Garis Panduan Dari Dato’ Seri Anwar Ibrahim Memudahkan Untuk Memuktamadkan Keputusan Rundingan KEADILAN-PAS

Saya mengalu-alukan kenyataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai isu rundingan kerusi di antara KEADILAN dengan PAS yang banyak membantu menjelaskan latar belakang persetujuan beliau mengenai rundingan tersebut (ketika isu ini timbul dua tahun lalu) dan pandangan mutakhir beliau setelah dua tahun perkara ini berlanjutan.

Saya ada pilihan untuk tidak mengulas lanjut kenyataan tersebut, namun saya khuatir ia disalah erti sehingga menyebabkan Dato’ Seri Anwar menjadi sasaran cemuhan rakyat apabila kenyataan itu ditafsirkan secara sekerat-sekerat sehingga ia keluar dari konteks sebenar.

Sejak semalam, saya lihat ada pihak yang mendakwa kenyataan Dato’ Seri Anwar itu menjadi bukti bahawa strategi berunding dengan PAS hingga ke saat akhir itu datangnya dari Dato’ Seri Anwar sendiri. Ramai penyokong KEADILAN dan Pakatan Harapan serta rakyat terbanyaknya yang kecewa, tidak kurang juga yang menyerang Dato’ Seri Anwar.

Dengan keterbatasan yang beliau ada kerana terpenjara, pandangan Dato’ Seri Anwar selama ini pun (dalam sesuatu perkara) memang berbentuk panduan umum yang memberi garisan jelas pertimbangan-pertimbangan yang mesti diambil kira dalam membuat keputusan. Beliau menyenaraikan sempadan-sempadan (“parameters”) supaya keputusan yang dibuat mengambil kira perkara-perkara penting yang ditetapkan oleh sempadan-sempadan itu.

Namun akhirnya, keputusan diserahkan untuk dibincangkan dan dimuktamadkan oleh pimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan kerana beliau ada keterbatasan dari segi maklumat terkini yang diperolehi. Dalam isu rundingan kerusi dengan PAS ini, keterbatasan maklumat itu lebih meruncing kerana satu-satunya saluran maklumat beliau yang paling kerap ialah melalui peguam-peguam Sivarasa Rasiah, Latheefa Koya dan N Surendren yang ketiga-tiganya adalah pendokong kepada cadangan bekerjasama dengan PAS untuk mengelakkan pertandingan 3 penjuru.

Sebab itu saya menyambut baik kenyataan Dato’ Seri Anwar semalam kerana ia mengulangi perkara-perkara prinsip yang telah beliau tegaskan sejak dua tahun lalu apabila isu-isu ini mula-mula timbul.

Perkara-perkara prinsip yang dirujuk oleh Dato’ Seri Anwar dalam kenyataan beliau adalah:

1. Segala bentuk kerjasama dengan PAS, kalau pun berlaku, mestilah dalam bentuk kerangka komitmen KEADILAN dengan Pakatan Harapan (dan bukannya atas dasar KEADILAN bersendiri dengan PAS)

2. Segala bentuk kerjasama dengan PAS, kalau pun berlaku, mestilah dalam konteks strategi pilihanraya nasional (yang merangkumi semua parti di dalam Pakatan Harapan dan semua kerusi di seluruh negara) dan bukannya terbatas kepada Selangor semata-mata

3. Pendekatan KEADILAN untuk tidak memusuhi PAS bagi tujuan berunding adalah bersyarat kepada kesediaan PAS untuk saling berunding; dan (penilaian sama ada PAS masih bersedia untuk berunding itu) tertakluk kepada penilaian pimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan dari semasa ke semasa

4. Kebimbangan mengenai sikap PAS terhadap Umno dan kemungkinan kerjasama di antara dua parti itu adalah satu pertimbangan penting; dan Dato’ Seri Anwar berpegang kepada penafian Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini

5. Tempoh masa rundingan yang lama yang tidak membuahkan hasil membawa risiko besar kepada persediaan menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14)

Kesemua perkara di atas adalah panduan-panduan yang telah digariskan oleh Dato’ Seri Anwar sejak dua tahun lalu. Oleh sebab itulah, KEADILAN mengambil pendekatan untuk membidani penubuhan Pakatan Harapan dan pada masa yang sama terus mengekalkan hubungan dengan PAS selepas itu.

Seruan saya supaya keputusan mengenai rundingan dengan PAS dimuktamadkan segera oleh pimpinan (dan jika tidak, wajar diserahkan kepada pimpinan akar umbi untuk diputuskan melalui Kongres Khas mengikut peruntukan Perlembagaan parti) sebenarnya mengambil kira banyak perkembangan terkini yang telah menyentuh garis-garis sempadan yang ditentukan oleh Dato’ Seri Anwar sejak dua tahun lalu.

Saya senaraikan perkembangan-perkembangan terkini yang sewajarnya membolehkan KEADILAN membuat keputusan segera dengan berpandukan garis prinsip yang ditetapkan Dato’ Seri Anwar:

i. Segala bentuk kerjasama dengan PAS mestilah dalam kerangka komitmen KEADILAN dalam Pakatan Harapan – Majlis Presiden Pakatan Harapan telah membuat keputusan muktamad menolak sebarang bentuk rundingan kerusi dengan PAS pada saat ini memandangkan ia akan melengah-lengahkan persediaan di peringkat Pakatan Harapan jika pembahagian kerusi tidak dapat dimuktamadkan. Sebagai parti yang membidani kelahiran Pakatan Harapan, KEADILAN wajar menghormati keputusan yang dibuat Pakatan Harapan;

ii. Segala kerjasama dengan PAS mestilah melibatkan seluruh negara dan bukannya terbatas kepada Selangor sahaja – kenyataan pimpinan PAS secara berterusan mengesahkan parti itu akan bertanding di kesemua kerusinya semasa di bersama Pakatan Rakyat di seluruh negara. Kenyataan terkini Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man juga menegaskan rundingan hanya boleh berlaku jika kerusi-kerusi PAS tidak disentuh diseluruh negara. Ini menyebabkan mustahil boleh berlaku sebarang kerjasama kerana tidak ada ruang langsung untuk AMANAH dan PPBM bertanding, sedangkan dua parti rakan Pakatan Harapan ini wajar diberi ruang sebaiknya untuk sama-sama membantu menjana kemenangan. Dalam keadaan ini, adalah mustahil satu formula dapat dicapai yang memuaskan hati semua pihak di peringkat Selangor dan seluruh negara;

iii. Rundingan dengan PAS adalah bersyarat kepada kesediaan PAS untuk saling berunding dan tertakluk kepada penilaian pimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan dari semasa ke semasa – Sehingga hari ini, PAS terus berpendirian untuk tidak berunding dengan KEADILAN atau Pakatan Harapan. Malah, PAS Selangor yang merupakan sebahagian dari Kerajaan Selangor telah mengisytiharkan untuk bertanding di 42 kerusi DUN Selangor, termasuk Parlimen Gombak yang diwakili Dato’ Seri Azmin Ali sendiri. Pendirian PAS untuk tidak berunding ini bukan sahaja disampaikan kepada KEADILAN tetapi juga telah disampaikan kepada pimpinan PPBM terlebih dahulu. Maka tidak hairanlah Majlis Presiden membuat penilaian bahawa PAS tidak lagi bersedia untuk berunding dan wajarlah rundingan kerusi di peringkat Pakatan Harapan tidak lagi dilengah-lengahkan dengan cubaan memujuk PAS;

iv. Kebimbangan rakyat mengenai sikap PAS terhadap Umno – Saya tidak pasti bila kali terakhir ada perhubungan terus di antara Dato’ Seri Anwar dan Dato’ Tuan Ibrahim memandangkan keterbatasan ruang yang wujud di antara mereka. Masalahnya, keputusan pimpinan PAS ditentukan oleh Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan bukannya Dato’ Tuan Ibrahim. Sehingga kini, Dato’ Seri Abdul Hadi belum menafikan beliau ada berbincang secara berterusan dengan Dato’ Seri Najib mengenai kemungkinan mewujudkan kerjasama PAS-Umno untuk merampas Selangor dalam PRU14 seperti laporan media baru-baru ini. Malah, kalau pun Dato’ Tuan Ibrahim mampu mempengaruhi keputusan JK PAS Pusat, kenyataan beliau baru-baru ini yang “berpuas hati dengan pelan rasionalisasi 1MDB” selepas mengadakan pertemuan dengan CEO 1MDB (Arul Kanda Abdullah) tidak membantu meredakan kebimbangan rakyat mengenai sikap PAS terhadap Umno;

v. Tempoh masa rundingan yang lama – sehingga kini, tidak ada sebarang kemajuan dalam rundingan di antara KEADILAN dan PAS. Wakil KEADILAN yang diberi tanggungjawab berunding dengan PAS iaitu Dr Shaharuddin Badaruddin (Naib Presiden dilantik) sehingga sekarang tidak ada laporan yang kukuh dan masih lagi di perbincangan awal, sedangkan PRU14 semakin dekat.

Justeru, saya mengalu-alukan saranan Dato’ Seri Anwar supaya “segala keputusan perlu dimuktamadkan segera” memandangkan PRU14 yang terlalu dekat.

Beliau memohon supaya Presiden dan pimpinan KEADILAN diberikan ruang untuk memberi arah yang seterusnya (maksudnya membuat keputusan segera) selaras dengan pendirian KEADILAN dan muafakat Pakatan Harapan.

Pendirian KEADILAN telah lama dipersetujui seperti yang digariskan oleh prinsip-prinsip di atas dan diulangi sekali lagi oleh Dato’ Seri Anwar dalam kenyataannya semalam. Muafakat Pakatan Harapan juga telah memutuskan tidak ada lagi sebarang rundingan dengan PAS untuk membolehkan Pakatan Harapan menumpukan perhatian kepada persediaan PRU14 pada kadar segera.

Sebab itu bagi saya, isu ini tidak lagi berbangkit dan kenyataan Dato’ Seri Anwar semalam tidak boleh disalah ertikan sebagai persetujuan untuk terus menggantung rundingan kerusi di peringkat Pakatan Harapan demi memujuk PAS sehingga ke saat akhir penamaan calon.

Jika garis-garis panduan yang jelas yang diberikan oleh Dato’ Seri Anwar (besertakan keputusan di peringkat Pakatan Harapan dan penolakan PAS) masih belum membolehkan satu keputusan muktamad mengenai perkara ini di peringkat pimpinan KEADILAN, maka ahli akar umbi berhak untuk menggunakan peruntukan Perlembagaan untuk memanggil Kongres Khas dan memuktamadkan keputusan tersebut bagi pihak parti.

Saya bersetuju dengan Dato’ Seri Anwar bahawa sewajarnya ia tidak perlu sampai ke situ kerana keputusannya sudah “terang lagi bersuluh”. Keutamaan kita sekarang adalah mempamerkan kejujuran dan keikhlasan dalam membela rakyat terbanyak yang saya pasti akan turut memikat hati ahli-ahli PAS biasa yang rata-ratanya mahu menukar kerajaan Umno/BN seperti mana juga kami di Pakatan Harapan.

Membawa isu rakyat adalah strategi yang lebih baik untuk memenangi undi penyokong PAS, bukannya rundingan dengan pimpinan yang secara jelas telah menemui jalan buntu.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.