Berita Yang Tak Viral

11 - 29 - 2

Banyak yang telah diperkatakan mengenai kejadian rusuhan bersiri di Seafield, Subang Jaya. Setiap orang ada versi ceritanya sendiri.

Saya baca komen di Internet dan mesej yang tular di kalangan orang bukan Melayu yang sumpah seranah UMNO/PAS sebagai punca kejadian itu. Saya juga baca komen dan mesej perkauman yang tular di kalangan orang Melayu, yang mengingatkan bagaimana ketuanan Melayu telah terhakis sejak kerajaan persekutuan baru berkuasa.

Komen-komen di Malaysiakini atau portal berita bahasa Inggeris yang pembacanya kebanyakannya orang bandar dan bukan Melayu; juga kencang meniupkan api perkauman. Ada komen-komen ini yang menyalahkan pihak polis kerana kononnya sengaja membiarkan siri rusuhan itu berlaku.

Setiap kisah ada versi yang berbeza, ikut perawinya. Selalunya versi yang paling jujur berada di tengah-tengah versi-versi dan perawi-perawi yang berbeza ini.

Malangnya di Malaysia, setiap dari kita masih tebal dengan bias perkauman dan keagamaan. Paling teruk, sudah menjadi kebiasaan menuding jari kepada orang lain dan menyalahkan orang lain sebagai bersifat perkauman. Jarang sekali kita muhasabah diri dan menerima hakikat yang setiap dari kita ada bias perkauman dan keagamaan sendiri.

Sudah menjadi kebiasaan di kalangan orang bukan Melayu yang saya dampingi (dan saya ada kawan bukan Melayu yang jauh lebih ramai berbanding orang Melayu biasa) yang percaya masalah perkauman di negara ini hanya berpunca dari sebelah pihak: orang Melayu dan Islam.

Begitu juga tempangnya pandangan sebahagian besar orang Melayu. Ramai orang Melayu (termasuklah yang terpelajar) yang sentiasa marah dan curiga dengan orang bukan Melayu, kerana orang Melayu ini merasakan orang bukan Melayu menindas orang Melayu (walaupun perasaan itu tidak bersandarkan logik yang kukuh).

Sebab itu, bila satu peristiwa yang penuh beremosi begini berlaku, sangatlah mudah untuk kita dipengaruhi oleh bias perkauman kita sendiri.

Mudah untuk orang India dan bukan Melayu merasakan ada konspirasi di kalangan orang Melayu untuk menceroboh kuil itu, sehinggakan ada tuduhan anggota polis sengaja tidak bertindak segera untuk memberi ruang kepada samseng Melayu masuk ke kuil.

Mudah juga untuk orang Melayu merasa marah dan menyalahkan keseluruhan orang India atas kejadian beberapa penjenayah yang memukul Muhammad Adib Kassim (yang kini bertarung dengan nyawa).

Peristiwa seperti ini akan terus berulang di masa hadapan. Berlaku berulang kali, tidak kira parti mana menjadi kerajaan persekutuan. Tidak kira sama ada PAS/UMNO meneruskan perhimpunan anti-ICERD yang dirancang, atau sama ada kerajaan persekutuan menandatangani ratifikasi ICERD atau tidak.

Peristiwa-peristiwa sebegini akan terus berlaku selagi kita memilih untuk menilai segala-galanya dari lensa dan bias perkauman yang kita ada.

Ada beberapa perkara yang kita boleh buat untuk mengelakkannya berlaku lagi (bukan menyalahkan orang lain atau menunggu orang lain bertindak dahulu).

Kita mesti menerima hakikat bahawa setiap dari kita (Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Bidayah, Dusun, semuanya) ada bias perkauman yang perlu kita buang.

Kita tidak boleh mengutuk kumpulan lain dan menuduh mereka meniupkan api perkauman, tetapi pada masa yang sama kita tidak mahu menerima hakikat yang kita pun tidak kurang bezanya, cepat mengambil perspektif perkauman dalam menilai sesuatu perkara.

Setiap kali ada peristiwa begini atau isu yang mudah menyambar api perkauman, kita mesti objektif dan belajar memahami perasaan dan kedudukan kumpulan yang lain.

Orang Melayu mesti belajar memahami latar belakang kebimbangan orang bukan Melayu, sama seperti orang bukan Melayu tidak boleh terus memandang orang Melayu dengan stereotaip pemalas dan bodoh (terutamanya kalau ada perkara yang tidak dipersetujui, mudah mengetepikan pandangan orang Melayu sebagai pandangan tidak berpendidikan).

Akhir sekali, cubalah untuk mempunyai lebih ramai sahabat yang berbilang bangsa. Hanya dengan saling mengenali melalui persahabatan, kita boleh memahami kebimbangan masing-masing dan keluar dari prejudis perkauman.

Jika kita terus memberi alasan dan menyalahkan semua yang lain (salah sekolah kebangsaan, salah daging babi, salah Taliban) kerana kita hanya duduk di dalam kelompok kita dan mengulangi pandangan perkauman kelompok kita, sebenarnya kitalah punca masalah perkauman di negara ini.

Rafizi Ramli
29 November 2018

 

One thought on “Berita Yang Tak Viral”

  1. Dear Saudara Rafizi yang saya hormati,

    Saya amat setuju dengan pandangan saudara bahawa setiap peristiwa yang melibatkan sesuatu kaum atau kumpulan atau parti tertentu tidak seharusnya dilihat dari kaca mata bias perkauman yang ada. Harapan saya PH dalam beberapa tahun yang akan datang dapat mengubah or “reform our society” kepada satu masyarakat yang “colour blind” dan setiap isu yang timbul dalam negara diselesaikan secara objektif, telus and saksama tanpa ada pihak yang rugi.

    Dalam kes rusuhan di Kuil Seafield, saya sebagai penganut agama Hindu amat kesal dan sedih kepada apa yang menimba kepada orang awam dan anggota bomba yang cedera serta kerosakan harta benda yang berlaku.

    Saya percaya perkara ini dapat dielakkan sekiranya pihak pengurusan Kuil yang baru dan lama berbincang secara terbuka tanpa perasaan ego dan menepikan masalah peribadi demi kesucian agama dan ketenteraman rakyat. Malangnya sejak kes ini disebut di mahkamah sejak tahun 1996 sehingga sekarang nampaknya ego dan “selfishness” mengatasi segalanya sehingga ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menimbulkan huru hara pada 26 November 2019.

    Jelas sekali setiap manusia di dunia ini masih melihat dirinya atau kaumnya saja yang penting dan betul tanpa memahami dunia ini lebih besar dan luas serta penuh kepelbagainan. Dalam konteks Malaysia sekiranya pihak-pihak tertentu yang dikaitkan dalam isu Kuil ini dapat memahami bahawa Malaysia ini ialah “diversified” with agama, makanan, budaya dan sebagainya, maka pihak tersebut akan menilai setiap perkara secara objektif, telus, tanpa bias & ego dan saksama.

    Sekian dan “have a good weekend brother Rafizi”

    Regards,
    Arvindran

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.