KWSP Minta Dato’ Seri Najib Runding Pelepasan Cukai Dari Presiden Trump, Pelaburan Luar Negara KWSP Sudah Tahap Maksima Ikut Peraturan Kementerian Kewangan

Akhirnya Timbalan Menteri Luar, Datuk Reezal Merican Neena Merican tidak ada pilihan kecuali cuba menjawab segala kontroversi berhubung lawatan Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk bertemu Presiden Trump yang saya timbulkan sejak awal minggu ini.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau akhirnya terpaksa mengaku perkara-perkara berikut:
(Rujuk kenyataan penuh di https://www.malaysiakini.com/news/395211 )

1. Perenggan 4: mengakui bahawa memang benar ada 5 kategori jenis lawatan mengikut protokol diplomatik yang diguna pakai Amerika Syarikat dan Malaysia

2. Perenggan 5: mengakui bahawa lawatan Dato’ Seri Najib ke Amerika Syarikat adalah lawatan kerja atas jemputan Presiden Trump

3. Perenggan 15: mengakui bahawa ketibaan Dato’ Seri Najib di Pengkalan Udara Andrews tidak disambut dengan sambutan protokol yang diberikan kepada lawatan-lawatan rasmi

4. Perenggan 17 dan 18: menyatakan bahawa pertemuan Dato’ Seri Najib dengan Presiden Trump di Oval Office adalah 20 minit dan pertemuan delegasi bersama adalah 40 minit

5. Perenggan 24 dan 25: mengakui bahawa jika jemputan dari Presiden Trump adalah untuk lawatan rasmi (sama ada “State Visit” atau “Official Visit” atau “Official Working Visit”), maka Presiden Trump akan menawarkan rumah tetamu rasmi iaitu Blair House

Saya berterima kasih kepada Dato’ Reezal Merican Neena Merican kerana berjaya mengimbangi keperluan beliau menjalankan tugas kepada partinya dan tanggungjawab beliau sebagai menteri yang perlu menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat.

Kenyataan beliau mengesahkan kesemua perkara yang saya timbulkan sejak beberapa hari iaitu lawatan Dato’ Seri Najib bukanlah satu lawatan rasmi atas jemputan kehormat seperti yang diwar-warkan. Sebaliknya ia lebih bersifat lawatan atas inisiatif beliau sendiri dan berkemungkinan besar melalui lobi berbayar yang dijalankan oleh Healy Baumgardner, bekas pembantu Presiden Trump seperti yang saya telah nyatakan sebelum ini.

Perbezaan lain adalah kecil: Beliau menyatakan lawatan itu adalah lawatan kerja dan bukannya lawatan peribadi. Beliau juga cuba menjelaskan bahawa tempoh pertemuan adalah 60 minit dan bukannya 30 minit.

Saya tahu beliau cuba untuk bermain dengan perbezaan maklumat yang sangat kecil tetapi itu tidak menyanggah kesemua yang saya nyatakan sebelum ini. Sama ada lawatan itu satu lawatan kerja atau lawatan peribadi, Datuk Reezal Merican Neena Merican mengakui ia bukan lawatan rasmi dan sebab itulah Dato’ Seri Najib tidak disambut dengan upacara perbarisan dan lain-lain mengikut protokol.

Begitu juga mengenai tempoh masa. Pada pandangan saya, masa 60 minit Dato’ Seri Najib berada di dalam White House mungkin benar jika dikira setiap minit termasuk masa yang diambil untuk berjalan dari satu bilik ke satu bilik, tetapi orang ramai boleh faham jika keseluruhan masanya adalah 60 minit, itu bermakna benarlah Dato’ Seri Najib hanya berjumpa dengan Presiden Trump selama 10 minit sahaja.

Kenyataan Timbalan Menteri Luar itu sebenarnya pengakuan kerajaan sendiri bahawa isu-isu yang saya timbulkan sejak beberapa hari ini adalah benar.

Oleh itu, saya akan menumpukan kepada isu yang lebih penting iaitu komitmen yang diberikan kepada Presiden Trump untuk membawa masuk wang rakyat Malaysia melalui pelaburan KWSP di dalam projek-projek infrastruktur seperti yang dirakamkan di dalam video mesyuarat bilateral kedua-dua delegasi.

Saya telah menyemak dengan sumber-sumber saya di dalam kerajaan dan saya dimaklumkan perkara-perkara berikut telah berlaku semasa Pejabat Perdana Menteri (PMO) merancang lawatan Dato’ Seri Najib itu:

i. Pejabat Perdana Menteri meminta KWSP untuk menyediakan senarai perkara-perkara yang perlu dibawa ke perhatian Presiden Trump untuk dibincangkan di dalam pertemuan tersebut

ii. KWSP telah memaklumkan secara rasmi kepada Pejabat Perdana Menteri bahawa KWSP memohon supaya Dato’ Seri Najib membincangkan untuk mendapatkan persetujuan Presiden Trump agar KWSP diberi status “Tabung Pencen Luar Negara Berkelayakan” atau QFPF (“Qualified Foreign Pension Fund”)

iii. KWSP telah bekerjasama dengan Pejabat Perdana Menteri untuk menyediakan draf kenyataan media Dato’ Seri Najib mengenai perkara ini

Untuk pengetahuan orang ramai, pada tahun 2015 pentadbiran Presiden Obama telah menguatkuasakan satu undang-undang yang diberi nama PATH Act yang memberi kesan kepada perubahan peraturan percukaian kepada banyak badan korporat dan bukan korporat. Salah satu badan yang mendapat kesan baik dari akta ini ialah tabung pencen yang ditubuhkan di luar negara Amerika Syarikat melalui pengenalan satu status istimewa yang diberi nama “Tabung Pencen Luar Negara Berkelayakan” atau QFPF (“Qualified Foreign Pension Fund”).

Mana-mana tabung pencen luar negara yang membuat permohonan dan memenuhi syarat akan diberi status QFPF yang membolehkan tabung pencen itu diberi pelepasan cukai dalam banyak perkara bertujuan untuk menggalakkan tabung-tabung pencen luar negara melabur di Amerika Syarikat terutamanya di dalam bidang hartanah.

Maklumat lanjut mengenai PATH Act, QFPF dan insentif percukaian kepada tabung pencen berstatus QFPF boleh dibaca di https://home.kpmg.com/content/dam/kpmg/pdf/2016/02/tnf-foreign-pension-feb29-2016.pdf

Bukan sahaja Dato’ Seri Najib mengambil keputusan untuk tidak membawa isu ini kepada Presiden Trump, sebaliknya yang berlaku beliau pandai-pandai pula mengumumkan keputusan agar KWSP melabur sehingga RM16 bilion tambahan di Amerika Syarikat.

Apa yang beliau tidak sedar ialah pengumuman itu bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan yang menghadkan pelaburan luar negara KWSP kepada 30% sahaja dari jumlah pelaburan keseluruhan.

Saya telah menyemak rekod dan telah menemui satu laporan yang memetik temuramah dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Dato’ Shahril Ridza Ridzuan yang mengesahkan bahawa setakat 22 Februari 2017, KWSP telah hampir mencecah had maksima 30% pelaburan luar negara yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

Temuramah ini disiarkan oleh akhbar The Nation (akhbar utama Bangkok) yang boleh dibaca di http://www.nationmultimedia.com/news/business/aec/30306866

Berdasarkan temuramah dengan Dato’ Shahril Ridza Ridzuan pada akhir Februari 2017 itu, kita boleh sahkan bahawa:

i. Pelaburan luar negara KWSP terhad kepada had maksima 30% yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan

ii. Had maksima 30% itu ditetapkan bagi setiap tiga tahun

iii. Pelaburan luar negara KWSP setakat Februari 2017 sudah pun hampir mencecah had maksima 30%

Saya tidak perlu menyebut kebodohan tahap maksima yang ditunjukkan oleh Dato’ Seri Najib sebagai Menteri Kewangan yang bukan sahaja tidak menjalankan tugas seperti yang sepatutnya (dalam mendapatkan status QFPF bagi pihak KWSP), tetapi mengumumkan kepada dunia pelaburan tambahan KWSP di Amerika Syarikat yang melanggar peraturan yang ditetapkan kementerian beliau sendiri.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.