Auta Najib: PH ‘Bailout’ 2019 Salah, Dia ‘Bailout’ OK

Selepas saya membantah gesaan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mahukan Kerajaan Persekutuan menggunakan wang rakyat  (melalui institusi milik rakyat seperti PETRONAS, Khazanah atau Permodalan Nasional Berhad) untuk menyelamatkan Sapura Energy Berhad (“Sapura”), jawapan yang biasa dimainkan Najib ialah dengan menuding jari terhadap pentadbiran Pakatan Harapan di bawah Tun Mahathir Mohamad.

Semua “Bailout” Salah

Di awal pentadbiran PH dalam tahun 2018, Permodalan Nasional Berhad telah bersetuju menyuntik sejumlah RM4 bilion untuk memperbaiki aliran tunai Sapura dengan melanggan terbitan saham baru syarikat itu. Langganan ini berbentuk RM3 bilion saham biasa (“ordinary shares”) dan RM1 bilion saham saham terpilih (“preference shares”). Urusniaga ini disempurnakan dalam tahun 2019 lalu menjadikan PNB pemegang saham terbesar Sapura dengan 40% milikan saham biasa.

Pandangan saya ialah semua bentuk “bailout” yang melibatkan suntikan dana awam untuk menyelamatkan syarikat korporat adalah buruk dan wajar ditolak. Prinsip ini terpakai kepada semua syarikat korporat, tidak kiralah syarikat korporat itu milik kerajaan (“state-owned enterprise” atau SOEs), syarikat berkaitan kerajaan (“GLC”), syarikat awam yang sahamnya dimiliki dana awam (“public listed companies with substantial public fund’s ownership”), apatah lagi syarikat korporat biasa.

Pendekatan “bailout” adalah buruk atas sebab-sebab berikut:

  • Ia menggalakkan usahawan korporat untuk mencari jalan singkat mengaut keuntungan dengan mendadak tanpa mengambil kira langkah membina syarikat yang berdaya saing dan kental menghadapi cabaran naik turun perniagaan.
  • Ia sama dengan menswastakan keuntungan dan memiliknegarakan kerugian. Semasa perniagaan untung, keuntungan diambil oleh pemilik tetapi apabila perniagaan rugi, kerugian dialihkan kepada orang ramai.
  • Dana awam digunakan secara terpilih yang hanya menguntungkan segelintir golongan masyarakat sahaja sedangkan jumlah besar itu boleh dimanfaatkan kepada golongan yang lebih besar.
  • Syarikat yang diambil alih selepas “bailout” selalunya mewarisi pelbagai masalah kewangan kronik (akibat dari keborosan pengurusan sebelumnya) yang tidak dapat diselamatkan walaupun ada suntikan dana awam. Masalah selalunya berulang yang memerlukan lebih banyak dana awam disuntik selepas itu.

Saya tidak ada pengaruh, jawatan atau kedudukan di dalam Kerajaan Pakatan Harapan ketika itu. Saya juga lantang mengkritik beberapa keputusan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketika itu dan langkah menyuntik dana PNB untuk menyelamatkan Sapura ketika itu adalah satu lagi keputusan pentadbiran Tun Mahathir Mohamad yang saya tidak bersetuju.

Tetapi saya konsisten dengan pendirian ini tidak kira pihak mana yang mengutarakannya, bukannya seperti Najib yang autanya mengikut rasa pengendali laman sosialnya (“Admin FB”). Sedang dia mengkritik tindakan PH “bailout” Sapura dalam tahun 2018, kini dia pula perasan cerdik dan berlakon prihatin apabila menggesa perkara yang sama dalam tahun 2022.

Ia seperti perumpamaan “orang lain mencuri tidak boleh, dia mencuri boleh pula”.

Akta Kawal Selia “Bailout”

Saya memberi tumpuan kepada isu Sapura dan gesaan Najib supaya ada suntikan dana awam kerana saya percaya rakyat Malaysia perlu menghentikan amalan “bailout” ini yang telah berlaku sekian lama dalam negara kita.

Jika perniagaan yang dimiliki rakyat biasa menghadapi kesukaran, tidak ada sebarang bentuk kelonggaran atau bantuan yang akan diberikan. Malah, usahawan biasa terpaksa mengambil wang sendiri membayar cukai atau denda yang dikenakan.

Jika perniagaan itu milik individu bernama besar yang rapat dengan golongan bangsawan masyarakat (selalunya pemimpin politik besar), perniagaan itu boleh mendapat bantuan pihak berkuasa, sama ada dalam bentuk geran, suntikan dana, pinjaman mudah atau kelonggaran. Kroni-kroni ini tidak pula perlu menjual harta peribadi mereka untuk disuntik ke dalam perniagaan yang bermasalah.

Perkara ini berlaku dalam setiap dekad di bawah semua Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang pernah ada. Ia perlu dihentikan segera.

Saya mencadangkan Ahli-ahli Parlimen KEADILAN untuk mula menggubal satu rang undang-undang yang mengawal selia sebarang suntikan dana awam berbentuk “bailout” untuk dibentangkan di Parlimen (secara rang undang-undang persendirian).

Fasal utama di dalam rang undang-undang tersebut bolehlah menyentuh perkara-perkara berikut:

  • Sebarang bentuk “bailout” perlulah dibuat menggunakan akta yang diluluskan di Parlimen. Contohnya, jika “bailout” itu melibatkan Syarikat Najib, maka satu akta bernama “Akta Pendanaan Awam Ambil Alih Syarikat Najib” perlu dibentangkan dan diluluskan.
  • Akta itu perlu menetapkan syarat-syarat yang jelas mengenai peranan, hukuman dan imbuhan kepada pemilik asal dan eksekutif kanan syarikat. Contohnya, akta boleh menetapkan bahawa eksekutif kanan syarikat tidak boleh mendapat kenaikan gaji atau bonus dalam tempoh tiga tahun, atau pemilik asal tidak layak mendapat dividen untuk tempoh tertentu.
  • Sebarang “bailout” (jika terdesak dan tiada pilihan lain) seboleh-bolehnya melibatkan industri (yang perlu diselamatkan atau dipertahankan) bukannya syarikat tertentu.

Penggubalan akta seperti ini adalah perlu untuk mengekang amalan kroni kapitalisme (“crony capitalism”) yang telah lama berakar tunjang di negara ini sehinggakan setiap generasi terpaksa berdepan dengan siri “bailouts” tersendiri yang hutang dan kerugiannya ditanggung rakyat untuk beberapa generasi akan datang.

RAFIZI RAMLI

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.