Rakyat Dicukai Secara Mendadak Melalui Cukai Korporat Dan GST, Pertumbuhan Ekonomi Tidak Menambah Gaji Rakyat

Minggu lalu, saya telah mempersoalkan ketelusan tindakan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak memburu rakyat untuk mencapai sasaran kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), sedangkan jumlah cukai yang dikutip LHDN sudah pun meningkat pada kadar purata tahunan 11% sejak 2010. Menjelang akhir 2017, jumlah cukai yang dikutip LHDN meningkat hampir 100% berbanding tahun 2010 iaitu semasa Dato’ Seri Najib mula-mula menjadi Perdana Menteri.

Saya menimbulkan isu ini kerana saya mendapat banyak aduan dari rakyat mengenai notis yang mereka telah terima dari LHDN mengenai pentaksiran cukai tambahan yang mereka terpaksa bayar kepada kerajaan. Pertanyaan saya adalah mudah: adakah inisiatif “memburu” rakyat untuk mencapai sasaran kutipan cukai ini adalah benar-benar berkait dengan rakyat yang engkar membayar cukai; atau audit rekod cukai memang menggali kembali fail-fail lama semata-mata untuk mencari salah rakyat untuk mengutip penalti dan cukai tambahan?

Jika misi pemburuan LHDN itu didorong oleh tekanan dari pentadbiran Dato’ Seri Najib yang terus berbelanja wang rakyat sehinggakan sumber pendapatan Putrajaya tidak pernah cukup walaupun meningkat tinggi setiap tahun, saya simpati kepada rakyat biasa yang tidak mempunyai pengetahuan percukaian yang mungkin terpaksa membayar cukai tambahan sedangkan denda atau taksiran tambahan boleh dirayu.

Kenyataan saya itu cepat-cepat dijawab oleh seorang yang bernama Dato’ Eric See-To, yang kini berjawatan rasmi sebagai timbalan pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional, iaitu timbalan kepada Dato’ Rahman Dahlan.

Bidasan beliau banyak berkisar kepada hujahnya bahawa “kadar peningkatan kutipan cukai yang dua kali lebih tinggi dari kadar pertumbuhan ekonomi adalah perkara biasa, dengan memberi contoh peningkatan kutipan cukai sekitar 5% oleh Australia juga 2 kali ganda dari kadar pertumbuhan ekonomi negara itu”.

Atas sebab itu, kata jurucakap utama Dato’ Seri Najib ini, maka tindakan saya mempersoalkan kadar peningkatan kutipan cukai oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib yang dua kali ganda lebih tinggi dari kadar pertumbuhan ekonomi samalah seperti “sotong goreng” untuk menipu rakyat.

Saya gembira kerana jurucakap utama Dato’ Seri Najib ini menyambut isu kutipan cukai yang menekan rakyat ini kerana ramai yang berpandangan Dato’ Eric See-To ini sebenarnya adalah Lim Sian See, iaitu mahaguru yang didewa-dewakan oleh cyber troopers Umno selama ini untuk memusing kembali kritikan mengenai prestasi pentadbiran ekonomi Dato’ Seri Najib.

Selama ini, Lim Sian See memaki hamun pimpinan Pakatan Harapan tetapi berselindung di belakang satu watak yang tidak wujud. Walaupun Dato’ Eric See-To tidak pernah mengakui atau menafikan bahawa beliau adalah Lim Sian See, saya percaya besar kemungkinan Eric See-To dan Lim Sian See adalah orang yang sama berdasarkan tulisan-tulisan blogger Umno sendiri.

Dengan beranggapan bahawa Eric See-To adalah Lim Sian See, maka saya ingin menjawab analisa mengenai percukaian oleh beliau (sebagai timbalan pengarah komunikasi strategik BN) yang didewa-dewakan oleh pencinta tegar Dato’ Seri Najib itu.

Untuk memahami sama ada kadar kenaikan kutipan cukai itu disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi (lebih baik ekonomi, lebih untung dan lebih cukai), atau kenaikan gaji yang dijana pertumbuhan ekonomi (lebih baik ekonomi, lebih untung maka gaji dinaikkan dan rakyat berbelanja lebih) seperti yang didakwa oleh Lim Sian See/Eric Se-Too, analisa yang mendalam perlu dibuat untuk membandingkan bagaimana cukai yang berlainan bertukar jumlah kutipannya dengan perubahan pertumbuhan ekonomi.

Oleh itu, saya telah membuat analisa lanjut yang menyemak ukuran-ukuran ekonomi Malaysia bagi tahun 2010 hingga 2016 seperti berikut:

i. Nisbah hasil cukai keseluruhan berbanding jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk mengukur bagaimana jumlah kutipan cukai keseluruhan berubah apabila ekonomi berkembang lebih pesat

ii. Nisbah hasil cukai pendapatan perseorangan berbanding KDNK untuk mengukur (antara lain) sama ada pertumbuhan ekonomi telah menyumbang kepada kenaikan gaji yang menyebabkan lebih banyak cukai pendapatan perseorangan dikutip

iii. Nisbah hasil cukai pendapatan korporat berbanding KDNK untuk mengukur (antara lain) sama ada pertumbuhan ekonomi telah menyumbang kepada meningkatnya keuntungan syarikat yang menyebabkan lebih banyak cukai pendapatan korporat dikutip

iv. Nisbah hasil cukai GST berbanding KDNK untuk mengukur (antara lain) sama ada pertumbuhan ekonomi telah menyumbang kepada bertambahnya perbelanjaan rakyat yang menyebabkan lebih banyak cukai GST dikutip

Analisa yang sama dibuat untuk Australia dan ukuran-ukuran ekonomi kedua-dua negara dibandingkan.

(Angka bagi Malaysia diperolehi dari laman Perbendaharaan http://www.treasury.gov.my/index.php/en/

Angka bagi Australia diperolehi dari laman OECD https://stats.oecd.org/Index.aspx?DataSetCode=REV# )

Saya senaraikan perbandingan ukuran-ukuran ekonomi ini seperti di bawah:

Rujuk nisbah cukai keseluruhan dikutip berbanding prestasi ekonomi: walaupun ekonomi Malaysia berkembang lebih konsisten berbanding  Australia pada kadar pertumbuhan yang lebih tinggi (antara 4% hingga 6% di antara 2010 hingga 2016), sebenarnya pertumbuhan ekonomi itu tidak menyumbang kepada meningkatnya hasil cukai negara secara berkadar dengan pertumbuhan ekonomi itu.

Sebab itu nisbah cukai keseluruhan dikutip menurun setiap tahun dari 2014 hingga 2016 (16.2% kepada 15.6% ke 15.3%) walaupun Dato’ Seri Najib mendabik dada ekonomi berkembang pesat. Keadaan di Australia adalah sebaliknya: walaupun ekonomi mereka tidak berkembang sepesat Malaysia, jumlah cukai yang dikutip meningkat naik lebih baik dari kadar perkembangan ekonomi. Itu bermakna kerajaan Australia terus mendapat hasil yang meningkat yang boleh dibelanjakan kepada rakyat.

Sebab kenapa nisbah cukai keseluruhan dikutip menurun walaupun ekonomi Malaysia didakwa tumbuh pesat perlu dikaji dengan lebih lanjut. Namun, ia juga membuktikan bahawa pertumbuhan ekonomi tidak semestinya menjana pendapatan kepada negara kerana ada projek-projek yang melibatkan perbelanjaan besar tetapi tidak menguntungkan, maka kerajaan tidak boleh mengutip cukai dari projek-projek tersebut.

Contoh terbaik sudah tentu projek-projek seperti 1MDB dan projek-projek mega lain yang dilaksanakan di zaman Dato’ Seri Najib. Sedang projek-projek ini menelan belanja berbilion wang rakyat, ia tidak menjana pendapatan kepada kerajaan.

Nisbah cukai pendapatan perseorangan dikutip berbanding KDNK mengesahkan realiti bahawa sebenarnya pendapatan rakyat tidak bertambah baik selari dengan pertumbuhan ekonomi. Maknanya, pertumbuhan ekonomi tidak mendorong kenaikan gaji yang lebih baik yang sepatutnya selari dengan nilai ekonomi yang dijana.

Dalam kes Malaysia, bermula 2014, jumlah kutipan cukai pendapatan perseorangan oleh kerajaan Malaysia sebenarnya turun mendadak walaupun ekonomi berkembang. Jumlah kutipan cukai pendapatan perseorangan dari 2012 ke 2016 adalah seperti berikut:

Bermula 2014, ada penurunan 57% dari segi nisbah cukai pendapatan yang dikutip berbanding KDNK kerana pentadbiran Dato’ Seri Najib terpaksa menaikkan beberapa pelepasan peribadi dan menurunkan kadar cukai pendapatan perseorangan yang diumumkan dalam belanjawan-belanjawan 2013 ke 2015. Akibatnya, di antara tahun 2013 hingga 2015, seramai lebih 500,000 orang pekerja Malaysia tidak lagi perlu membayar cukai perseorangan kerana gaji mereka adalah terlalu rendah berbanding dengan had minima pendapatan kena bayar cukai (sekitar RM4,000).

Sementara Lim Sian See akan mendabik dada mengaku itu tanda prihatinnya Dato’ Seri Najib kepada rakyat Malaysia, hakikatnya pertumbuhan ekonomi negara tidak pun menyumbang kepada kenaikan gaji sehingga saban tahun nisbah jumlah cukai pendapatan perseorangan yang dikutip sebenarnya jauh lebih rendah berbanding sebelum 2012, kerana gaji pekerja rata-rata berada di bawah had minima membayar cukai.

Malangnya, kekurangan kutipan cukai pendapatan perseorangan perlu ditampung dengan kutipan cukai-cukai yang lain iaitu GST dan cukai pendapatan korporat, seperti di bawah:

Pengenalan cukai GST dalam tahun 2015 telah menyebabkan jumlah cukai tidak langsung yang dikutip dari rakyat meningkat 100% dan kekal sekitar 3.7% dari jumlah ekonomi negara. Ini adalah kerana jumlah rakyat yang secara tiba-tiba terpaksa membayar cukai GST meningkat secara mendadak berbanding cukai jualan dan perkhidmatan sebelum itu.

Namun, saya paling bimbang apabila melihatkan bagaimana nisbah kutipan cukai korporat berbanding KDNK telah melonjak naik hampir 2 kali ganda iaitu 156% dari 2012 ke 2014 (Perbendaharaan tidak melaporkan angka hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2013):

Ini lebih mudah difahami dengan melihat jumlah kutipan cukai korporat mengikut tahun seperti berikut:

Bermula 2014, tiba-tiba jumlah kutipan cukai korporat telah meningkat hampir 2 kali ganda berbanding 2012, iaitu dari RM23 bilion menjadi RM65 bilion sedangkan pertumbuhan ekonomi hanyalah sekitar 5% bagi tempoh masa itu.

Tidak ada negara di dunia ini yang berjaya meningkatkan kutipan cukai korporat sebanyak 2 kali ganda dalam 2 tahun kalau pun perkhidmatan kutipan cukai adalah lebih baik. Malah, pentadbiran Dato’ Seri Najib sebenarnya telah menurunkan kadar keuntungan cukai korporat bagi tempoh itu yang bermakna, sepatutnya jumlah kutipan cukai korporat berkurang atau kekal sama selari dengan pertumbuhan ekonomi sekitar 5%.

Sebab itu saya percaya ada perkara yang perlu dikaji dengan lebih mendalam kerana saya bimbang rakyat biasa ditekan apabila fail-fail cukai yang lama dibuka semula untuk mengutip cukai dari syarikat-syarikat yang saya yakin, kebanyakannya adalah syarikat kecil.

Saya berharap Lim Sian See atau Dato’ Eric See-To memberi jawapan yang jelas bagaimana pentadbiran Dato’ Seri Najib berjaya mengutip cukai korporat sebanyak 2 kali ganda lebih tinggi dalam masa 2 tahun sahaja sedangkan pertumbuhan ekonomi kekal pada sekitar 5%. Sebagai timbalan pengarah komunikasi strategik BN, beliau perlu memberi fakta-fakta dan data-data untuk membuktikan bahawa syarikat-syarikat kecil yang dimiliki rakyat biasa tidak dimangsakan untuk memenuhi sasaran hasil kerajaan persekutuan yang dikehendaki Dato’ Seri Najib.

Saya menjemput beliau untuk berdebat dengan saya supaya saya boleh melihat sendiri bagaimana pakar pusing dari BN ini “menggoreng sotong” bila berdepan dengan angka-angka ekonomi yang sebenar seperti ini.

Saya juga menyeru supaya Lembaga Hasil Dalam Negeri memberi jawapan segera kepada isu-isu yang saya timbulkan di sini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.