Kerajaan PAS UMNO BERSATU Telah Bersetuju Melantik Mangkubumi Bagi Projek Tebatan Banjir RM2 Bilion Secara Rundingan Terus

Saya mengesahkan telah menerima satu Surat Tuntutan (“Demand Letter”) dari Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kenyataan-kenyataan saya yang mendedahkan pelantikan Mangkubumi Sdn Bhd dalam beberapa projek besar di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Untuk makluman orang ramai, menghantar Surat Tuntutan bukanlah bermakna tindakan saman telah diambil. Secara umumnya, satu pihak menghantar Surat Tuntutan ke satu pihak yang lain untuk mendapat penjelasan dan memaklumkan hasrat pihak itu untuk mengambil tindakan saman sekiranya tuntutan-tuntutan tidak dipenuhi.

Tindakan saman hanya bermula apabila saman itu difailkan di mahkamah.

Pengalaman saya selama ini menunjukkan hanya separuh dari surat-surat tuntutan yang dihantar kepada saya berakhir dengan tindakan saman. Surat-surat tuntutan dari 1MDB contohnya tidak pernah berakhir dengan tindakan saman.

Oleh itu, selepas peguam-peguam saya menjawab Surat Tuntutan dalam tempoh seminggu ini, saya berharap Tuan Ibrahim Tuan Man meneruskan niatnya untuk menyaman saya di mahkamah. Saya tidak mahu Surat Tuntutan yang dihantar semalam menjadi alat kempen semata-mata dalam tempoh berbaki kempen PRU15, tetapi selepas itu ia tidak berakhir dengan saman di mahkamah.

Saya mahu ke mahkamah kerana saya ada bukti yang kukuh mengenai pendedahan saya itu.

Sejak saya membawa isu ini ke pengetahuan umum pada hari Isnin lalu, reaksi tidak rasmi dan kenyataan rasmi Tuan Ibrahim Tuan Man cuba memberi gambaran berikut:

  • Bahawa isu yang saya bawa (iaitu projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 akan diberikan secara rundingan terus pada harga RM2 bilion kepada Mangkubumi Sdn Bhd) adalah rekaan dan palsu
  • Kenyataan saya bahawa proses untuk melantik Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus telah dan sedang berlaku adalah palsu
  • Bahawa Tuan Ibrahim Tuan Man tidak tahu apa-apa mengenai keputusan untuk melantik Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus bagi sebuah projek yang sebegitu besar

Oleh itu, hari ini saya tampil menunjukkan bukti kukuh bahawa projek tebatan banjir Kuala Langat Fasa 2 berjumlah RM2 bilion ini sebenarnya telah pun diluluskan secara rundingan terus kepada Mangkubumi Sdn Bhd.

Saya sertakan petikan surat dari Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon kepada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir. Dr Zaini Ujang bertarikh 7 Oktober 2022 dengan nombor rujukan MOF.BPK(5)600-15/59/206(4) yang bertajuk “PROJEK RANCANGAN TEBATAN BANJIR SUNGAI LANGAT FASA 2, SELANGOR”.

Saya petik kandungan surat tersebut di perenggan 2 untuk manfaat rakyat Malaysia:

“2.    Dimaklumkan bahawa YB Menteri Kewangan telah bersetuju meluluskan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2, Selangor dilaksanakan secara rundingan terus dengan syarikat Mangkubumi Sdn. Bhd. (MSB).”

Keputusan ini juga merujuk kepada surat dari Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai projek ini yang bertarikh 16 Ogos 2022.

Surat dari Kementerian Kewangan ini dikeluarkan pada 7 Oktober 2022 iaitu pada hari pembentangan bajet yang lepas. Secara logiknya, tumpuan keseluruhan kerajaan, Menteri Kewangan dan Kementerian Kewangan pada hari ini ialah pembentangan bajet.

Sebaliknya, surat ini dikeluarkan juga pada tarikh itu memandangkan menteri-menteri telah pun tahu bahawa Parlimen akan dibubarkan pada hari Isnin, 10 Oktober 2022.

Sebab itu saya katakan bahawa projek sebesar ini telah dipercepatkan keputusannya supaya kelulusan diberikan sebelum PRU15.

Lazimnya, apabila keputusan sebesar ini yang melibatkan Kementerian Alam Sekitar dan Air telah diputuskan di peringkat Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, walaupun surat pemakluman keputusan adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan kepada Ketua Setiausaha KASA, sudah tentu KSU KASA telah pun memberi taklimat dan memaklumkan Menteri KASA sejurus selepas 7 Oktober 2022.

Sebab itu saya kecewa dengan reaksi Tuan Ibrahim Tuan Man dan kepimpinan PAS yang cuba memberi gambaran mereka tidak tahu apa-apa. Malah, kempen PAS telah bertumpu sepenuhnya kepada menyerang peribadi saya untuk mengalihkan perhatian bahawa logiknya Tuan Ibrahim Tuan Man TAHU memang projek berjumlah RM2 bilion ini telah pun diluluskan oleh kerajaan untuk tindakan beliau sebagai Menteri KASA.

Saya juga akan menumpukan perhatian kepada tanggungjawab Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan yang meluluskan projek-projek rundingan terus seperti ini dalam sidang media yang akan datang.

Buat masa ini, saya berharap Tuan Ibrahim Tuan Man tidak berselindung di sebalik satu Surat Tuntutan untuk mencuci tangan dari tanggungjawab beliau mengenai projek ini.

Sekiranya Pakatan Harapan membentuk kerajaan dalam tempoh 10 hari dari sekarang, saya berhasrat untuk membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa mengenai peranan Ismail Sabri Yaakob, Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai peranan, fungsi dan keterlibatan mereka dalam kes ini untuk disiasat sepenuhnya oleh pihak-pihak berkuasa.

Walaupun Tuan Ibrahim sebelum ini mencabar saya untuk membuat laporan SPRM, saya berharap beliau bersabar kerana sudah tentu laporan SPRM akan dibuat sekiranya Pakatan Harapan membentuk kerajaan persekutuan dalam masa terdekat.

RAFIZI RAMLI

3 thoughts on “Kerajaan PAS UMNO BERSATU Telah Bersetuju Melantik Mangkubumi Bagi Projek Tebatan Banjir RM2 Bilion Secara Rundingan Terus

  1. Haramjadah Malaysia semakin galak menjana pemimpin melayu korup.Projek rakyat sebesar sepenting ini pun diberikan secara rundingan terus kepada syarikat kroni.Boleh kah rakyat hantar demand letter minta penjelasan dari puak-puak jahat ini?

  2. Siapa ahli lembaga dan Pengarah Syarikat Mangkubumi Sdn Bhd? Bolih diperjelaskan nama kaki sakau agar Menteri Alan Sekitar ( Tuan Ibrahim) tahu

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.