BN & PN: Kritik Pengisytiharan Harta Orang Lain Tetapi Tidak Berani Isytihar

Saya mengalu-alukan segala tumpuan yang diberikan kepada langkah KEADILAN mengisytiharkan harta. Setakat ini, majoriti calon-calon KEADILAN telah mengisytiharkan harta dan dijangka semua akuan berkanun akan dimuat naik di laman www.calonkeadilan.org dalam masa beberapa hari sahaja lagi.

Seperti yang dijangka, reaksi dari BN dan PN adalah untuk menimbulkan perkara-perkara remeh temeh berkenaan pengisytiharan harta saya. Saya sudah menjangkakan reaksi mereka dan itu memberi bola tanggung kepada kami dalam kempen PRU15.

Ada beberapa perkara yang ketara di mata pengundi ekoran dari reaksi BN dan PN kepada pengisytiharan harta saya:

  • BN dan PN tidak berani mengisytiharkan harta. Dalam keadaan rakyat menilai untuk memilih calon-calon yang bukan sahaja mengaku bersih tetapi dibuktikan bersih, kegagalan BN dan PN mengisytiharkan harta membezakan kredibiliti anti-rasuah KEADILAN dan parti-parti BN dan PN
  • Mereka menyerang pengisytiharan harta saya dengan perkara remeh temeh untuk mengalihkan perhatian dari keengganan mereka mengisytiharkan harta
  • Perkara remeh temeh yang ditimbulkan menunjukkan kebodohan kerana jelas mereka tidak faham mengenai industri teknologi dan suasana pelaburan dalam syarikat-syarikat pemula (startups) sedangkan BN dan PN adalah kerajaan yang sepatutnya memajukan industri syarikat pemula di negara ini

Pun begitu, saya mengambil kesempatan untuk menjawab beberapa perkara yang ditimbulkan. Bagi saya, serangan-serangan dari BN dan PN ini memberi peluang kepada saya memberi kesedaran kepada rakyat mengenai potensi ekonomi digital yang sepatutnya menjadi tumpuan negara.

Tiga perkara utama yang ditimbulkan oleh BN dan PN adalah:

  • Soal nilaian (valuation) saham-saham saya di dalam syarikat pemula yang dituduh tidak masuk akal kerana mereka mendakwa syarikat pemula mengalami kerugian
  • Soal punca sebenar harta bersih saya bernilai RM18 juta kerana pada pandangan mereka syarikat pemula tidak boleh mempunyai nilaian sebegitu tinggi
  • Tuduhan dari pimpinan BERSATU, Rashid Hasnon kononnya saya menggunakan sumbangan orang ramai untuk kekayaan peribadi

Saya akan jawab satu persatu seperti berikut:

PERTAMA: NILAIAN SYARIKAT PEMULA

Nilaian syarikat pemula yang berasaskan teknologi bukanlah bergantung kepada keuntungan tahunan semata-mata.

Secara umumnya, nilaian sesebuah syarikat pemula bergantung kepada:

  • Potensi platform atau teknologi yang dibangunkan dapat dikembangkan dengan cepat di banyak pasaran dan digunakan oleh ramai pengguna (adoption scalability) yang bergantung kepada satu kriteria dipanggil product-market fit
  • Prestasi menjana perolehan dari awal yang berkembang pesat setiap tahun (revenue growth)
  • Kemampuan mengimbangi pertumbuhan perolehan dan mengawal perbelanjaan supaya syarikat pemula ada tunai yang mencukupi untuk masa yang panjang (cash sustainability)

Ada pelbagai model kewangan yang digunakan secara piawai untuk menilai syarikat-syarikat pemula. Model-model ini berbeza mengikut kehendak pelaburan firma modal teroka (venture capital firm). Pun begitu, secara umumnya, ada beberapa model kewangan terkenal yang digunakan oleh firma-firma modal teroka, termasuklah:

  • Annual recurring revenue multiples of 15x to 25x (based on worldwide data of transactions in 2018 to 2021) for private cloud startups that are growing100% to 300% annually; and about 5x to 10x for public cloud startups that are growing about 30% annually (Sumber: Bessemer Venture Partners)
  • Revenue multiples of 10x to 20x times and more for the fast-growing, cloud-based businesses, in contrast to multiples of 1x to 5x for the rest (Sumber: Crunchbase)
  • Revenue multiples of 10x to 15x for super high revenue growth of 100% to 300% year-on-year (Sumber: Microcap.co)

Apa pun kaedah nilaian yang digunakan oleh pelabur-pelabur, akhirnya harga saham yang diterbitkan dan dilanggan oleh pelabur bergantung kepada persetujuan harga di antara syarikat pemula dan pelabur atas prinsip “willing buyer and willing seller”.

INVOKE mempunyai dua buah anak syarikat. Apabila INVOKE menerbitkan saham-saham baru kepada pelabur, pelabur membeli saham INVOKE dan bukannya saham kumpulan syarikat (konsep saham kumpulan tidak wujud).

Nilaian yang dibuat adalah ke atas INVOKE sebagai sebuah syarikat, bukannya kepada kumpulan syarikat (kerana anak-anak syarikat boleh dijual kepada syarikat-syarikat lain di masa hadapan).

INVOKE mencatat keuntungan setiap tahun sejak 2020. INVOKE hanya tidak mencatat keuntungan pada tahun pertama menjadi syarikat komersial iaitu 2019.

Keuntungan INVOKE mengikut tahun: tahun kewangan 2020 (RM507,000), tahun kewangan 2021 (RM653,000) dan jangkaan keuntungan tahun kewangan 2022 (RM1.5 juta). Di kalangan syarikat pemula dan syarikat teknologi di seluruh dunia, keupayaan menjana keuntungan dari mula adalah satu prestasi yang baik kerana lebih 90% syarikat pemula tidak pun menjana keuntungan selepas lima tahun beroperasi.

Propaganda BN dan PN kononnya INVOKE mengalami kerugian hanyalah kerana mereka tidak faham membaca penyata kewangan yang penuh. Kerugian INVOKE hanyalah di peringkat kumpulan dan kerugian itu semakin berkurang dari setahun ke setahun, serta dijangka mencatat keuntungan terkumpul di peringkat kumpulan dalam masa beberapa tahun akan datang.

Terbitan saham terakhir INVOKE dalam 2022 adalah pada nilaian RM75 juta. Nilaian ini sebenarnya lebih rendah dari nilaian rasmi yang dibuat oleh Craddle, sebuah agensi rasmi kerajaan yang meletakkan nilaian INVOKE pada harga RM105 juta.

Bukti nilaian ini boleh diperolehi dari laman www.mystartup.gov.my yang dikendalikan Craddle yang meletakkan nilaian INVOKE pada harga USD25.2 juta (sekitar RM105 juta).

Nilaian ini dibuat oleh sebuah firma penilai bebas antarabangsa iaitu VentureCapInsights (yang boleh disemak di www.venturecapinsights.com )

Semua terbitan saham-saham INVOKE yang telah dilanggan oleh pelabur-pelabur dalam dan luar negara telah didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan diaudit sepenuhnya.

Pelabur-pelabur antarabangsa yang memegang saham di dalam INVOKE juga melantik firma penilai bebas sebelum membuat pelaburan di dalam INVOKE.

KEDUA: PUNCA MODAL YANG DILABURKAN DI DALAM INVOKE

Tuduhan yang dibawakan oleh Rashid Hasnon, calon BERSATU untuk Batu Pahat lebih berniat jahat untuk menimbulkan persepsi kononnya saya menyelewengkan sumbangan orang ramai untuk mengkayakan diri sendiri.

Saya mencecah simpanan tunai melebihi dua juta ringgit menjelang umur saya 30 tahun kerana rekod kerjaya yang baik. Saya memulakan kerjaya sebagai akauntan bertauliah di London dan mendapat gaji dalam pound.

Apabila saya kembali ke Malaysia, saya dinaikkan pangkat dengan begitu cepat dalam masa dua tahun.

Pada umur 26 tahun, gaji permulaan saya di PETRONAS adalah RM3,750. Setelah enam bulan, saya disahkan sebagai pengurus dan gaji naik kepada RM11,000 sebulan. Seterusnya saya dinaikkan pangkat sebagai Ketua Bahagian Perancangan Petrokimia pada umur 27 tahun dan gaji RM25,000 sebulan.

Pada ketika itu juga, PETRONAS memendekkan tempoh perkhidmatan dan umur persaraan dari 60 tahun ke 55 tahun. Saya dibayar pampasan RM400,000 pada umur 29 tahun untuk tempoh 5 tahun perkhidmatan yang dipendekkan.

Saya juga berada dalam industri minyak dan gas pada ketika harga minyak naik mendadak dan bonus tahun yang besar. Sepanjang 7 tahun saya berada di PETRONAS, bonus tahunan purata saya adalah di antara sepuluh hingga dua belas bulan setahun.

Sebab itu, saya mempunyai simpanan yang mencecah dua juta ringgit menjelang umur 30 tahun dan simpanan ini yang digunakan untuk memulakan syarikat pemula.

Tuduhan yang dibuat oleh Rashid Hasnon itu telah pun dimainkan oleh kumpulan Azmin yang masih berada di dalam KEADILAN dalam tahun 2017 (mereka semuanya kini bersama Azmin di dalam BERSATU).

Saya telah menunjukkan bukti secara terperinci di blog saya dengan berkongsi senarai keluar masuk wang di dalam akaun INVOKE.

Penyata kewangan dan percukaian INVOKE juga telah diaudit sepenuhnya dan difailkan dengan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Syarikat, LHDN dan Jabatan Kastam.

Kesemua hasil INVOKE sehingga 2018 telah dibelanjakan sepenuhnya untuk membiayai kempen PRU14 yang menyumbang kepada kemenangan PH dan memberi tempat kepada bekas-bekas wakil rakyat KEADILAN yang melompat seperti Rashid Hasnon sendiri.

Setelah PRU14 berakhir dan semua hasil dibelanjakan sepenuhnya, saya tidak ada pilihan lain kecuali menukar model INVOKE menjadi komersial dan menerbitkan saham-saham baru kepada pelabur untuk membolehkan kakitangan INVOKE seramai 150 orang kekal dengan kemahiran mereka.

Semua rekod-rekod ini, dari gaji dan pendapatan saya, penyata kewangan dan percukaian INVOKE ada dengan semua pihak berkuasa.

Sebagai tokoh pembangkang yang lantang, sekiranya ada penipuan atau penyelewengan, sudah tentu sudah lama saya disiasat dan didakwa di mahkamah oleh kerajaan BN dan PN, seperti mana Najib Razak didakwa akibat kesalahan melibatkan LHDN.

Saya percaya penjelasan-penjelasan saya semakin menyerlahkan kebodohan pihak lawan yang tidak ada modal kerana enggan mengisytiharkan harta.

Saya juga berharap anak-anak muda semakin memahami bahawa jalan terbaik untuk mencari kekayaan ialah dengan membina perniagaan yang berdaya saing hingga boleh menarik pelabur antarabangsa, bukannya dengan menyeleweng wang rakyat seperti yang dibuat ahli-ahli politik.

RAFIZI RAMLI

3 thoughts on “BN & PN: Kritik Pengisytiharan Harta Orang Lain Tetapi Tidak Berani Isytihar”

  1. 1.Terbaik dan sangat inspiratif.
    2. Model busines ini perlu dikembangkan di kalangan anak muda terutamanya.
    3. Sikap transparen dan kejujuran adalah asas kepimpinan yang diperlukan untuk the next generation.
    4. So far, you are the best model for young generation. TQ.

  2. “Saya juga berharap anak-anak muda semakin memahami bahawa jalan terbaik untuk mencari kekayaan ialah dengan membina perniagaan yang berdaya saing hingga boleh menarik pelabur antarabangsa, bukannya dengan menyeleweng wang rakyat seperti yang dibuat ahli-ahli politik.”

    Itu sebabnya kalau kita mahu Malaysia maju, kita perlu tukar kerajaan. Anak cucu tak boleh cari makan kalau perompak dan penyamun berkuasa.

  3. 1. Tahniah saudara Rafizi kerana sentiasa memberikan gambaran jelas kepada situasi yang biasanya susah untuk rakyat biasa melihat dan memahami.

    2. Bagi mereka yang tidak biasa dengan derivatives, saham dan sebagainya, ia memerlukan penjelasan lebih “layman” apabila nilai atau capital saham dibincangkan. Bagaimanapun saya rasa perungkaian yang dibuat saudara untuk syarikat invoke adalah memadai.

    3. Cuma dari segi simpanan tunai, adalah sesuatu yang agak rumit bagi pekerja dalam bidang apapun termasuk O&G, sekiranya bermula dengan kosong ringgit untuk mengumpul sejumlah RM2 juta diusia seawal 30 tahun sekiranya mereka bekerja di sektor swasta mahupun awam, namun bagi sektor teknologi seperti O&G, ianya boleh dicapai melalui prestasi kerja yang sangat cemerlang dan penjimatan perbelanjaan.ya, saya pernah mengenali seorang engineer yang bargaji RM75K/bulan hanya memiliki Myvi kerana tidak berminat sangat dengan kenderaan namun sangat suka menyimpan dan melaburkan wang dan juga hartanah. Perasaan gembira dapat menyimpan dan mengembangkan setiap ringgit.

    4. Oleh kerana persepsi itu penting, saya mencadangkan agar saudara membuat illustrasi bagaimana saudara dapat mengumpul tunai pada usia muda seperti contoh berikut:

    A. Penggajian sebagai eksekutif di UK, 2 RIBU Pound sterling sebulan. Simpanan 1k sebulan bersamaan RM5.5Kx12x5 tahun = RM330K. Disimpan di ASB/ASW/ASM/TH etc maka berkembang menjadi = RM4XX,XXX

    B. Gaji Petronas : 25k sebulan, simpan (average 7k-15k sebulan x12x 10 tahun RM1.xxjuta Disimpan di ASB/ASW/ASM/TH etc maka berkembang menjadi = RM2.xx juta

    C. Bonus Petronas : gaji RM25kx12x5 tahun : RM1.xx juta (average)

    D. Epf hasil kerja petronas: retirement scheme buy out dibayar pada akaun kwsp pekerja RM400k.
    E. Sumbangan pekerja 11%, sumbangan majikan 15-19% , ya petronas membayar lebih dari kadar yg ditetapkan oleh akta bagi bahagian majikan untuk pekerja yg telah lama bekerja.

    Maka A+B+C+D = RMx.xx juta.

    Inilah maksud saya bahawa ramai dikalangan rakyat yang berasa mustahil bagaimana duit boleh dikumpulkan semasa usia muda, tapi dengan peluang yang tersedia di sektor berkaitan, disiplin kerja yang tinggi, kecekapan dan kompetensi yang baik maka ianya adalah boleh dicapai.

    Sekadar cadangan. Terima kasih.

Leave a Reply to Muhammad Ashraf Cancel reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.