Menjawab “Spin” Penyokong PAS Menidakkan Hubungan Dato’ Seri Rameli Musa Dengan Presiden PAS

 

4

1. Sejak semalam, penulis tidak bernama dari kalangan penyokong yang wala’ kepada pimpinan PAS terus mengeluarkan pelbagai teori konspirasi politik.

2. Tujuan mereka adalah untuk menyucikan presiden mereka (yang mereka anggap suci) dari fakta yang kini tidak lagi boleh dinafikan: Ada bayaran RM1.4 juta kepada Clare Rewcastle Brown untuk membolehkan perbicaraan di mahkamah UK tidak diteruskan.

3. Pada mulanya PAS menafikan membayar jumlah RM1.4 juta itu. Ketika ini, Setiausaha Agung PAS sendiri lantang menafikan PAS membayar RM1.4 juta.

4. Apabila Clare Rewcastle Brown menunjukkan dokumen-dokumen sebagai bukti, Setiausaha Agung PAS itu terus diam dan tidak ada satu pun kenyataan rasmi dari beliau. Tugas putar belit (atau “spin”) diberikan pula kepada Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Tantawi.

5. Nasruddin Tantawi memutar dengan menyatakan bahawa nombor akaun Bank Islam dalam dokumen yang didedahkan Clare Rewcastle Brown itu adalah palsu. Maka beribu-ribu anggota PAS mula menyebarkan berita palsu dengan ratib “itu akaun palsu sebab nombor akaun Bank Islam ada 14 digit, bukan 10 digit”.

6. Tidak sampai 2 jam selepas putaran berbelit Nasruddin Tantawi itu, saya buktikan bahawa akaun itu benar-benar wujud dan dimiliki oleh seorang yang bernama Rameli Musa. Peguam Clare Rewcastle Brown juga telah mengesahkan wang RM1.4 juta telah pun masuk ke akaun Clare Rewcastle Brown.

7. Selepas kantoi, Nasruddin Tantawi tidak lagi berbunyi. Sama juga seperti Setiausaha Agung PAS, Nasruddin Tantawi terus diam dan senyap. Tiada lagi putaran.

8. Kini tugas putar belit itu diambil oleh penyokong wala’ tidak bernama (rujukan dalam dialek pop adalah “walaun”) yang kini mencipta pelbagai cerita yang karut dan berbohong, seolah-olah bohong itu tidak mendatangkan dosa.

9. Walaupun ada pendirian yang dikeluarkan oleh PAS membenarkan pembohongan demi menutup tindakan mereka mengambil wang UMNO, hukum itu tidak betul. Saya yakin majoriti ulama’ di seluruh dunia bersetuju berbohong itu (apatah lagi untuk menutup tindakan mengambil duit dari lawan, iaitu satu tindakan tidak jujur) adalah berdosa.

10. Ada beberapa pembohongan yang kini disebarkan oleh penyokong wala’ PAS sejak semalam.

11. Pertamanya, menggunakan logik katak (di bawah tempurung): oleh kerana wang RM1.4 juta itu datang dari akaun Dato’ Seri Rameli Musa, maka ia mengesahkan Dato’ Seri Hadi Awang atau PAS tidak membayar RM1.4 juta itu.

12. Dokumen-dokumen yang difailkan oleh Clare Rewcastle Brown untuk memuktamadkan persetujuan tidak meneruskan kes itu di mahkamah secara jelas menunjukkan dan menyatakan bahawa pembayaran RM1.4 juta dari akaun Bank Islam itu adalah sebahagian dari syarat penyelesaian kes di mahkamah UK.

13. Pembohongan walaun yang cuba menyucikan presiden mereka ada kesan undang-undang kepada presiden mereka: jika Dato’ Seri Hadi tidak membayar wang itu seperti yang dipersetujui dengan Clare Rewcastle Brown, itu bermakna dia (Hadi) tidak menepati perjanjian.

14. Itu membolehkan saman terhadapnya oleh Clare Rewcastle Brown diteruskan di mahkamah UK kerana perjanjian untuk sama-sama tidak meneruskannya (seperti dokumen yang didedahkan) boleh terbatal. Sudah tentu penyokong wala’ PAS tidak tahu bahawa apabila presiden mereka menyaman Clare Rewcastle Brown di mahkamah UK, Clare juga telah menyaman balas presiden mereka.

15. Walaupun Dato’ Seri Hadi Awang bermati-matian mahu menarik balik saman itu untuk mengelakkan risiko kalah di mahkamah, tindakan itu sia-sia jika Clare Rewcastle Brown berkeras mahu meneruskan saman balas yang difailkan.

16. Sebab itu ada perjanjian tepi yang mana Presiden PAS itu (sebagai plaintif yang memfailkan saman di mahkamah UK) membayar RM1.4 juta supaya bukan saja dia boleh menarik balik samannya, tetapi Clare Rewcastle Brown tidak meneruskan samannya terhadap Presiden PAS itu.

17. Oleh kerana taksubnya penyokong wala’ PAS ini terhadap kesucian presiden, mereka tidak sedar cerita rekaan mereka (kononnya bayaran itu tidak ada kena mengena dengan presiden mereka) itu boleh membawa kesukaran baru kepada presiden mereka.

18. Satu lagi pembohongan ialah kononnya Dato’ Seri Rameli Musa ini adalah sahabat karib Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan tindakan menamakan beliau sebenarnya menunjukkan ini semua perancangan untuk memfitnah Presiden PAS. Atau ia sebenarnya mendedahkan kepincangan PH sendiri kerana kononnya Dato’ Seri Rameli Musa ini orang PH, bukan orang PAS.

19. Satu lagi kebodohan mereka yang terlalu ghairah mahu menyucikan Dato’ Seri Hadi Awang sehingga mereka sanggup memfitnah penyokong besar parti mereka dan sahabat karib keluarga presiden mereka, yang diketahui umum banyak memberi sumbangan kewangan kepada PAS.

20. Memang Dato’ Seri Rameli Musa ini belajar di MCKK dulu dan pernah berada di dalam ABIM.

21. Ia tidak ubah seperti saya orang Terengganu (seperti mana Dato’ Seri Hadi Awang orang Terengganu) dan Hadi Awang sendiri pernah menjadi pimpinan ABIM Terengganu.

22. Tetapi itu tidak menjadikan saya orang kuat PAS (hanya kerana saya ada sedikit persamaan dengan Dato’ Seri Hadi Awang) atau Dato’ Seri Anwar Ibrahim ahli PAS (hanya kerana beliau pernah menjadi presiden ABIM dan presiden PAS kini pernah menjadi pimpinan bawahan beliau di dalam ABIM dahulu).

23. Sepanjang saya menjadi pimpinan kanan KEADILAN sejak dari tahun 2010, tidak pernah sekali pun Dato’ Seri Rameli Musa terlibat dengan KEADILAN atau menjadi penyokong/rakan rapat kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam agenda KEADILAN.

24. Secara umumnya, kami kenali beliau dari jauh dan hormati beliau sebagai penyokong PAS yang ada perniagaan besar (maka keperluan beliau untuk juga dilihat kekal rapat dengan sesetengah pimpinan UMNO).

25. Pada pandangan kami, beliau dikenali sebagai bekas aktivis ABIM dan ahli perniagaan yang menyokong gagasan Unity Government, iaitu menyatukan UMNO dan PAS sejak dari tahun 2008 lagi.

26. Laporan-laporan dari laman rasmi PAS sendiri menyebut bagaimana beliau mengiringi Dato’ Seri Hadi Awang dalam beberapa program, malah disertai dengan gambar-gambar bersama.

27. Laporan berita sejak dari semalam menyatakan Dato’ Seri Rameli Musa adalah sahabat karib Dato’ Seri Hadi Awang dan sering ke rumah menantu presiden PAS itu.

28. Sehingga kini, berita-berita itu tidak disangkal.

29. Tidak ada salahnya Dato’ Seri Rameli Musa rapat dengan Dato’ Seri Hadi Awang. Saya juga tidak terkejut beliau (Rameli) sanggup membayar RM1.4 juta untuk menyelamatkan maruah rakan karibnya itu. Ia satu tindakan terpuji.

30. Yang salahnya ialah bila PAS berlaku tidak jujur dengan cuba memutar belit demi modal politik. Salah apabila pimpinan PAS tidak membetulkan penyokong wala’ di bawah yang menabur pelbagai fitnah terhadap Dato’ Seri Rameli Musa, sedangkan tokoh perniagaan itu begitu banyak membantu kewangan PAS selama ini.

31. Akibat pelbagai tuduhan tidak benar yang dikilang oleh penyokong wala’ di bawah, ia menimbulkan pandangan buruk mengenai Dato’ Seri Rameli Musa.

32. Ini mengundang rakyat keseluruhannya mempersoalkan kredibiliti Dato’ Seri Rameli Musa, yang akhirnya akan mempersoalkan kenapa rakan karib presiden PAS (yang membayar RM1.4 juta untuk menyelamatkan maruah presiden PAS ini) dilantik sebagai Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) oleh kerajaan PH.

33. Sedangkan Dato’ Seri Rameli Musa memang seorang niagawan Melayu yang berjaya dan tanpa cerita yang dikilang oleh penyokong wala’ PAS yang menuduh beliau menjadi kuli suruhan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (sedangkan beliau sebenarnya rakan karib Dato’ Seri Hadi Awang), tiada apa yang pelik sangat dengan lantikan beliau sebagai Pengerusi KTMB oleh kerajaan PH.

34. Ia menunjukkan betapa terbuka dan profesionalnya kerajaan PH yang tidak menghukum seseorang atas pegangan politik, sehingga rakan karib presiden PAS pun dilantik sebagai ketua GLC yang besar.

35. Namun, dengan kerja-kerja putar belit (“spin”) kini diserahkan sepenuhnya kepada penyokong wala’ dan pimpinan PAS mencuci tangan, kemungkinannya korban paling besar dalam cubaan menutup kemaluan presiden PAS ini adalah rakan karib beliau sendiri.

36. Dalam kesemua kekecohan ini, tidak sekali pun Dato’ Seri Hadi Awang menjawab fakta-fakta yang dikeluarkan satu persatu. Setiausaha Agung telah jawab dan kantoi. Ketua Penerangan telah jawab dan kantoi.

37. Dan kini beliau melihat sahaja penyokong-penyokong yang wala’ kepada beliau menghina rakan karib beliau yang sanggup membayar RM1.4 juta untuk menyelamatkan maruah beliau yang tercalar akibat strategi “kingmaker” dan “cash is king” yang gagal.

38. Sehingga kini beliau tidak membela Dato’ Seri Rameli Musa dan menyatakan bahawa Dato’ Seri Rameli Musa itu sahabat karib beliau. Atau mengiyakan bahawa memang Dato’ Seri Rameli Musa membayar RM1.4 juta sebagai sebahagian dari perjanjian untuk menamatkan kes saman beliau di mahkamah UK.

39. Tetapi begitulah untungnya menjadi pimpinan tertinggi di dalam PAS. Anggota bawahnya diasuh dengan sifat wala’ dan menelan bulat-bulat apa yang disebut oleh pimpinan mereka, termasuk strategi politik ke laut yang menjerumuskan PAS menjadi khadam kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak.

40. Mudah menjadi presiden kepada parti yang anggotanya wala’. Kalau presidennya salah, presiden tidak boleh ditegur. Kalau presiden tersalah saman di mahkamah UK, tin-tin milo diedarkan untuk mengutip derma dari anggota yang miskin.

41. Bila tindakan membayar RM1.4 juta untuk menamatkan kes saman terkantoi, penyokong-penyokong wala’ mencipta cerita yang memfitnah rakan karib presiden dan jika presiden berdiam sahaja pun tidak mengapa, kerana mereka wala’ kepada beliau.

42. Sebab itu saya tidak hairan kalau PAS tidak kisah terus kalah dalam pilihanraya umum dan kekal menjadi pembangkang paling lama dalam sejarah negara.

43. Sebab Presiden PAS, dalam keadaan sekarang, hidupnya lebih bahagia dan senang dari Perdana Menteri: tidak perlu dipersoal, tidak boleh dikritik anggota dan tabung tin milo sentiasa ada untuk membayar apa yang diperlukan.

2 thoughts on “Menjawab “Spin” Penyokong PAS Menidakkan Hubungan Dato’ Seri Rameli Musa Dengan Presiden PAS”

  1. Well authored and researched article. Kita tunggu dan lihat nanti ada tak sesiapa yang didakwa dlm kes RM90 juta.

Leave a Reply to Shah Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.