Keputusan Mahkamah Rayuan Kes NFC & Bayaran RM306,999.18


Esok (Isnin 2 Oktober 2017, jam 9 pagi di Istana Kehakiman, Putrajaya), Mahkamah Rayuan akan memutuskan sama ada menerima atau menolak permohonan rayuan saya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes saman NFC yang berpihak kepada Dato’ Seri Salleh Ismail.

Perbicaraan di Mahkamah Rayuan selalunya adalah jauh lebih cepat dari di mahkamah tinggi kerana perayu (dalam kes ini saya) hanya mengemukakan hujah undang-undang yang khusus untuk menunjukkan bahawa hakim mahkamah yang lebih rendah telah melakukan kesilapan (sama ada dari segi penggunaan undang-undang yang salah tafsirannya, tidak mempertimbangkan perkara-perkara yang penting atau kesilapan prosedur dan lain-lain) sehingga berlaku ketidakadilan.

Penghujahan bertulis telah pun diuruskan oleh peguam-peguam saya yang terdiri dari Ranjit Singh (dari Tetuan Ranjit Singh & Yeoh www.ranjityeoh.com), Razlan Hadri Zulkifli (dari Tetuan Gan, Ho & Razlan Hadri), Ng Siau San dan Michele Navinder Kaur (dari Tetuan Sun & Michele).

Pasukan peguam ini unik dan telah membantu saya sejak 2012 lagi. Mereka tidak menerima sebarang bayaran dan mereka melaksanakan tanggungjawab mereka di mahkamah seperti mana saya melaksanakan tanggungjawab saya di Parlimen. Tanpa peguam-peguam seperti ini, saya tidak boleh membongkarkan pelbagai penyelewengan kerajaan yang saya usahakan selama ini.

Ranjit Singh adalah kacukan Sikh dan Cina. Kali pertama saya bertemu beliau, saya berasa pelik kerana namanya Ranjit tetapi wajahnya lebih mirip Cina. Beliau adalah salah seorang pemidato (“litigator”) terbaik di mahkamah yang saya pernah saksikan setakat ini. Hujah beliau adalah jelas dan pidatonya selalu disertakan dengan kelucuan yang pintar (“wits”).

Razlan Hadri Zulkifli adalah anak Terengganu. Selain dari berasal dari negeri yang sama, kami juga adalah bekas murid tua MCKK (walaupun beliau dari tahun 80an ha3). Juga seorang peguam yang hujahnya lancar dan tajam, beliau adalah peguam kanan yang menguruskan kes-kes saman berprofail tinggi seperti NFC dan saman Najib.

Siau San dan Michele adalah peguamcara (“solicitor”) bagi kes-kes saman saya. Peguamcara adalah sama penting dengan lead counsel semasa perbicaraan kerana mereka menguruskan semua dokumen dan penghujahan yang perlu disediakan dan difailkan. Saya bertemu Siau San setelah diperkenalkan oleh seorang lagi peguam yang menjadi sukarelawan di Pandan yang memaklumkan Siau San sanggup membantu kes-kes saya yang makin meningkat jumlahnya. Michele adalah rakan kongsi firma Siau San dan mereka bergilir menguruskan kes-kes saya.

Keyakinan saya mengusahakan INVOKE kerana saya telah lebih awal ditemukan dengan rakyat Malaysia seperti mereka yang hanya mahu membantu dalam bentuk yang mereka mampu. Mereka juga tidak mendapat apa-apa habuan dan tidak berminat untuk mendapat apa-apa publisiti. Sebab itu saya yakin ada ramai rakyat Malaysia seperti ini dan meyakinkan saya bahawa platform yang bebas dari campur tangan kepartian boleh menarik minat dan sokongan ramai lagi rakyat Malaysia seperti mereka.

Saya memohon supaya sahabat-sahabat yang membaca ini berdoa dan meminta kepada Allah SWT agar saya diberikan keadilan esok.

Walau apa pun keputusannya, ia tidak mengubah keadaan bahawa projek penternakan lembu negara sudah gagal dan RM250 juta itu sebahagiannya telah dibelanjakan untuk membeli kondominium.

Dato’ Seri Salleh dan NFC juga telah mendapat wang mereka sebanyak RM306,999.18 yang dikejar-kejar itu. Cek disampaikan kepada peguam mereka pada hari Selasa 26 September 2017. Saya menyemak sekitar jam 1 pagi Rabu 27 September 2017 dan akaun bank INVOKE menunjukkan jumlah itu telah pun dikeluarkan seawal itu.

Saya tersenyum memikirkan wartawan-wartawan NST yang sibuk mengejar saya pada hari Rabu dan Khamis bertanyakan adakah saya telah membayar Dato’ Seri Salleh dan NFC. Bukankah lebih mudah mereka menelefon saja Dato’ Seri Salleh untuk mengesahkan perkara itu?

Dato’ Seri Salleh tidak pula memaklumkan kepada dunia bahawa dia telah mendapat wang itu seperti mana dia menghebahkan saya tidak menghubunginya atau dia belum dibayar sehari sebelum itu.

Watak-watak begini sepatutnya meyakinkan kita Malaysia sudah berada dalam keadaan yang terbalik dan perlukan perubahan segera.

 Watak-watak seperti Ranjit, Razlan, Siau San dan Michele meyakinkan kita bahawa semangat rakyat Malaysia untuk berlaku adil adalah sangat jitu dan jangan rendahkan rakyat Malaysia yang mungkin senyap tetapi telah berazam untuk menukar kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.