Tanah Felda Jadi Cagaran Pembiayaan: Apa Langkah FELDA Yang Seterusnya?

Saya telah terangkan semalam bahawa kedudukan pemilikan tanah-tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur sebenarnya tidak ada sebarang perubahan selepas Tan Sri Shahrir Samad mengumumkan bahawa hakmilik tanah-tanah itu telah dikembalikan kepada Felda.

Ini adalah kerana tanah-tanah itu telah diserahkan kepada pemaju (sebuah syarikat bernama Synergy Promenade Sdn Bhd, SPSB) untuk dibangunkan menjadi pembangunan hartanah komersil yang dinamakan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC). Ruang pejabat dan kediaman mewah di menara-menara KLVC ini akhirnya akan dijual kepada pembeli yang akan mendapat hakmilik strata.

Apabila hakmilik strata telah dikeluarkan kepada pembeli, hakmilik stratalah yang menjadi dokumen pemilikan dan hakmilik tanah yang sebelum ini didaftarkan atas nama Felda akan terbatal dengan sendiri.

Isu yang lebih besar ialah bagaimana sebuah syarikat pemaju yang tidak dikenali berjaya mendapatkan tanah-tanah ini dari Felda untuk dibangunkan.

Selalunya jika pun sebuah agensi kerajaan memutuskan untuk membangunkan sebidang tanah miliknya menjadi projek komersil bagi tujuan keuntungan, beberapa perkara berikut akan dijadikan panduan asas:

i. Syarikat pemaju yang dilantik itu adalah sebuah syarikat besar yang mempunyai modal besar

ii. Pembangunan komersil yang siap nanti akan tetap dimiliki oleh agensi kerajaan dan disewakan untuk menjana pulangan bagi membayar pembiayaan dan mendapat untung

iii. Jika modal disuntik sama oleh syarikat pemaju, hakmilik projek komersil itu dikongsi bersama melalui sebuah syarikat usaha sama (joint venture) yang sahamnya turut dimiliki oleh agensi kerajaan tadi

iv. Jika sebuah syarikat usaha sama ditubuhkan, agensi kerajaan itu akan menyuntik modal dalam bentuk lot tanah yang dimilikinya dan syarikat pemaju boleh menyuntik modal tunai untuk menjalankan pembangunan hartanah

Dalam kes pembangunan KLVC, tidak ada satu pun dari (i) hingga (iv) yang dilaksanakan. Bukan sahaja tidak ada sebuah syarikat usaha sama yang ditubuhkan, malah tidak ada tanda-tanda bahawa pemaju (SPSB) adalah sebuah syarikat yang mempunyai modal untuk menjalankan projek ini, apatah lagi membayar Felda bagi tanah-tanah yang diambil untuk dibangunkan.

Maka, semakan pertama yang saya lakukan ialah untuk menentukan sama ada pemaju SPSB ini mempunyai dana dan aliran modal yang mencukupi untuk menjalankan projek ini.

Saya telah buat semakan menggunakan maklumat di dalam Penyata Kewangan SPSB yang diaudit bagi tahun 2015 yang baru sahaja difailkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 27 Oktober 2017 baru-baru ini.

01 - 24 - Felda SP 1

Syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) ini dimiliki oleh dua individu yang masing-masing mempunyai saham sebanyak RM7.5 juta di dalam syarikat itu, seperti laporan di dalam Penyata Kewangan diaudit dan disahkan juga oleh penyata pemilikan saham yang difailkan di SSM:

01 - 24 - Felda SP 2

01 - 24 - Felda SP 3

Saya bentangkan di sini Penyata Kedudukan Kewangan (“Statement of Financial Position”) yang menunjukkan kedudukan aset, tunai dan hutang syarikat. Jika tanah-tanah itu telah dibeli atau dipindah hakmilik, atau dikuasai oleh syarikat pemaju, ia akan ditunjukkan di dalam Penyata Kedudukan Kewangan ini:

01 - 24 - Felda SP 4

Dengan berpandukan maklumat lanjutan yang diberikan di dalam nota-nota 5,6,7,8,9 dan 10 di dalam Penyata Kewangan diaudit, saya boleh menentukan aset-aset apa yang dimiliki oleh syarikat ini setakat 31 Disember 2015, seperti berikut:

i. Kereta mewah bernilai RM612,015 (atau RM489,612 selepas susut nilai tahunan) yang dibeli dalam tahun 2015. Aset lain adalah aset-aset bernilai rendah seperti komputer (RM9,128) dan peralatan pejabat (RM13,518).

01 - 24 - Felda SP 5

ii. Pelaburan di dalam Tabung Haji yang didaftarkan atas nama seorang pengarah (bermakna ini pelaburan peribadi pengarah yang menggunakan wang syarikat) sebanyak RM69,161,549 sebelum RM20,000,012 dikeluarkan. Baki akhir pada 31 Disember 2015 adalah RM49,161,537.

01 - 24 - Felda SP 6

iii. Kos pembangunan hartanah KLVC (memandangkan mengikut semakan, ini satu-satunya projek yang sedang diusahakan pemaju) sebanyak RM14,239,936. Maklumat paling penting dari nota aset tetap ialah tidak ada sebarang tanah yang dimiliki, didaftarkan atau dikuasai oleh Synergy Promenade Sdn Bhd. Kalau tanah-tanah itu tidak dipindahkan kepada syarikat, kepada siapa tanah-tanah itu dipindahkan?

01 - 24 - Felda SP 7

iv. Penghutang lain iaitu sejumlah RM60,519,684 yang telah dipinjamkan kepada sebuah syarikat lain yang mana pengarah-pengarah SPSB mempunyai kepentingan di dalam syarikat tersebut.

01 - 24 - Felda SP 8

v. Wang tunai sebanyak RM50,327,604 iaitu RM30,000,000 yang dimasukkan sebagai deposit tetap dan baki RM20,327,604 di akaun biasa.

Dari Penyata Kewangan SPSB yang diaudit setakat 31 Disember 2015, kita dapat sahkan perkara-perkara berikut:

a) Tanah-tanah Felda dipindahkan (sama ada melalui hakmilik atau diberi kuasa melalui surat kuasa) kepada pihak lain, bukannya pemaju SPSB

b) Pemaju SPSB tidak mempunyai apa-apa aktiviti perniagaan yang menjana pendapatan setakat 31 Disember 2015

c) Setakat 31 Disember 2015 iaitu tahun di mana tanah-tanah ini diambil dari Felda, pemaju SPSB hanya membelanjakan sekitar RM14 juta bagi tujuan pembangunan tanah-tanah tersebut

d) Syarikat ini mempunyai dana tunai yang tinggi sehingga ia boleh melaburkan di dalam Tabung Haji (sekitar RM50 juta) dan di bank (sekitar RM50 juta)

Soalan seterusnya ialah bagaimana sebuah syarikat yang tidak mempunyai sebidang tanah pun, tidak mempunyai apa-apa projek atau perniagaan yang telah menjana pendapatan dan tidak ada aset tetap yang bernilai tinggi boleh mempunyai wang tunai sehingga RM100 juta yang disimpan di Tabung Haji (atas nama pengarah) dan di bank.

Ini bahagian yang paling penting kerana ia memberi gambaran apa yang terjadi kepada tanah-tanah Felda.

Semakan ke atas Penyata Kewangan SPSB yang diaudit menunjukkan suntikan dana ke dalam syarikat pemaju ini datang dalam dua bentuk utama, seperti berikut:

01 - 24 - Felda SP 9

i. Suntikan modal dalam bentuk saham-saham yang dilanggan secara tunai sebanyak RM15 juta, iaitu dilanggan oleh setiap pengarah berjumlah RM7.5 juta seorang

ii. Dua pinjaman yang diambil oleh syarikat SPSB berjumlah RM109,769,396 dan dijamin secara peribadi oleh pengarah-pengarah, seperti yang ditunjukkan di dalam Nota 13 di bawah:

01 - 24 - Felda SP 10

Berdasarkan maklumat tambahan di dalam Nota, Pinjaman Jangka Panjang II (Term Loan II) dianggarkan berjumlah sekitar RM2 juta dan dijamin melalui cagaran Polisi Insuran yang diambil oleh seorang pengarah, Encik Abdul Rahman Soltan.

Pinjaman Jangka Panjang I dianggarkan berjumlah sekitar RM100 juta (atau bersamaan USD25 juta) dan dijamin secara peribadi oleh pengarah-pengarah. Pinjaman ini hanya perlu dibayar bermula Ogos 2020.

Dari maklumat-maklumat ini, saya boleh simpulkan bahawa pengarah-pengarah SPSB iaitu Abdul Rahman Soltan dan Noraini Soltan mempunyai aset yang cukup besar sehinggakan bank atau institusi kewangan bersetuju untuk memberikan pinjaman tunai sebanyak RM100 juta dengan cagaran peribadi dari pengarah-pengarah ini.

Ini juga bermakna apa-apa harta peribadi yang dimiliki oleh kedua-dua pengarah ini yang bernilai lebih RM100 juta telah pun dijadikan cagaran (atas kapasiti mereka sebagai pengarah-pengarah SPSB yang memberikan jaminan peribadi) kepada bank untuk mendapatkan pinjaman RM100 juta itu.

Pinjaman RM100 juta itulah yang kemudiannya disuntik ke dalam pemaju SPSB yang akhirnya dilaburkan sebagai wang tunai di dalam simpanan Tabung Haji dan deposit tetap di bank.

Tidak ada sebarang tanda-tanda atau bukti bahawa SPSB membayar hatta satu sen pun kepada Felda, malah syarikat SPSB tidak pun mempunyai sebarang harta lain selain dari kereta mewah dan wang tunai di bank dan Tabung Haji.

Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengutarakan soalan-soalan ini kepada Tan Sri Shahrir Samad:

1) Adakah beliau dan Lembaga Pengarah Felda tahu mengenai keadaan ini?

2) Adakah tanah-tanah Felda telah dipindahmilik kepada pengarah-pengarah SPSB yang kemudiannya menggunakan tanah-tanah itu sebagai cagaran peribadi dengan bank untuk mendapatkan pinjaman tunai RM100 juta?

3) Jika benar kesemua hakmilik tanah telah dikembalikan kepada Felda, adakah Felda akan menanggung hutang RM100 juta yang diambil oleh syarikat pemaju sekiranya benar tanah-tanah ini telah dipindahkan menjadi hakmilik peribadi pengarah-pengarah dan dicagarkan untuk mendapat pinjaman?

4) Bagaimana Felda mahu mendapatkan sepenuhnya hakmilik dalam keadaan tanah-tanah ini nampaknya berkait dengan cagaran bank seperti yang ditunjukkan di dalam analisa Penyata Kewangan yang diaudit di atas?

Saya akan menunggu jawapan dari Tan Sri Shahrir dan akan terus menunjukkan beberapa perkara lain dalam masa yang terdekat untuk merungkai sandiwara tanah Felda ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.