Ucapan saya di Pulau Pinang minggu lalu menjadi bahan polemik apabila saya mengutarakan pandangan mengenai sokongan pengundi Melayu terhadap Umno. Saya mempersoalkan keyakinan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Umno bahawa sokongan pengundi Melayu masih berpihak kepada Umno sehingga menjadi asas persempadanan semula yang dibuat mengikut garis perkauman.
Pandangan itu sudah tentu dimomokkan oleh penyokong Umno yang merasakan bahawa undi Melayu tetap berpihak kepada mereka.
Pandangan saya itu dibuat berdasarkan pelbagai interaksi dengan pelbagai kumpulan pengundi Melayu termasuk satu kajiselidik di atas talian yang dibuat sejak 23 September 2016 melibatkan 746 responden. Dari jumlah itu, 711 (95% responden) adalah pengundi muda Melayu dan 35 (5% responden) bukan Melayu.
53% belum mendaftar untuk mengundi dan kumpulan umur yang paling besar ialah pengundi kali pertama (antara 21 hingga 24 tahun) iaitu 45% dari responden dan pengundi kali kedua (antara 25 hingga 28 tahun) iaitu 24% (itu pun jika mereka mengundi dalam PRU13).
Mengambil kira bahawa 95% dari responden adalah pengundi Melayu dan 69% adalah dalam lingkungan umur belum pernah mengundi atau hanya mengundi sekali, dapatan dari kajiselidik ini boleh memberi gambaran pola sokongan pengundi muda Melayu kepada parti-parti politik.
Mengambil kira juga kebarangkalian berlaku pertembungan 3 penjuru, kajiselidik ini mengukur sokongan berdasarkan jalur pada kayu ukur 30% (bukan “Ya” atau “Tidak”) iaitu:
Kecenderongan 0 – 30% untuk mengundi parti X: Tidak akan mengundi parti ini baik dalam pertandingan satu lawan satu atau 3 penjuru
Kecenderongan 30 – 50% untuk mengundi parti X: Atas pagar dan mungkin akan mengundi mengikut keadaan
Kecenderongan 50 – 100% untuk mengundi parti X: Kemungkinan besar menyokong parti ini walau dalam pertandingan 3 penjuru
Dapatan mengikut pecahan data dan jalur sokongan ditunjukkan seperti di bawah (laporan kajiselidik disertakan bersama di lampiran):
Sementara ramai pihak yang akan mempertikaikan ketepatan angka sokongan kerana saiz sampel dan sumber sampel dari atas talian, yang lebih penting bukanlah angka sokongan tetapi pola (atau trend) sokongan. Saya boleh senaraikan beberapa pemerhatian seperti berikut:
1. Sampel adalah mirip kepada pengundi atas pagar Melayu kerana sementara mereka menolak BN, mereka juga menolak DAP. Malah, sementara mereka menolak BN, peratusan yang cenderong mengundi PAS pun tidak tinggi mana pada 35.5%.
2. Parti-parti lama yang mengalami perpecahan sehingga tertubuhnya parti baru (seperti PAS/AMANAH dan Umno/BERSATU) terkesan dari perpecahan ini iaitu % sokongan mereka sekitar 23% (AMANAH) ke 35.5% (PAS) atau 26.9% (BERSATU). Kemungkinan besar PKR mendapat sokongan pengundi muda Melayu yang paling tinggi kerana ia paling kurang kontroversi dan tidak berlaku perpecahan sehingga tertubuhnya parti baru.
3. Sokongan pengundi muda Melayu kepada DAP masih cukup rendah pada 16.2%.
Oleh yang demikian, saya mempertahankan bahawa tiada mana-mana parti yang benar-benar mendapat sokongan padu pengundi muda Melayu sekarang. Jika berlaku pertembungan 3 penjuru pun, tidak tentu Umno akan menang mudah (bergantung kepada strategi isu dan kempen parti-parti pembangkang) kerana % sokongan kepada Umno adalah sangat rendah.
Dari perspektif pola sokongan inilah maka perlu dicari titik pertemuan agar pertemuan satu lawan satu diusahakan. Jika pun tidak dapat, sebaiknya parti-parti Pakatan Harapan (KEADILAN, AMANAH dan DAP) memulakan perbincangan untuk menggunakan satu logo kerana jelas bahawa imej setiap parti (apabila berasingan) adalah berbeza dan menarik % sokongan yang berbeza-beza.
Selebihnya, saya yakin Pakatan Harapan dan parti-parti pembangkang yang lain perlu bijak memilih isu yang emotif kepada pengundi muda Melayu mengikut tempat dan keadaan untuk menang dalam PRU14.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN