Gula-Gula Kepada Peneroka Mula Manis Kemudian Masam: Felda Ambil Pembiayaan Jangka Pendek RM1.1 Bilion Pada Kadar Faedah Tinggi Dalam 2015

Saya merujuk kepada laporan Sinar Harian pada 3 Oktober 2017 (semalam) mengenai keluhan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad yang mengecam pendirian Pakatan Harapan bahawa insentif-insentif yang diumumkan Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada peneroka beberapa bulan lalu adalah “gula-gula” pilihanraya bagi tujuan membeli undi peneroka.

Saya senaraikan insentif-insentif yang diumumkan Dato’ Seri Najib kepada peneroka-peneroka Felda pada 23 Julai 2017 yang lalu dan peruntukan yang diperlukan untuk membayarnya:

i. Insentif khas untuk kebajikan warga Felda sebanyak RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka yang layak penuh dengan jumlah peruntukan RM474.78 juta

ii. Pelupusan pinjaman saham FGV yang melibatkan 77,934 peneroka yang sedang membayar pinjaman dan pampasan RM1,820 kepada setiap dari 1,626 peneroka yang telah membayar habis pinjaman, melibatkan peruntukan sebanyak RM128.10 juta

iii. Insentif pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih untuk tanam semula melalui Felda melibatkan peruntukan keseluruhan RM519 juta

iv. Insentif geran khas tanam semula peneroka yang diluluskan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kepada Felda dengan kadar RM7,500 per hektar bagi program tanam semula Felda bermula tahun ini hingga 2020 melibatkan keluasan 24,280.31 hektar dengan peruntukan RM166.6 juta untuk empat tahun tersebut

Berdasarkan pengumuman Dato’ Seri Najib, jumlah peruntukan yang diperlukan untuk menunaikan janji “gula-gula” ini adalah RM1,288.48 juta. Daripada jumlah tersebut, hanya insentif geran khas tanam semula yang dananya datang dari luar iaitu dari MPOB. Maka, Felda memerlukan RM1,121.8 juta untuk menunaikan janji (i) hingga (iii).

Saya telah berulang kali menyatakan bahawa Felda tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar insentif-insentif ini. Saya telah menunjukkan segala analisa berdasarkan penyata kewangan kumpulan Felda yang diaudit bagi tahun-tahun 2012 hingga 2014 yang membuktikan kedudukan tunai dan prestasi kewangan Felda yang meruncing akibat dibebani dengan hutang yang tinggi.

Saya juga telah mengunjurkan bahawa hutang kumpulan Felda boleh mencecah RM12.6 bilion menjelang akhir tahun 2017 ini yang boleh meletakkan Felda sebuah entiti yang muflis, jika tidak kerana jaminan dan sokongan kewangan dari kerajaan untuk menanggung liabilitinya.

Sehingga kini tidak ada saman atau apa-apa tindakan yang diambil ke atas pelbagai analisa kewangan yang telah saya kongsikan dengan rakyat. Bukan saja tiada tindakan undang-undang, malah tiada pun penafian dari Dato’ Seri Najib atau Tan Sri Shahrir sendiri mengenai pendedahan yang memalukan Felda ini.

Sebab itu saya ingin perbetulkan kenyataan Tan Sri Shahrir semalam yang memberi alasan insentif-insentif ini bukanlah “gula-gula” kerana ia akan melibatkan perubahan berpanjangan di Felda. Tan Sri Shahrir memberi gambaran insentif-insentif ini adalah hasil dari penstrukturan semula pengurusan dan perniagaan Felda yang akan membolehkan Felda lebih maju.

Malangnya hujah Tan Sri Shahrir itu tidak dapat disokong mana-mana fakta kewangan berdasarkan analisa ke atas kedudukan aliran tunai (“cashflow”) kumpulan Felda setakat 31 Disember 2015.

Saya sertakan mukasurat 189 dari laporan kewangan kumpulan Felda yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 dengan tumpuan khusus kepada jumlah pinjaman jangka pendek (perlu dibayar dalam tempoh kurang setahun) dan jumlah pinjaman jangka panjang (perlu dibayar dalam tempoh lebih setahun), seperti berikut:

Download (PDF, 23KB)

 

Setakat 31 Disember 2015, pinjaman jangka pendek kumpulan Felda telah meningkat dari RM1,702 juta (2014) kepada RM2,306 juta (2015).

Perincian kepada pinjaman-pinjaman yang menyumbang kepada peningkatan pinjaman jangka pendek dan jangka panjang ditunjukkan di dalam Nota 39 yang saya sertakan di bawah:

Download (PDF, 87KB)

 

Oleh yang demikian, adalah jelas bahawa peningkatan pinjaman kumpulan Felda bagi jangka pendek (dari RM1,702 juta [2014] kepada RM2,306 juta [2015]) dan jangka panjang (dari RM7,769 juta [2014] kepada RM8,383 [2015]) adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh 3 bentuk pinjaman jangka pendek berikut:

i. Pinjaman Penyambung 2 (“bridging loan”) berjumlah RM341.6 juta. Nota 39 seterusnya menerangkan dengan lebih lanjut bahawa kadar keuntungan siling (atau kadar faedah) ialah kadar asas pembiayaan (BFR) + 4% setahun atau 10% setahun, yang mana lebih tinggi.

Ini bermakna, dalam tahun 2015 pada kadar asas pembiayaan bank-bank Malaysia yang secara puratanya sekitar 3%, kumpulan Felda telah membayar faedah 10% ke atas pinjaman RM341.6 juta ini.

Kadar 10% setahun adalah sama seperti Felda membiayai operasinya dengan membayar melalui kad kredit kerana kadar 10% adalah dalam lingkungan kadar faedah kad kredit yang dicaj kepada pengguna.

 

ii. Kredit Pusingan 5 (“revolving credit 5”) sebanyak RM100.6 juta yang perlu dibayar dalam tempoh setahun dan bakinya RM49.4 juta yang perlu dibayar lebih dari tempoh setahun. Maka, jumlah Kredit Pusingan 5 yang digunakan oleh kumpulan Felda dalam 2015 adalah RM150 juta.

Pada kadar faedah kos dana + 1.2% setahun yang dikenakan ke atas Kredit Pusingan 5, ia adalah dalam lingkungan caj faedah yang dikenakan ke atas overdraf iaitu BLR+1.25% setahun.

 

iii. Satu pembiayaan berasaskan saham yang dipanggil “Call Against Call Option” bernilai RM600 juta yang ditunjukkan sebagai pinjaman jangka panjang. Nota 39 seterusnya menerangkan bahawa COCA ini adalah satu bentuk pinjaman yang melibatkan kumpulan Felda mencagarkan sebahagian dari saham siar harga (“quoted shares”) miliknya kepada Maybank untuk mendapatkan RM600 juta itu.

Kos faedah yang perlu dibayar kepada Maybank adalah kos dana (bagi tiga bulan) + 0.43% iaitu sekitar kos dana tahunan + 1.7% setahun. Kadar faedah ini juga adalah setanding dengan kadar faedah bagi kemudahan overdraf seperti yang ditunjukkan di atas.

Pembiayaan ini perlu dibayar balik dalam tempoh 3 tahun, sebab itu ia ditunjukkan sebagai pinjaman jangka panjang.

 

Ini bermakna menjelang 31 Disember 2015, kumpulan Felda sudah pun terpaksa bergantung kepada pembiayaan overdraf (dan pembiayaan jangka pendek yang serupa seperti diterangkan di atas) sehingga mencecah RM1,091.6 juta (iaitu jumlah ketiga-tiga pinjaman yang diterangkan di atas) dalam masa setahun.

Mana-mana pakar kewangan dari mana-mana tahu bahawa sebuah syarikat yang menggunakan sehingga RM1,091.6 juta pembiayaan berbentuk overdraf dan instrumen yang serupa dengannya yang mengenakan caj faedah yang cukup tinggi adalah sebuah syarikat yang mempunyai masalah kewangan yang meruncing.

Malah, melihatkan kepada maklumat umum mengenai pegangan saham harga siar harga oleh Felda, saya berpendapat hanya saham-saham Maybank yang dimiliki oleh Felda yang nilainya melebihi RM600 juta dan laku untuk dicagarkan untuk mendapatkan pinjaman CACO itu.

Berdasarkan laporan The Star pada 17 Januari 2017, (rujuk http://www.thestar.com.my/business/business-news/2017/01/17/felda-seeks-to-raise-cash-via-maybank-share-sale/) setakat 31 Disember 2015 nilai saham-saham Maybank yang dipegang oleh Felda adalah sekitar RM1.5 bilion.

Selain Maybank, FGV dan Iris Berhad, tidak ada maklumat dari penyata kewangannya yang audit yang menunjukkan Felda ada pegangan saham syarikat awam yang lain yang besar. Oleh kerana kedua-dua nilai saham FGV dan Iris Berhad adalah tidak sebaik nilai saham Maybank, saya berpendapat hanya saham-saham Maybank yang ada nilai untuk dicagarkan bagi tujuan pinjaman CACO sebanyak RM600 juta itu.

Seperti yang kita sedia maklum, Felda dalam bulan Januari lepas telah menjual saham-saham Maybank yang dimilikinya yang dilaporkan berjumlah RM280 juta.

Dengan pendedahan bahawa saham-saham siar harga Felda telah dicagarkan untuk mendapatkan pinjaman jangka pendek berjumlah RM600 juta dalam tahun 2015 dan hanya saham Maybank yang mempunyai nilai yang diterima untuk dicagarkan bagi jumlah itu, saya ingin bertanya kepada Tan Sri Shahrir:

i. Adakah saham-saham Maybank yang telah dicagarkan untuk pembiayaan RM600 juta itu?

ii. Adakah saham-saham Maybank yang dijual dalam bulan Januari 2017 yang berjumlah RM280 juta ada kena mengena dengan pembiayaan jangka pendek CACO yang dilaporkan ini?

Hakikat bahawa Felda terpaksa berhutang menggunakan pinjaman jangka pendek untuk meneruskan operasinya seawal 2015 tidak ubah seperti seorang yang bergantung kepada kad kredit untuk menampung perbelanjaan seharian.

Jika sejak 2015 lagi Felda sudah tiada wang sehingga terpaksa menggadaikan saham dan menggunakan pinjaman ala overdraf, sudah tentu Felda tidak ada kemampuan kewangan untuk membayar RM1.12 bilion yang diperlukan untuk menunaikan janji “gula-gula” yang diumumkan Dato’ Seri Najib dalam bulan Julai lalu.

Sebab itu saya menasihati peneroka-peneroka supaya menerima kenyataan bahawa “gula-gula” ini hanya manis beberapa bulan sahaja. Jika Dato’ Seri Najib kekal Perdana Menteri selepas PRU14, segala masalah kewangan Felda akan dibebankan kepada peneroka-peneroka dan barulah “gula-gula” tadi bertukar menjadi pahit, masam dan payau.

Saya menasihati juga Tan Sri Shahrir supaya tidak banyak bermadah dan berpolitik dalam menangkis pendedahan saya. Beliau hanya perlu menjawab hujah-hujah kewangan yang disertakan faktanya seperti yang saya kemukakan pada hari ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.