Temuduga Terbesar Dalam Sejarah Menggunakan Sistem A.I “adnexio”

1. Sejak September 2018, saya bersama-sama sekumpulan saintis data (data scientist) dan jurutera perisian (software engineers) telah menumpukan usaha membangunkan satu perisian yang mempunyai kecerdasan buatan (artificial intelligence atau AI) untuk membantu menyelesaikan masalah pengangguran dan pembangunan modal insan (human capital) di negara ini.

2. Sebahagian dari masa saya selepas PRU14 dihabiskan dengan syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) serta anak-anak muda untuk memahami masalah pengangguran dan pembangunan modal insan dengan lebih baik. Saya mengenal pasti masalah-masalah berikut:

(i) Syarikat-syarikat SME yang menjadi nadi ekonomi negara berhadapan kesukaran mendapat tenaga kerja yang sepadan dengan keperluan mereka. Calon-calon (yang memohon melalui portal kerja sedia ada) selalunya tidak memenuhi syarat-syarat latar belakang pendidikan atau kemahiran, atau calon-calon yang baik tidak mahu memohon bekerja dengan SME.

(ii) Calon-calon merasakan mereka tidak mendapat maklumat yang mencukupi mengenai kekosongan yang ada dalam pasaran kerja. Akibatnya, mereka saling memohon kepada beberapa kekosongan dari syarikat-syarikat besar atau jawatan kerajaan yang menyebabkan persaingan menjadi terlalu sengit.

(iii) Calon-calon tidak mendapat latihan yang sebaiknya sebagai persediaan menyertai pasaran kerja. Prestasi temuduga mereka boleh diperbaiki dan mereka tidak boleh mengagak keperluan pasaran kerja. Malangnya, tidak ada sebarang sistem yang boleh memberi maklum balas terus kepada mereka secara berterusan untuk menambahbaik kebolehpasaran mereka.

3. Mengambil kira keperluan-keperluan mendesak ini, kami mengambil jalan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence) untuk membangunkan satu sistem yang memenuhi ketiga-tiga keperluan di atas.

4. Sistem yang kami namakan adnexio ini boleh digunakan bermula hari ini dengan melayari ww.adnexio.my. adnexio bermakna “menghubungkan” dalam bahasa Latin, bagi menggambarkan kebolehan sistem AI ini yang menghubungkan majikan dan pencari kerja.

5. adnexio adalah ekosistem yang menghubungkan majikan dan calon-calon pencari kerja. Calon-calon akan melalui temuduga dengan seorang yang bernama NEX melalui sistem ini.

6. NEX adalah satu ciptaan kecerdasan buatan (artificial intelligence) yang dilatih untuk menjalankan temuduga dengan ratusan ribu calon dan mengenal pasti ciri-ciri yang dikehendaki oleh majikan. NEX berfungsi seperti seorang pegawai sumber manusia yang bertanggungjawab mencari calon, menyemak kelulusan calon, menilai pengalaman kerja dan kemahiran calon, menjalankan ujian personaliti ke atas calon dan akhir sekali menjalankan temuduga secara atas talian (online interview) dengan calon.

7. Selepas melalui proses temuduga atas talian dengan NEX, calon akan diberikan satu laporan prestasi dengan serta merta yang mengandungi markah dan kedudukan (ranking) calon berbanding calon-calon lain.

8. Ini membolehkan adnexio mempunyai satu pangkalan data yang lengkap mengenai calon-calon di dalam pasaran kerja mengikut latar belakang pendidikan, pengalaman kerja, kemahiran, tahap personaliti, mutu kepimpinan dan prestasi temuduga.

9. Apabila majikan mengiklankan kekosongan kerja secara percuma menggunakan platform ini, NEX akan memadankan setiap kekosongan kerja dengan calon-calon yang mempunyai kedudukan (ranking) paling tinggi (kerana latar belakang pendidikan, kemahiran, pengalaman kerja dan lain-lain ciri adalah sepadan dengan kehendak majikan).

10. Majikan akan diberikan pilihan (antara tiga hingga tujuh calon-calon terbaik) untuk dipertimbangkan. Ini memudahkan majikan kerana kesemua permohonan dari keseluruhan pasaran kerja (bukannya dari calon yang memohon terus) telah disemak dan ditapis. Hanya calon-calon terbaik dari keseluruhan pasaran kerja yang berada di dalam sistem adnexio yang dicadangkan kepada majikan.

11. Apabila majikan memilih calon-calon yang dicadangkan oleh NEX, keputusan itu membantu NEX mempelajari (melalui kaedah machine learning) ciri-ciri yang membolehkan seorang calon mendapat pekerjaan. NEX berkebolehan untuk belajar dari ratusan ribu calon dan majikan untuk membangunkan kemahirannya memadankan calon yang sesuai dengan majikan/kekosongan kerja.

12. Kemahiran ini akan digunakan untuk membantu calon-calon meningkatkan kebolehpasaran mereka. Selepas melalui proses temuduga atas talian, NEX mempunyai maklumat yang lengkap mengenai kekuatan dan kelemahan seseorang calon. NEX akan membantu calon-calon untuk meningkatkan markah prestasi mereka dari semasa ke semasa agar peluang mereka mendapat kerja dapat ditingkatkan.

13. Setakat kenyataan ini ditulis, adnexio adalah antara beberapa teknologi pembangunan sumber manusia di dunia yang menggunakan kecerdasan buatan (artificial intelligence) hingga ke peringkat temuduga calon. Sebahagian besar platform pencarian kerja sedia ada di seluruh dunia banyak berkisar kepada pengiklanan kerja tetapi tidak sampai ke peringkat menjalankan temuduga dengan perisian yang dilatih seperti seorang pegawai sumber manusia.

14. Walaupun teknologi sebegini adalah baru dan berbentuk eksperimen, saya yakin ia akan membantu rakyat Malaysia dan majikan secara keseluruhan.

15. Oleh itu, saya menyeru supaya seberapa ramai rakyat Malaysia menyertai temuduga terbesar di dalam sejarah Malaysia ini kerana sesiapa sahaja boleh menyertainya di mana saja anda berada. Anda hanya perlu melalui temuduga atas talian dengan NEX sekali sahaja dan sistem akan menyemak semua kekosongan yang diiklankan setiap hari untuk dipadankan dengan anda (mengikut latar belakang pendidikan, kemahiran dan pengalaman kerja anda).

16. Untuk menyertai temuduga ini:

(i) Anda memerlukan sama ada komputer, laptop atau telefon pintar.

(ii) Sistem ini dioptimasikan untuk digunakan dengan Chrome. Sebaiknya ada menggunakan Chrome.

(iii) Pastikan anda berada di tempat yang tidak bising untuk menjalankan temuduga dengan NEX.

(iv) Pastikan anda berada di tempat yang mempunyai talian internet yang baik dan stabil.

(v) Pastikan anda mempunyai gambar (dalam bentuk digital) dan resume (dalam bentuk PDF).

(vi) Layari adnexio.my dan mulakan temuduga anda.

17. Maklumat lanjut boleh didapati di laman adnexio.my dan bahan promosi di media sosial di https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan/

18. Selamat maju jaya kepada calon-calon yang akan menyertai temuduga terbesar dalam sejarah Malaysia ini. Saya berharap ratusan ribu rakyat Malaysia menyertainya dalam tempoh yang singkat untuk membolehkan teknologi kecerdasan pintar (artificial intelligence) dapat ditambahbaik.

RAFIZI RAMLI

One thought on “Temuduga Terbesar Dalam Sejarah Menggunakan Sistem A.I “adnexio””

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.