Tangguh Pelarasan ICPT Dan Penghapusan Rebat Elektrik

Saya merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga bertarikh 29 Jun 2018 di capaian http://www.st.gov.my/en/contents/files/press/2018-06-29/1530234456.pdf mengenai harga elektrik baru akibat pelarasan mekanisme kos tidak berimbang (atau ICPT).

Walaupun pada dasarnya, saya cukup faham bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan cuba sedaya upaya untuk meringankan beban rakyat terbanyak dengan mengenakan surcaj ICPT hanya kepada pengguna bukan domestik, perkara ini perlu diperhalusi lagi untuk mengelakkan ia (keputusan menaikkan harga elektrik) menggagalkan segala usaha Pakatan Harapan mengawal harga barang.

Pelarasan harga elektrik yang berkuatkuasa 1 Julai 2018 ini memberi kesan secara langsung kepada pengguna domestik dan bukan domestik, seperti berikut:

1. Pengguna bukan domestik tidak lagi mendapat rebat sebanyak 1.52 sen setiap kWj yang dipakai, bermakna harga elektrik naik 1.52 sen setiap kWj

2. Pada masa yang sama, pengguna bukan domestik juga akan membayar surcaj ICPT sebanyak 1.35 sen setiap kWj, menjadi jumlah kenaikan tarif bersih untuk pengguna bukan domestik adalah sebanyak 2.87 sen setiap kWj

3. Pengguna domestik melebihi 300 kWj tidak lagi menerima rebat 1.52 sen setiap kWj dan akan membayar tarif bersih yang lebih tinggi

Bagi pengguna bukan domestik, kenaikan tarif bersih sebanyak 2.87 sen setiap kWj itu adalah bersamaan dengan peningkatan 6.6% tarif asas B (perdagangan bervoltan rendah) yang digunapakai kebanyakan kedai dan peniaga.

Saya bimbang kenaikan tarif bersih yang diumumkan ini akan menyebabkan peniaga-peniaga menggunakan alasan ini untuk tidak menurunkan harga barang walaupun Pakatan Harapan telah menunaikan janji untuk menghapuskan GST.

Sebab itu, tempoh masa antara Julai 2018 hingga akhir Disember 2018 adalah cukup penting untuk mengelakkan sebarang kenaikan tarif baru yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan, untuk meneliti reaksi peniaga dan industri kepada langkah-langkah menstabilkan harga barang yang telah dan akan dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.

Sekiranya GST dihapuskan dan kenaikan harga minyak mingguan dihapuskan; tetapi pada masa yang sama tarif bersih elektrik naik; peniaga dan industri akan menggunakan alasan ini (serta pengenalan SST bermula September ini) untuk tidak menurunkan harga barang kerana mengambil sikap “tunggu dan lihat”.

Ia juga akan melunturkan keyakinan rakyat terbanyak kepada kesungguhan dan keikhlasan Pakatan Harapan untuk mencari jalan terbaik membantu rakyat terbanyak yang menukar Kerajaan Persekutuan dengan harapan ia akan mengelakkan kenaikan harga barang yang tidak wajar.

Saya juga telah menjalankan simulasi harga elektrik sebelum penghapusan GST dan pelarasan ICPT; untuk dibandingkan dengan kesan penghapusan GST dan pelarasan ICPT ke atas harga elektrik, seperti yang saya tunjukkan di dalam lampiran. Berikut adalah perkara-perkara penting yang saya boleh simpulkan:

7 - 2 - 1

Analisa Kenaikan Bil Elektrik – Pasca GST & ICPT

1. Seperti juga kesan pelarasan ICPT ini kepada kadar elektrik pengguna bukan domestik (yang menghapuskan terus kesan memansuhkan GST sebanyak 6% itu), keputusan terkini pelarasan ICPT akan melunturkan kesan penghapusan GST ke atas isirumah di negara ini sebanyak 50%

2. Bagi pengguna yang bil bulanan adalah di bawah RM72.61 sebulan, golongan ini langsung tidak terkesan dari keputusan memansuhkan GST dan pelarasan ICPT

3. Bagi pengguna yang bil bulanan adalah lebih tinggi dari RM72.61, penjimatan akibat pemansuhan GST akhirnya berkurangan sehingga 50% apabila pelarasan ICPT menyebabkan rebat 1.52 sen setiap kWj itu dihapuskan berkuatkuasa bermula 1 Julai 2018

Sebab itu, saya memohon supaya Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan mengkaji semula keputusan menaikkan tarif bersih elektrik akibat pelarasan ICPT, untuk mengelakkan kenaikan ini “membunuh” segala kesan baik dari langkah-langkah lain untuk menurunkan harga barang seperti GST dan mengelakkan kenaikan mingguan harga minyak.

Saya percaya Kerajaan Persekutuan boleh mempertimbangkan untuk menangguhkan pelarasan ini hingga ke tahun 2019 untuk membolehkan kerajaan mengkaji dahulu tindak balas peniaga dan industri kepada langkah-langkah kerajaan untuk menurunkan harga barang.

Untuk berlaku adil kepada Tenaga Nasional Berhad yang menanggung kos bahan api yang lebih tinggi, saya mencadangkan Kerajaan Persekutuan berunding untuk mencari jalan berikut:

1. Memberi keutamaan kepada TNB untuk mendapatkan kerja-kerja penjanaan elektrik yang baru yang ditetapkan kerajaan supaya TNB tidak terlalu terikat kepada perjanjian jual beli elektrik dari penjana bebas; dan

2. Mengkaji semula sebarang perjanjian jual beli elektrik antara TNB dan penjana bebas yang merugikan TNB

Saya akan membawa cadangan menangguhkan kenaikan tarif bersih elektrik ini ke mesyuarat Biro Politik KEADILAN malam ini agar perkara ini disuarakan oleh wakil-wakil KEADILAN di dalam Jemaah Menteri.

02072018 – Kenaikan Kos Elektrik Rakyat

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN KEADILAN

 

6 thoughts on “Tangguh Pelarasan ICPT Dan Penghapusan Rebat Elektrik”

  1. tolonglah kami. rakyat memerlukan pembangkang seperti Rafizi. BN tidak berpengalaman menjadi pembangkang.

    setakat ini Rafizi masih berjawatan dalam parti. tanpa jawatan penting dalam kerajaan kami risaukan Rafizi pada pemilihan parti nanti.

    jadi kami faham kalau Rafizi kurang melawan kerana dikekang bon berkelakuan baik atau mungkin mangharapkan jawatan.

    cadangan kami ialah Rafizi mengunakan proxy dari pembangkang.

  2. Positive comments on impact assessment twds public ‘pockets’. Keep up wth yr feedback for the public wellbeing

  3. Tuan Rafizi. Terima kasih krn memahami rakyat. Kami penjawat awam mmg terbeban. Kos letrik naik dan minyak yg tdk turun2 lg nie..sedih..mcm rasa menyesal plak pngkah ph. Sekurangnya najib janji jgk ada kenaikan gaji..tapi demi negara sanggup abaikan..namun nie macam..aduhh

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.