Sokongan Melayu Kepada UMNO Jatuh Kepada 26.7% Sahaja Di Ambang PRU15, Terburuk Dalam Sejarah

Berikut adalah tahap sokongan pengundi sehari sebelum pengundian PRU15 berdasarkan kaji selidik terkini melalui kaedah panggilan telefon interactive voice response (IVR).

Pengundi ditanya gabungan mana akan diundi dalam PRU15 ini.

Kaji selidik dijalankan pada hari Rabu (16 November) dan Khamis (17 November) melibatkan 1,226 pengundi berdaftar di seluruh negara yang dipilih mengikut strata pengundi berdasarkan jantina, umur, kaum, pecahan bandar/desa, latar belakang ekonomi dan seterusnya diberikan pemberat mengikut jumlah pengundi bagi setiap strata di seluruh negara.

Margin kesilapan (margin of error) adalah 2.8%.

Kaedah sampel sebegini membolehkan kaji selidik memberi gambaran tepat yang mewakili (representative) semua pengundi berdasarkan strata masing-masing.

Dapatan-dapatan utama sehari sebelum PRU15:

  • Sokongan pengundi Melayu kepada UMNO/BN berada di paras terendah di dalam sejarah iaitu 26.7%. Tahap sokongan pengundi Melayu menjelang PRU14 adalah 33.6% yang menunjukkan keadaan UMNO/BN adalah lebih parah sekarang berbanding PRU14.
  • Sokongan pengundi Melayu kepada PH dan PN adalah hampir sama iaitu di antara 22% ke 23%. Tahap sokongan Melayu kepada PH kali ini adalah lebih tinggi dari PRU14 (menjelang hari mengundi).
  • Jumlah pengundi Melayu yang belum membuat keputusan meningkat dari minggu lepas kepada 24%, iaitu pertambahan 4% dalam masa seminggu. Ini menunjukkan lebih ramai pengundi Melayu menukar keputusan dari mengundi UMNO/BN (minggu lepas) kepada “Belum buat keputusan” yang membayangkan peralihan undi Melayu kepada PH.
  • Sokongan pengundi Cina dan India kepada PH telah kembali ke paras PRU14.
  • Sokongan keseluruhan pengundi kepada PH mengatasi sokongan kepada UMNO/BN dan PN di semua peringkat umur pengundi. Peningkatan paling ketara ialah di kalangan pengundi >55 tahun (PH mendahului pada paras 36% berbanding BN – 31% dan PN – 11%), diikuti dengan kumpulan pengundi 25-54 tahun (PH mendahului pada paras 30% berbanding BN – 22% dan PN – 18%).
  • Sokongan keseluruhan pengundi muda 18-24 tahun adalah hampir sama bagi ketiga-tiga gabungan iaitu dalam julat 20% – 25%.

Jika pola sokongan ini tidak berubah menjelang hari mengundi esok dan jumlah kehadiran melebihi 75%, PH dijangka akan dapat memenangi lebih dari 100 kerusi Parlimen di seluruh negara.

Oleh itu, untuk meneruskan gelombang ini, saya menjemput semua rakyat Malaysia untuk menyertai saya, Anwar Ibrahim dan pimpinan KEADILAN/PH di Ceramah Mega Grand Finale #AyuhMalaysia #KitaBoleh malam ini (Jumaat, 18 November 2022) di Padang MPAJ, Pandan Indah bermula 830 malam.

Orang ramai di luar Lembah Klang boleh mengikuti siaran langsung di media sosial.

Saya doakan rakyat Malaysia terus membulatkan hati untuk membuat perubahan demi masa depan bila mengundi esok.

RAFIZI RAMLI

One thought on “Sokongan Melayu Kepada UMNO Jatuh Kepada 26.7% Sahaja Di Ambang PRU15, Terburuk Dalam Sejarah”

  1. InsyaAllah. Bagi saya secara jujur bahawa semangat pengundi mara ke hadapan kerana saudara Rafizi Ramli. Semoga tidak berulang lagi tragedi Si Luncai Bersama Labunya. Pandangan dan Perjuangan Saudara Rafizi Ramli adalah wawasan rakyat.

Leave a Reply to Zack Raymond Cancel reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.