Kedudukan Dana KWAP Tidak Semestinya Boleh Menampung Tanggungan Bayaran Pencen Rakyat

Saya terkejut membaca laporan berita yang memetik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) iaitu Wan Kamaruzaman Wan Ahmad sebagai berkata “beliau tidak bimbang dengan hutang RM4 bilion yang diberikan kepada SRC kerana ia dijamin kerajaan”.

Untuk pengetahuan umum, KWAP telah memberikan pinjaman sebanyak RM4 bilion kepada SRC ketika syarikat itu masih menjadi anak syarikat 1MDB. Setelah pelaburan SRC tidak berjaya dan laporan audit terakhir menunjukkan bahawa sebahagian besar pelaburan SRC juga sama tarafnya dengan pelaburan 1MDB yang tidak dapat dijejaki;

(rujuk:
http://rafiziramli.com/2015/03/pelaburan-src-sebanyak-rm3-81-bilion-sama-kategori-dengan-pelaburan-pelaburan-1mdb/

SRC International Rugi RM164 Juta Bagi Tahun Kewangan Terkini Berakhir 31 Mac 2014

SRC Mencatat Susutnilai Pelaburan Sebanyak RM115 Juta Bagi Tahun 2014

http://rafiziramli.com/2015/04/pelaburan-src-alami-susutnilai-rm204-juta-sedangkan-kakitangan-kerajaan-dari-badan-berkanun-dinafikan-hak-pencen/)

Dato’ Seri Najib sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab telah membuat keputusan mengambil alih sepenuhnya SRC dari 1MDB dan dimiliknegarakan sebagai anak syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan. Kini, hutang RM4 bilion itu adalah hutang yang ditanggung oleh rakyat.

Sebab itu saya ingin menegur CEO KWAP supaya lebih prihatin dengan perasaan rakyat yang tidak gembira bila wang cukai GST yang sepatutnya dibelanjakan kepada mereka, akhirnya digunakan untuk menanggung hutang-hutang SRC yang dananya telah hilang entah ke mana.

Saya telah lama meneliti kedudukan kewangan KWAP kerana saya bimbang kesan pelaburan dan pinjaman yang diberikan kepada kemampuan kerajaan membayar pencen rakyat di masa akan datang.

Jika CEO KWAP tidak menampakkan rasa runsing dan kecewa dana KWAP telah disalahgunakan sehingga menyebabkan rakyat menanggung hutang itu, saya ada hak untuk mempersoalkan sama ada CEO KWAP akan berhati-hati di masa akan datang dalam menentukan pelaburan atau pinjaman kepada projek-projek dari Putrajaya yang risiko penyelewengannya tinggi (seperti mana pernah berlaku dalam kes SRC).

Apatah lagi dalam keadaan prestasi kewangan KWAP sejak 2010 sehingga 2015 (penyata kewangan diaudit yang terakhir yang diumumkan) menunjukkan penurunan keuntungan bersih atas pelaburan yang mendadak.

Saya sertakan petikan skrin prestasi kewangan 5 tahun yang disiarkan di dalam laporan penyata kewangan KWAP yang diaudit bagi tahun 31 Disember 2014 dan 31 Disember 2015, seperti berikut:

 

Tabung pencen atau dana pelaburan tidak diukur berdasarkan berapa besarnya saiz dana. Dalam kes KWAP, caruman yang perlu dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dan badan berkanun adalah ditetapkan secara undang-undang. Lebih tinggi kos penggajian setiap tahun, lebih tinggilah caruman kepada KWAP dan saiz dana KWAP akan meningkat sama.

Oleh sebab itulah, ukuran sebenar prestasi pelaburan dan tata kelola KWAP boleh dilihat kepada 2 perkara berikut:

1. Pulangan atas pelaburan kasar (gross return on investment/Gross ROI) – pulangan atas pelaburan kasar KWAP telah susut secara berterusan dari 7.07% (2010) kepada 5.4% (2015).

2. Kadar pulangan perakaunan (accounting rate of return/Net ROI) – pulangan bersih berdasarkan kadar pulangan perakaunan menunjukkan prestasi keuntungan KWAP terus susut secara berterusan dari 7.34% (2010) kepada 3.26% (2015).

Pulangan atas pelaburan bolehlah difahami sebagai dividen yang diumumkan oleh ASB, Tabung Haji atau KWSP atas simpanan kita di tabung-tabung tersebut. Sudah tentu bila kadar keuntungan (dividen) yang diumumkan terus turun sehingga menjadi separuh (dari 7.34% dalam tahun 2010 kepada 3.26% dalam tahun 2015), itu akan menimbulkan kemarahan rakyat.

Namun, saya lebih bimbang kerana KWAP tidak bertanggungjawab sepenuhnya kepada kemampuan kerajaan membayar pencen walaupun ia bertanggungjawab menguruskan dana agar (sepatutnya) ada wang yang mencukupi untuk membayar pencen.

Berbeza dengan tabung pencen swasta, sebarang kekurangan dana oleh KWAP untuk membayar pencen akan ditampung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dari hasil Kerajaan Persekutuan, seperti diperuntukkan di dalam Seksyen Akta KWAP 2007 (seperti berikut):

 

Ini menimbulkan risiko besar kerana pengurusan KWAP tidak bertanggungjawab kepada kemampuan Kerajaan Persekutuan membayar pencen kepada pesara kerajaan.

Malah, laporan kewangan KWAP yang diaudit tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ada laporan aktuari yang dilampirkan bersama. Laporan aktuari adalah laporan terpenting mana-mana dana pencen di dunia yang perlu dibuat setiap 3 hingga 5 tahun sekali (bergantung undang-undang negara itu) untuk menunjukkan sama ada jumlah wang yang ada di dalam tabung pencen itu mencukupi untuk membayar pencen dalam satu tempoh masa akan datang yang ditetapkan.

Ini untuk mengelakkan keadaan bila mana berlaku satu kekurangan dana yang hanya dikesan setelah terlambat; lalu menyebabkan pesara-pesara tidak mendapat bayaran pencen mereka.

Setelah meneliti laporan kewangan KWAP setakat ini, saya tidak dapat mengesan mana-mana bahagian yang menerangkan sama ada jumlah dana yang ada (melebihi RM120 bilion) itu mencukupi untuk membayar tanggungan pencen pada masa akan datang.

Oleh yang demikian, saya meminta supaya CEO KWAP menenangkan kerisauan rakyat dengan menyiarkan semua laporan aktuari yang boleh mengesahkan bahawa dana KWAP adalah mencukupi untuk menanggung bayaran pencen rakyat dalam masa akan datang.

Beliau perlu menjawab soalan-soalan ini:

1. Bila kali terakhir laporan aktuari bertauliah dibuat?
2. Adakah ada defisit kepada dana KWAP (berdasarkan laporan aktuari itu) itu memenuhi tanggungan bayaran pencen semua pesara kerajaan?
3. Berapa suntikan dana tambahan yang perlu ditanggung Kerajaan Persekutuan sekiranya ada defisit?

Sekiranya beliau tetap berdiam diri, maka saya akan menggunakan kaedah usul di Parlimen untuk mendapatkan laporan aktuari terperinci agar saya dapat membantu rakyat memastikan skandal-skandal 1MDB (termasuk wang pencen rakyat RM4 bilion yang hilang entah ke mana melalui SRC) tidak menyebabkan KWAP tidak berkemampuan menanggung tanggungan pencen rakyat di masa akan datang.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.