraikan di atas). RM2 bilion itu bukanlah bayaran tambahan melebihi dari tawaran RM9.65 bilion yang diumumkan Menteri Besar.
  • MOU mengesahkan bahawa jumlah bayaran Kerajaan Persekutuan sebanyak RM7.65 bilion untuk mengambil alih hutang-hutang syarikat konsesi tidak mencukupi untuk membayar tawaran keseluruhan termasuk pampasan keuntungan, sebab itu Kerajaan Selangor menjual aset airnya untuk mendapatkan RM2 bilion untuk menampung kos tambahan itu. Jika aset air Kerajaan Selangor tidak dijual, Kerajaan Selangor terpaksa mengambil hutang sebanyak RM2 bilion untuk membiayai urusniaga ini.
  • Menteri Besar juga mengesahkan bahawa jumlah keseluruhan aset air yang perlu dipajak dari Kerajaan Persekutuan kelak ialah RM9.65 bilion (dan bayaran pajakan tahunan akan dikira dari RM9.65 bilion) walaupun RM2 bilion adalah hasil dari Kerajaan Selangor menjual asetnya kepada Kerajaan Persekutuan seperti Perkara 4(iii).

Komentar:

Jumlah yang perlu dibayar oleh Kerajaan Selangor masih tidak tetap kerana bergantung kepada sama ada syarikat-syarikat konsesi akan menerima tawaran menjelang 10 Mac 2014.

Jangkaan awal ialah kumpulan Puncak Niaga akan menerima tawaran ini kerana pampasan keuntungan sebanyak RM1,638 juta adalah lumayan.

ABASS dijangka akan menerima tawaran kerana ia menurut perintah Kerajaan Selangor.

Besar kemungkinan SPLASH akan menolak tawaran kerana merasakan penurunan dari tawaran awal terlalu besar.

Berbeza dengan kumpulan Puncak Niaga yang dinaikkan tawaran sebanyak RM568 juta, Kerajaan Selangor memotong tawaran kepada SPLASH (dari tawaran asal dalam bulan Februari 2013 kepada tawaran MOU) sebanyak RM2,100 juta.

Oleh itu, jumlah potongan sebegitu besar kemungkinan akan mendorong SPLASH untuk menolak tawaran.

Apabila ini berlaku, Menteri Besar berharap agar Kerajaan Persekutuan menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 114 Akta untuk merampas aset air SPLASH dan menentukan pampasan. Besar kemungkinan SPLASH akan membawa perkara ini ke mahkamah untuk mendapatkan nilaian terbaik bagi asetnya.

Mengambil kira tawaran awal yang jauh tinggi (maksudnya Kerajaan Selangor awalnya menilai SPLASH lebih tinggi) serta pampasan keuntungan yang tinggi diberikan kepada kumpulan Puncak Niaga walaupun rekod aset liabiliti yang buruk – ada kemungkinan bahawa nilaian akhir yang dimuktamadkan oleh mahkamah atau pihak bebas adalah lebih tinggi dari nilaian yang dibuat di dalam MOU.

Oleh itu, jumlah RM9.65 bilion ini adalah jumlah yang paling minima perlu ditanggung oleh Kerajaan Selangor dengan mengandaikan bahawa semua syarikat konsesi akan menerima bulat-bulat tawaran itu.

Keadaan ini tidak realisitik.

Sebab itu, dengan juga cara Perkara 4(iii) ditulis iaitu “….selain daripada tawaran KDEB,…” tafsiran alternatif kepada RM2 bilion itu adalah ia dana tambahan hasil jualan aset air Kerajaan Selangor untuk merundingkan harga yang lebih tinggi dengan SPLASH apabila tawaran awal ditolak.

Dalam keadaan mana pun, jumlah akhir kos pengambilalihan mungkin lebih tinggi dari RM9.65 bilion yang diumumkan di dalam MOU. Apabila kesahihan dan tafsiran MOU pun boleh dicabar di mahkamah, jumlah sebenar sudah tentu akan berubah kelak mengikut tafsiran dan nilaian mahkamah.

 

KENAPA KERAJAAN PERSEKUTUAN HANYA MEMBAYAR RM7.65 BILION SEHINGGA KERAJAAN SELANGOR PERLU MENJUAL ASET UNTUK MENDAPATKAN RM2 BILION LAGI?

  • MOU mengesahkan bahawa jumlah yang dibayar oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengambilalih kesemua aset air yang dimiliki syarikat konsesi hanyalah RM7.65 bilion iaitu dengan menanggung hutang mereka.
  • Menggunakan kaedah yang dimeterai oleh Kerajaan Pulau Pinang, aset air yang sama nilainya dengan hutang sebanyak RM655 juta dipindahkan kepada Kerajaan Persekutuan. Bayaran pajakan tahunan adalah berdasarkan aset RM655 juta itu.
  • Keadaannya berbeza di Selangor kerana jumlah nilaian Kerajaan Persekutuan untuk aset-aset air hanyalah RM7.65 bilion dan tambahan RM2 bilion untuk pampasan keuntungan itu perlu pula dibayar sendiri oleh Kerajaan Selangor.

 

Komentar:

Konsep asal penstrukturan ialah pengambilalihan aset air oleh agensi persekutuan yang kemudiannya dipajakkan balik kepada Kerajaan Negeri supaya bayaran pajakan tahunan itu rendah.

Ini dicapai di Pulau Pinang – hutang sebanyak RM655 juta diambilalih oleh Kerajaan Persekutuan dan aset air yang berpadanan dengan jumlah itu diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan. Setiap tahun, Kerajaan Pulau Pinang membayar sekadar 2.2% dari jumlah RM655 juta itu sebagai pajakan tahunan.

Keadaan berbeza di Selangor yang dimeterai di bawah MOU.

Walaupun keseluruhan aset air syarikat konsesi diambil alih, hanya RM7.65 bilion dibayar oleh Kerajaan Persekutuan. Ini bermakna nilaian bagi aset-aset ini hanyalah RM7.65 bilion kerana itulah sahaja nilai yang mahu dibayar oleh Kerajaan Persekutuan.

Mengikut formula di Pulau Pinang, sepatutnya hanya RM7.65 bilion yang ditanggung dan pajakan tahunan adalah x% dari RM7.65 bilion ini.

Oleh kerana ada unsur pampasan keuntungan kepada syarikat konsesi, maka Kerajaan Selangor terpaksa menjual aset airnya untuk mendapatkan RM2 bilion tambahan untuk dibayar kepada syarikat konsesi.

Lebih dari itu, pajakan tahunannya adalah keseluruhan RM9.65 bilion termasuklah bayaran pampasan keuntungan kepada syarikat konsesi.

Sebab itu, soal RM2 bilion tambahan ini menimbulkan persoalan besar kerana ia semata-mata menguntungkan syarikat konsesi dan akan ditanggung oleh rakyat di masa depan, sedangkan perkara sama tidak berlaku di Pulau Pinang.

Dalam keadaan kuasa rundingan Kerajaan Selangor cukup kuat seperti yang dihuraikan di atas, kenapa Kerajaan Selangor tidak menekan Kerajaan Persekutuan supaya menggunakan formula yang sama di Selangor?

Lagi pun memang sudah dijangka bahawa akan ada syarikat konsesi yang tidak akan bersetuju dengan tawaran yang dibuat.

Satu senario yang boleh dirundingkan ialah supaya pengambilalihan ini adalah berasaskan nilaian aset seperti yang berlaku di Pulau Pinang tanpa unsur pampasan keuntungan. Dalam keadaan syarikat konsesi memang tertekan dan Kerajaan Persekutuan terdesak dengan Projek Langat 2, apakah ada kemungkinan Kerajaan Persekutuan dan syarikat konsesi bersetuju dengan RM7.65 bilion tanpa tambahan RM2 bilion?

 

PERBANDINGAN PENGAMBIL ALIHAN DI PULAU PINANG DAN SELANGOR

  • Melalui MOU, perbandingan berikut boleh dibuat:

 

  PULAU PINANG SELANGOR
Kaedah nilaian yang menentukan jumlah bayaran Aset dipindahkan mengikut nilai hutang yang diambilalih Aset dipindahkan mengikut nilai hutang yang diambilalih+

Pampasan keuntungan kepada syarikat konsesi

Jumlah aset yang perlu dijual Kerajaan Negeri untuk membiayai pengambilalihan Tiada, sekadar aset yang dipindahkan sebagai pertukaran kepada hutang yang diambilalih RM2 bilion aset Kerajaan Negeri dijual kerana harga tawaran lebih tinggi dari jumlah aset yang ditukar dengan hutang yang diambialih
Jumlah aset yang menentukan bayaran pajakan tahunan Hanya aset yang dipindahmilik sebagai pertukaran kepada hutang iaitu RM655 juta Keseluruhan aset yang dipindahmilik sebagai pertukaran kepada hutang iaitu RM7.65 bilion+

Pampasan keuntungan kepada syarikat konsesi sebanyak RM2 bilion

+

Projek Langat 2 iaitu aset air baru yang dibina Kerajaan Persekutuan

Dana untuk membina empangan baru Geran diberikan percuma iaitu RM1.2 bilion untuk membina Empangan Mengkuang Projek Langat 2 berjumlah RM8 bilion akan ditanggung oleh rakyat Selangor melalui tarif air baru kerana kos itu termasuk di dalam bayaran pampasan tahunan
Kenaikan tarif air Tidak diketahui Tiada kenaikan dalam 3 tahun pertama, naik antara 12% – 16% setiap 3 tahun selepas itu

 

Komentar:

Kenaikan tariff air akan berlaku dalam tahun 2017 iaitu tahun pilihanraya umum.

 

KOS LANGAT 2

  • Dalam taklimat oleh Menteri Besar dan Kerajaan Negeri, Menteri Besar tidak boleh memberikan jawapan yang berterus terang mengenai apa kuasa yang ada kepada wakil Kerajaan Selangor yang dilantik menduduki JK Pelaksanaan Langat 2.
  • Ketua Pegawai Eksekutif KPS, En Suhaimi hanya menyebut bahawa JK itu menasihati aspek teknikal supaya pembinaan itu menepati kehendak operator air yang baru.

 

Komentar:

Setakat ini, Projek Langat 2 nampaknya akan dikawal sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan selain dari tugas menasihati secara teknikal seperti yang disebut di dalam mesyuarat.

Ini bermakna bukan sahaja kontrak akan dianugerahkan kepada kroni, jumlahnya akan mempunyai kesan yang besar kepada tarif air di masa hadapan di Selangor, kerana kos Langat 2 akan ditanggung oleh rakyat Selangor.

Penasihat Pendidikan Dan Latihan JPA Di Australia Tertakluk Kepada Undang-Undang Australia

Berikut adalah pengalaman dan kenyataan saya berkaitan tindakan kerajaan untuk mengenakan hukuman ke atas sdr Aslam Abdul Jalil, seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Australian National University (ANU) kerana telah mengambil bahagian dalam satu forum baru-baru ini.

Pada Oktober 2013, saya telah dijemput oleh sekumpulan pelajar-pelajar Malaysia di ANU untuk mengadakan pertemuan di universiti tersebut bagi membincangkan isu semasa Malaysia terutamanya Laporan Ketua Audit 2012 sebagai wakil daripada National Oversight & Whistleblowers (NOW).

Saudara Aslam yang hadir ke pertemuan tersebut telah menerima surat tunjuk sebab daripada Encik Shahrezan Md Sheriff, Penasihat Pendidikan dan Latihan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Australia yang sekarang ini sekali lagi ingin mengambil tindakan terhadap Sdr Aslam. Saya sertakan salinan surat melalui emel bertarikh 1 November 2013 dan 6 November 2013 yang jelas menunjukkan intimidasi oleh En Shahrezan.

Download (PDF, 109KB)

Sekatan hak bersuara ini jelas menunjukkan sikap double standard kerajaan yang membenarkan kelab-kelab UMNO Luar Negara menjalankan aktiviti-aktiviti sedangkan pertemuan diskusi dan perbincangan pelajar-pelajar Malaysia luar negara secara terbuka disekat dan dikenakan tindakan. Sebagai Ketua Pemuda UMNO, Saudara Khairy Jamaluddin seharusnya mempunyai kesediaan politik (political will) untuk mendesak kerajaan mengotakan janji transformasi demi memberi kebebasan kepada pelajar hak bersuara dan berpolitik.

Tindakan kerajaan menyekat kebebasan pelajar Malaysia di luar negara untuk menyertai diskusi dan perbincangan terbuka juga tertakluk dari sudut undang-undang negara Australia yang menjamin kebebasan bersuara dan memberi pandangan.

Saya percaya Encik Shahrezan memegang Visa Australia (pas bekerja) bagi membolehkan beliau berkhidmat di Australia. Mengikut Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan Kerajaan Australia, seseorang warga asing yang memegang Visa pas berkerja wajib memenuhi semua syarat visa dan mematuhi undang-undang Australia.

Terdapat dua jenis undang-undang yang menjamin hak kebebasan bersuara dan memberi pandangan iaitu Perlembagaan Australia (Constitutional Law) dan juga International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) iaitu Perkara 19 dan Perkara 20 (rujuk lampiran) – setiap orang mempunyai hak untuk mengutarakan pendapat tanpa sebarang tekanan/gangguan.

visa

visa2

Walaupun Saudara Shahrezan berkhidmat dengan kerajaan Malaysia, keghairahan beliau untuk menyekat hak kebebasan bersuara pelajar Malaysia di Australia sebenarnya tertakluk kepada undang-undang Australia. Beliau berkemungkinan boleh disiasat sekiranya ada pihak yang melaporkan tindakan beliau ke pihak berkuasa Australia.

Saya menyeru kepada pelajar-pelajar Malaysia di luar negara yang menerima ugutan dan tekanan daripada pihak tertentu termasuk daripada pegawai terhadap hak kebebasan bersuara untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa negara berkenaan bagi memastikan hak mereka terjamin.

AKMAL NASIR
Ketua Cabang KEADILAN Johor Bahru

25 Jun 2014

Siasatan Di Bawah Akta Hasutan Kes Buku Reformasi2.0

Saya telah memberi persetujuan untuk diambil kenyataan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari ini jam 5 petang untuk satu siasatan di bawah Akta Hasutan.

Kertas siasatan itu dibuka ekoran dari laporan polis yang dibuat terhadap satu buku kecil yang saya tulis berjudul “Reformasi2.0: Fakta Kes Anwar Ibrahim” yang memperincikan keterangan-keterangan yang diberikan di dalam perbicaraan kes sodomi terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Ini bukanlah kali pertama saya disiasat dalam saya menjalankan tugas saya sebagai seorang aktivis politik, jadi ia tidak menghairankan.

Pun begitu, keghairahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka siasatan dan Peguam Negara mengenakan dakwaan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat pada ketika tiada tindakan diambil terhadap kenyataan-kenyataan perkauman yang sengaja dibuat untuk menimbulkan ketegangan membuktikan bahawa kaedah undang-undang digunakan untuk menekan dan menakut-nakutkan pimpinan Pakatan Rakyat.

Saya tidak akan gentar dan akan memastikan buku Reformasi2.0 itu yang kini telah mencecah 20,000 jualannya di seluruh negara akan dicetak dan dijual dengan lebih hebat lagi.


RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

14 Mei 2014

Usul Parlimen Mengikut Perkara 127 Perlembagaan Menegur Kelakuan Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan

Keputusan-keputusan mahkamah yang melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat kebelakangan ini menimbulkan keresahan di kalangan rakyat. Persoalan bahawa institusi kehakiman dicemari bagi tujuan politik Barisan Nasional kembali menjadi isu hangat.

Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah membuat satu usul di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat 36(8) [Standing Order 36(8)] untuk membincangkan dan mengambil tindakan ke atas Hakim-hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Aziah Ali, Datuk Balia Yusuf Wahi dan Datuk Mohd Zawawi Salleh atas perilaku mereka semasa menghakimi kes terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Download (PDF, 1.71MB)

Ini dibuat mengikut Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Parlimen membincangkan kelakuan hakim-hakim. Sebarang usul untuk membincangkan kelakuan hakim di bawah Perkara 127 memerlukan sekurang-kurangnya satu perempat dari ahli Parlimen.

Usul yang difailkan pada 26 Mac 2014 di pejabat Tuan Yang diPertua Dewan Rakyat itu mendapat sokongan 63 ahli Parlimen pada tarikh itu. Ia juga menepati syarat-syarat pemberian notis selama 14 hari seperti yang ditetapkan oleh Peraturan Majlis Mesyuarat.

Oleh yang demikian, usul ini sewajarnya dimasukkan di dalam Aturan Urusan Mesyuarat untuk dibahaskan pada hari Khamis, 10 April 2014 kerana telah menepati semua syarat-syarat.

Tindakan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat ini menjadi peringatan penting kepada seluruh rakyat dan hakim-hakim bahawa kelakuan hakim-hakim akan terus diperhatikan oleh rakyat. Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan terus menggunakan sepenuh peruntukan Perlembagaan untuk menegur kelakuan dan tindakan hakim-hakim yang dilihat mencemar kredibiliti dan kebebasan institusi kehakiman.

DATO JOHARI ABDUL
Ahli Parlimen Sungai Petani

SIVARASA RASIAH
Ahli Parlimen Subang

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

SIM TZE TZIN
Ahli Parlimen Bayan Baru

9 April 2014