TOLAK SARANAN NAJIB GUNA WANG RAKYAT SELAMATKAN SAPURA

Saya merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 20 Mac 2022 yang menggesa Kerajaan Persekutuan (melalui PETRONAS atau Khazanah Nasional) untuk menyelamatkan Sapura Energy Berhad yang kini berdepan risiko muflis.

Beliau memberi alasan rakyat (yang memiliki institusi-institusi seperti PETRONAS atau Khazanah Nasional) akan kerugian besar jika Sapura tidak diselamatkan. Contoh-contoh kerugian yang diberikan termasuklah kerugian kepada pemegang Amanah Saham Bumiputera sebanyak RM4 bilion, kerugian kepada Maybank sebanyak RM10 bilion dan kehilangan pekerjaan sebanyak 10,000 orang.

Selepas kemenangan besar UMNO/Barisan Nasional dalam pilihanraya negeri Melaka dan Johor, suara seperti ini yang mengambil sikap mudah membelanjakan wang rakyat untuk menutup kerugian korporat semakin kuat kedengaran. Rekod pentadbiran UMNO/Barisan Nasional, terutamanya semasa Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, menunjukkan skandal-skandal besar pembaziran wang negara berlaku apabila UMNO/Barisan Nasional merasakan mereka kuat dan tidak tercabar.

Sementara saya simpati dengan nasib kakitangan Sapura yang berhadapan masa depan tidak menentu, membelanjakan berbilion wang rakyat kepada beberapa kerat syarikat korporat dalam keadaan semua perniagaan dan semua pekerja di segenap peringkat menghadapi kesusahan adalah tidak adil.

Lebih-lebih lagi apabila sejumlah wang yang besar melebihi berbilion-bilion ringgit telah pun disuntik ke dalam Sapura sejak lebih sedekad yang lalu. Walaupun terus diberi suntikan wang rakyat, Sapura terus mengalami masalah kewangan pada kala harga minyak mentah berada pada paras yang tinggi (berbeza dengan syarikat minyak lain yang mendapat durian runtuh apabila harga minyak mentah dunia naik).

Sekiranya gesaan Dato’ Seri Najib Tun Razak ini diberi perhatian, wang rakyat yang boleh digunakan untuk membina kepakaran dan kemahiran usahawan-usahawan kecil, anak-anak muda, memberi pinjaman pendidikan dan seumpamanya akan terus diperuntukkan untuk membela segelintir golongan elit, sedangkan semasa golongan elit ini bermewah (hasil dari pembiayaan wang rakyat) mereka tidak pula memikirkan tanggungjawab mereka memberi pulangan pelaburan yang baik kepada rakyat.

Saya akan terus memantau isu ini dan membentangkan angka-angka dalam hari-hari yang seterusnya untuk mengingatkan rakyat supaya jangan terpedaya sekali lagi dengan idea pengurusan ekonomi dari Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya menunggu sama ada beliau akan membalas kenyataan saya ini, seperti mana beliau begitu ghairah menjawab semua isu di media sosialnya selama ini. Sekembalinya saya ke arena politik, In Sha Allah setiap idea songsang dari Dato’ Seri Najib Tun Razak akan menerima maklum balas dari saya.

RAFIZI RAMLI

Naib Presiden KEADILAN

One thought on “TOLAK SARANAN NAJIB GUNA WANG RAKYAT SELAMATKAN SAPURA”

Leave a Reply to Joe Cancel reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.