Adam Rosly Wajar Bercuti Dari Jawatan, Lalui Proses Disiplin Di Peringkat Parti

Skrin TV, telefon dan dada akhbar hebat membincangkan kes yang melibatkan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Ampang, Saudara Adam Rosly yang didakwa di mahkamah atas beberapa pertuduhan.

Media yang rapat dengan Umno/Barisan Nasional dan penyokong parti-parti yang tidak sehaluan dengan KEADILAN/Pakatan Harapan hebat mengkritik KEADILAN dan menggunakan pertuduhan terhadap Saudara Adam Rosly ini sebagai bukti bagaimana KEADILAN pun terpalit dengan rasuah dan penyelewengan seperti mana sering saya dedahkan berlaku di dalam Umno/Barisan Nasional.

Sebenarnya KEADILAN amat tegas mengenai perkara-perkara yang bersabit dengan tata kelola dan keamanahan. Sebab itu setahun yang lalu, saya sendiri sebagai Setiausaha Agung KEADILAN pada ketika itu dengan diiringi pimpinan-pimpinan lain membuat laporan mengenai dakwaan salah guna kuasa dan rasuah yang diadukan kepada saya yang didakwa berlaku di Selangor.

Malah, saya secara berterusan di dalam saluran rasmi dan tidak rasmi parti mengingatkan pimpinan dan aktivis parti bahawa gerak geri kita diperhatikan oleh rakyat. Saya konsisten menegaskan bahawa piawai moral dan keamanahan yang perlu kita buktikan kepada rakyat adalah lebih tinggi dari parti-parti lain kerana KEADILAN dihargai rakyat hasil dari perjuangan berterusan kita menentang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan pentadbiran sedia ada.

Sebab itu semasa kekayaan Saudara Adam Rosly mula-mula menarik perhatian ramai, saya dengan serta-merta menasihatkan beliau supaya mengisytiharkan harta. Ada perbezaan di dalam parti apabila ada yang beranggapan beliau tidak perlu mengisytiharkan harta kerana tidak menjawat sebarang jawatan kerajaan.

Saya telah menyatakan bahawa saya tidak bersetuju dengan pandangan itu kerana piawai moral dan keamanahan (“moral dan integrity standards”) yang dipegang KEADILAN mestilah lebih tinggi dari parti-parti lain. Sama ada seseorang itu menjawat jawatan awam atau tidak, seseorang yang memegang jawatan parti tidak boleh dilihat mengumpul kekayaan yang tidak boleh diterangkan kepada rakyat. Maka, jika kekayaan itu dikumpul secara sah dan tanpa melibatkan kepentingan awam, saya yakin mana-mana pimpinan dalam parti ini boleh mengisytiharkan harta dengan mudah.

Pendirian saya itu tidak berubah. Saya masih berpendapat Saudara Adam Rosly boleh menjernihkan keadaan supaya tidak mengheret KEADILAN ke dalam kemelut peribadi beliau dengan mengisytiharkan harta secepat mungkin. Keadaannya berbeza sekarang kerana keengganan beliau mengisytiharkan harta telah mengheret nama baik KEADILAN sehingga dijadikan bahan serangan oleh musuh-musuh politik KEADILAN.

Oleh sebab itu juga saya dan rakan-rakan pimpinan yang lain akan mengusulkan supaya satu tindakan diambil yang boleh menjarakkan kemelut peribadi beliau dari mengheret KEADILAN dan Pakatan Harapan, sama ada melalui keputusan bersama kepimpinan KEADILAN untuk membolehkan beliau (Saudara Adam Rosly) “bercuti” dari jawatan parti sehingga kes beliau selesai, atau melalui kaedah Lembaga Disiplin seperti yang disuarakan oleh Dato’ Seri Azmin Ali, Timbalan Presiden.

Apa pun, saya berharap seluruh kekuatan parti dari akar umbi ke peringkat pimpinan mengambil langkah untuk menjarakkan parti dari kemelut peribadi seperti ini.

Ada yang bimbang jika sebarang langkah yang meminta beliau “bercuti” akan menetapkan satu teladan bahawa mana-mana pimpinan yang didakwa di mahkamah perlu juga “bercuti” dari jawatan.

Saya menyeru rakyat supaya membezakan di antara kes-kes yang jelas ia satu perancangan jahat untuk menutup mulut lawan (seperti pendakwaan ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim), kes-kes yang melibatkan pembelaan rakyat dan tidak bersifat kepentingan peribadi (contohnya pendakwaan kes OSA yang melibatkan kebajikan veteran tentera); berbanding dengan kes-kes peribadi seperti ini bila mana seorang penjawat jawatan di dalam parti tidak dapat menerangkan kekayaan beliau sehingga didakwa berbohong.

Saya yakin kepimpinan dan aktivis parti dapat membezakan dan menangani setiap kes mengikut kepentingannya kepada parti.

Saya tetap percaya rakyat dapat membezakan kes-kes yang melibatkan setiap pimpinan dan penjawat jawatan di dalam KEADILAN. Pun begitu, KEADILAN mesti dilihat tegas dan berpegang kepada piawai moral dan keamanahan yang jauh lebih tinggi berbanding parti-parti lain.

Oleh itu, satu tindakan yang menjarakkan KEADILAN sebagai parti dari kemelut peribadi Saudara Adam Rosly ini perlu diputuskan segera terutamanya dalam keadaan PRU14 boleh dipanggil pada bila-bila masa.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

One thought on “Adam Rosly Wajar Bercuti Dari Jawatan, Lalui Proses Disiplin Di Peringkat Parti”

  1. Saya bersetuju dengan Rafizi.Pertama sekali seluruh PKR harus dirombak dan menjauhkan dari memjadi politik kekeluargaan.Azmin Ali harus turun dan digantikan dengan Rafizi.Azmin Ali adalah penipu dan jelas sangat dalam meluluskan pengambilan tanah melalui warta pengambilan tanah negeri Selangor perti DASH dan SUKE .GST pun sekarang tidak akan dilupuskan seperti perjanjian dari awal.Selangor adalah negeri yang paling banyak tol dan dengan penyokongan kerajaan Negeri Selangor,secara tidak langsung telah menyebabkan hutang negara kian meningkat.
    Saya dan keluarga serta penghuni kawasan kami sendiri sudah kurang yakin dengan pemimpin Azmin Ali dan kaum kerabatnya selain Rafizi.Adun Ampang sudah luput.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.