Raikan Kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim Sebagai Presiden KEADILAN

Sahabat-sahabat anggota KEADILAN yang saya kasihi,

Esok akan bermula Kongres Nasional KEADILAN yang melabuhkan tirai kepada pemilihan parti kali ini.

Keputusan untuk Majlis Pimpinan Pusat mungkin hanya akan diumumkan kemudiannya.

Saya dimaklumkan, secara tidak rasmi beza undi di antara saya dan Saudara Azmin Ali ialah ~2,500 undi, iaitu kurang 2% dari jumlah keseluruhan yang mengundi (sekitar 141,000 orang anggota parti). Saya fikir Saudara Azmin bakal diumumkan Timbalan Presiden dengan undi popular yang tidak melebihi 51%, berbanding dengan undi saya sekitar 49%.

Jumlah undi ini berlatar belakangkan persoalan mengenai integriti dan ketelusan proses pemilihan yang dipersoalkan oleh semua calon yang bertanding.

Ada beberapa isu yang menjadi kontroversi, termasuklah kebebasan pengawas-pengawas oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang daripada awal lagi dipersoalkan kerana aduan-aduan yang mereka berat sebelah.

Begitu juga dengan masalah sistem e-pengundian. Ada bukti yang kukuh bagaimana undi-undi telah hilang secara sistematik seperti yang dibentangkan oleh Saudara Akmal Nasir (Ketua AMK yang baru) melibatkan undi di cabang-cabang besar yang dilihat berpihak kepada saya.

Kita juga dikejutkan dengan peristiwa “penghadang isyarat” (jammer) di Kuala Selangor dan talian Celcom dipotong di Pensiangan.

Paling kontroversi ialah kejadian data dihapuskan di Julau dan kehadiran aplikasi Prey di dalam peranti tablet yang digunakan untuk undian. Pada hari kejadian, JPP mengakui peranti tablet telah dicerobohi dan mengumumkan menggantung keputusan di Julau. Selepas itu, JPP menukar pendirian dan bertegas tiada data yang terkesan walaupun kejadian itu benar-benar berlaku.

Dengan perbezaan undi sekitar 2,500 sahaja atau kurang dari 2% dari jumlah keseluruhan yang keluar mengundi, pengundian di Julau (yang mempunyai lebih 13,000 anggota) boleh mengubah keputusan untuk jawatan Timbalan Presiden dan jawatan-jawatan lain.

Saya ada asas yang kukuh untuk berkeras supaya diadakan semula pemilihan. Tambahan pula JPP memang mengakui berlakunya pencerobohan dan Ketua Unit IT JPP, Alvin Teoh memang ditahan polis untuk siasatan berhubung kes ini.

Namun, saya juga sedar bahawa kepentingan perjuangan dan parti mengatasi segala-galanya. Kita menawarkan diri untuk memikul amanah dengan hasrat boleh membawa parti ke peringkat yang lebih baik dan meningkatkan khidmat parti kepada rakyat.

Jika dalam usaha kita mendapatkan amanah itu, parti dijerumuskan ke dalam ketidaktentuan dan persengketaan yang berpanjangan, itu bertentangan dengan niat asal kita untuk berkhidmat.

Saya mengambil kira kesan kekalahan kepada Saudara Azmin adalah lebih besar berbanding jika saya mengalah. Beliau seorang menteri kanan, penyandang jawatan sebagai dua penggal dan bekas menteri besar. Kekalahan beliau di tangan seorang penganggur akan dijadikan alasan untuk beliau berundur terus dari persada politik.

Sebab itu, saya menjangkakan penyokong-penyokong beliau lebih sukar menerima kekalahan berbanding dengan saya. Saya juga telah melihat bagaimana penyokong kuat beliau, Saudara Vernon Kedit telah bertalu-talu membuat laporan kepada SPRM mengenai keanggotaan di cabang Julau (yang sebelum itu tidak pun dibantah) sehingga menyebabkan kakitangan parti ditahan SPRM.

Saya yakin, jika pemilihan semula diadakan di Julau (dan besar kemungkinan saya akan menang), watak seperti Vernon Kedit ini akan mengheret parti ke peringkat Pendaftar Pertubuhan dan mahkamah.

Akhirnya, kita tidak ubah seperti pepatah Melayu “menang sorak, kampung tergadai”.

Apabila pergolakan dari pemilihan parti ini berpanjangan melangkaui Kongres Nasional hujung minggu ini, bebannya akan ditanggung oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, presiden kita.

Beliau akan dituduh tidak berkemampuan mengendalikan parti. Beliau akan dikritik kerana dilihat tidak mampu mendisiplinkan pimpinan parti di bawah.

Selari dengan tuduhan dan kritikan itu, akan ada suara sumbang dari luar dan dalam parti yang mempersoalkan kewibawaan beliau menjadi Perdana Menteri ke-8.

Saya tidak terjun ke persada reformasi sejak 20 tahun lalu dengan niat mahu merebut kuasa. Saya benar-benar mahu melihat keadaan yang lebih baik untuk rakyat biasa, kerana saya datang dari keluarga susah dari Terengganu.

Saya benar-benar yakin kalau kita bawa perubahan yang mengangkat idealisme reformasi yang kita perjuangkan, nasib rakyat akan menjadi lebih baik. Dan saya juga yakin orang yang paling baik untuk melaksanakan idealisme reformasi itu adalah Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang ke-8.

Oleh itu, saya membuat keputusan lebih awal untuk tidak mendesak melalui Biro Politik dan mengalah lebih awal.

Lagi pun, keputusan pemilihan kali ini adalah cukup jelas. Undi popular Saudara Azmin hanyalah 51%, berbeza 2% sahaja dengan undi popular saya yang melambangkan dua aliran berbeza yang sama kuat dan sama penting di dalam parti.

Isyarat yang dihantar melalui undi anggota yang memberi kemenangan kurang 2% kepada Saudara Azmin (dalam keadaan beliau menteri kanan, penyandang jawatan selama 8 tahun dan bekas menteri besar), adalah isyarat yang perlu diperhalusi oleh beliau sendiri.

Saya mendoakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sebagai Presiden parti dan bakal Perdana Menteri mendengar dan meneliti segala kemelut dan keluh kesah anggota di bawah.

Sejujurnya, tidak ada yang menang dan tidak ada yang kalah di dalam pemilihan ini.

Kita semua menang jika kita menginsafinya dan berazam untuk memperkukuhkan idealisme reformasi lantas kembali berkhidmat kepada rakyat, di bawah pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Kita semua kalah jika yang memegang amanah itu hanya melihat jawatan dipegang sebagai loncatan untuk mencari laba mengikut puak masing-masing, sehingga bercanggah dengan teladan kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada puluhan ribu pendokong kempen saya yang mengorbankan masa, wang dan tenaga sehingga ke peringkat ini. Saya tidak berjawatan dan tidak berwang untuk membayar saudara-saudari, tetapi saudara-saudari tetap setia berkhidmat sebagai relawan.

Sepanjang kempen selama 4 bulan, saya berjumpa ramai anak-anak muda, ibu-ibu dan abang-abang yang miskin tetapi kental daya juangnya. Saya disambut ikhlas oleh sahabat-sahabat pelbagai bangsa dan budaya: baik yang Melayu, Cina, India, sahabat-sahabat Kadazan Dusun Murut dari pedalaman Sabah dan pendokong parti dari seantero negeri Sarawak yang besar itu.

Saya hargai persahabatan saudara-saudari dan setiakawan yang tidak ternilai itu. Saya terhutang budi dengan saudara-saudari.

Makanya, saya kini kembali sebagai anggota biasa KEADILAN seperti mana ratusan ribu saudara-saudari di luar. Saya akan terus turun berjumpa anggota akar umbi untuk menyusun gerakan kita menjadi lebih baik.

Saya akan mengusahakan satu koperasi agar saya dapat membantu kedudukan ekonomi seberapa ramai anggota KEADILAN di seluruh negara, yang tidak mendapat apa-apa pun dari perjuangan ini.

Saya akan terus setia kepada perjuangan KEADILAN untuk rakyat Malaysia di bawah kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sama-sama kita raikan beliau sebagai presiden baru KEADILAN, kita ketemu di Kongres Nasional esok.

Rafizi Ramli
16 November 2018

One thought on “Raikan Kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim Sebagai Presiden KEADILAN”

  1. salam sdra Rafizi,

    here’s a good reminder when faced with this type of dilemma. do it for the sake of ALLAH and not for HIS creation. the incumbent represents all that is not good in this Pemilihan and we gave in to that which is not good?

    and isn’t that like what UMNO did to MO1 (turning a blind eye to his indiscrepancies) which eventually led him to stay in power, billions of rakyat’s money squandered & other atrocities? supporters are disappointed with this decision. may GOD save the nation…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.