Kenapa Bekas KPN Yang Tampil Bersuara Bagi Pihak Najib; Kertas Siasatan Buktikan Dato’ Seri Najib Buka 3 Akaun Baru Pindahkan Wang 1MDB

Sejak Sarawak Report menyiarkan satu berita mengenai dakwaan sejumlah RM9.5 juta telah dipindahkan dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada peguam Tan Sri Shafee Abdullah, tidak ada satu kenyataan pun yang diberikan oleh Perdana Menteri mahupun peguam itu.

2 hari lalu, saya telah mendedahkan pula bagaimana dalam tahun 2011, Dato’ Seri Najib telah menggunakan dana awam 1MDB yang dipindahkan ke akaun beliau untuk membayar peguam-peguam yang mewakili beliau untuk mengenepikan sapina hadir memberi keterangan di dalam perbicaraan kes liwat yang dituduh terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Pendedahan saya itu berdasarkan satu dokumen yang didakwa adalah kertas siasatan SPRM yang dibocorkan di laman SPRMInsider. Maklumat yang terkandung di dalam kertas siasatan SPRM itu juga telah disahkan benar dan tepat oleh peguam kanan yang diambil keterangan oleh SPRM. Pengesahan peguam kanan tersebut mengiyakan bahawa pandangan umum bahawa kertas siasatan SPRM itu adalah benar dan sahih.

Sehingga kini, tidak ada sebarang kenyataan dari Dato’ Seri Najib mengenai butiran siasatan ke atas beliau yang terkandung di dalam kertas siasatan itu, khususnya berhubung penggunaan dana 1MDB untuk membayar peguam-peguamnya di dalam kes yang dibawa terhadap Dato’ Seri Anwar.

Sebab itu saya terkejut apabila individu yang tampil ke depan untuk menafikan perkara tersebut adalah Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Negara. Beliau yang membuat sidang media khas semalam seolah-olah mengulangi skrip yang dimainkan oleh tokoh-tokoh Umno yang mengawal propaganda kerajaan seperti Tun Faisal Ismail; yang mengulangi kononnya akaun Dato’ Seri Najib telah ditutup sebelum bayaran dibuat kepada Tan Sri Shafee Abdullah.

Adalah sangat memalukan apabila Perdana Menteri dan peguam kanannya tidak mempertahankan diri mereka secara berdepan; sebaliknya orang lain yang telah bersara seperti Tan Sri Musa Hassan pula yang terpaksa memanggil sidang media membela Dato’ Seri Najib dan Tan Sri Shafee.

Saya tidak pasti sama ada Tan Sri Musa Hassan menyediakan sendiri kenyataan media beliau semalam atau skripnya dipengaruhi pandangan yang rapat dengan Perdana Menteri. Hakikatnya, kenyataan media Tan Sri Musa Hassan semalam itu memalukan kerana jelas tidak teliti dengan butiran-butiran siasatan sehingga tersalah fakta.

Hari ini, saya ingin mengemukakan bukti bahawa hujah pembela-pembela Dato’ Seri Najib bahawa akaun beliau telah ditutup sebelum bayaran dibuat tidak boleh digunapakai dan salah.

Kertas siasatan SPRM yang dibocorkan (dan kini dipercayai telah disahkan bersandarkan kenyataan peguam-peguam yang pernah mewakili Dato’ Seri Najib sendiri) pada muka surat 9 dan 10 dengan secara jelas memperincikan bagaimana sementara satu akaun Dato’ Seri Najib telah ditutup pada 31 Ogos 2013, ada 3 akaun baru yang dibuka bagi menggantikan akaun yang ditutup itu.

Saya sertakan paparan skrin dari kertas siasatan mukasurat 9 dan 10 yang mengesahkan bahawa ada 3 akaun peribadi Dato’ Seri Najib yang masih beroperasi dalam tempoh September 2013 hingga Februari 2014, iaitu tarikh-tarikh bayaran dibuat kepada Tan Sri Shafee:

Kronologi tindakan menutup akaun, membuka akaun baru dan memindahkan dana, seperti yang diperincikan di dalam kertas siasatan SPRM, adalah seperti berikut:

i. Akaun asal yang digunakan oleh Dato’ Seri Najib untuk menerima pemindahan wang yang besar dibuka dalam pada 13 Januari 2011 dengan no akaun 2112022009694 atas nama beliau sendiri di AmIslamic Bank Berhad di Ambank Jalan Raja Chulan (dirujuk sebagai Akaun -9694)

ii. Dalam tahun 2011, sebanyak RM304,329,765.75 dana dari luar negara dimasukkan ke Akaun -9694 ini

iii. Dalam tahun 2012, sebanyak RM831,789,454.53 dana dari luar negara dimasukkan ke Akaun -9694 ini

iv. Dalam tahun 2013, sebanyak RM2,081,476,926.00 dana dari luar negara dimasukkan ke Akaun -9694 ini

v. Jumlah terkumpul dana yang dimasukkan ke Akaun -9694 di antara 2011 dan 2013 ialah RM3,217,596,146.28 sebelum sejumlahnya mula dipindahkan balik ke luar negara

vi. Di antara 2 Ogos 2013 hingga 23 Ogos 2013, wang dari Akaun -9694 telah dipindahkan beransur-ansur dalam 5 pindahan dengan jumlah setiap pindahan di antara USD55 juta ke USD200 juta. Jumlah keseluruhan yang dipindahkan keluar negara adalah USD620 juta; bersamaan RM2,034,350,000

vii. Sebelum penutupan Akaun -9694 dibuat pada 31 Ogos 2013, ada tiga akaun baru yang dibuka atas nama Dato’ Seri Najib pada 31 Julai 2013; iaitu AmPrivate Banking 2112022011880 (“Akaun -1880”), AmPrivate Banking 2112022011898 (“Akaun -1898”) dan AmPrivate Banking 2112022011906 (“Akaun -1906”).

viii. Sebelum Akaun -9694 ditutup, bakinya (selepas pemindahan wang sebanyak RM2.034 bilion seperti diterangkan di atas) sebanyak RM162,436,711.80 telah dipindahkan ke Akaun -1880 yang baru dibuka.

ix. Antara 27 Ogos 2013 ke 26 Mac 2014, Dato’ Seri Najib memindahkan pula sejumlah RM160 juta dari Akaun -1880 ke Akaun -1906 dan Akaun -1898.

 

Ketiga-tiga Akaun -1880, Akaun -1906 dan Akaun -1898 adalah akaun-akaun yang sama yang terkandung di dalam satu carta aliran dana wang SRC International Sdn Bhd yang mengalir ke akaun Dato’ Seri Najib yang ditunjukkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali (seperti di bawah):

Oleh yang demikian, kita boleh sahkan bahawa:

1. Wujud tiga akaun yang digunakan oleh Dato’ Seri Najib di antara September 2013 hingga Februari 2014 ketika bayaran RM9.5 juta dibuat kepada Tan Sri Shafee, iaitu Akaun -1880, Akaun -1906 dan Akaun -1898. Bayaran RM9.5 juta itu boleh datang dari mana-mana akaun ini.

2. Akaun-akaun -1880, -1906 dan -1898 dibuka sebelum akaun awal iaitu Akaun -9694 ditutup.

3. Sejumlah RM162,436,711.80 dari dana 1MDB yang dimasukkan ke Akaun -9694 telah dimasukkan pula ke dalam akaun-akaun yang baru dibuka ini.

4. Semasa membuka tiga akaun baru ini, wakil Dato’ Seri Najib yang membuka akaun-akaun itu memaklumkan bank bahawa akaun-akaun ini digunakan bagi tujuan berasingan iaitu: satu untuk dana politik, satu untuk yayasan dan satu untuk lain-lain.

5. Ketiga-tiga akaun ini (yang dibuka selepas akaun awal ditutup) juga disiasat oleh SPRM kerana telah menerima dana dari SRC International Sdn Bhd dan digunakan untuk membayar perbelanjaan peribadi Dato’ Seri Najib bagi tujuan membeli belah dan kempen politik, seperti yang saya telah dedahkan sebelum ini.

Bukti-bukti yang dikemukakan adalah terlalu kukuh. Alasan yang cuba diketengahkan dengan menggunakan Tan Sri Musa Hassan juga memalukan kerana jelas ia tidak benar.

Sampai bila Dato’ Seri Najib akan berdiam diri dan mengelak dari menjawab bukti-bukti yang datang dari dokumen yang dipercayai kertas siasatan SPRM sendiri?

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.