Wang Pencen Dari SRC International Dan Wang Tabung Haji Digunakan Untuk Membayar Jho Low

Pendedahan saya berkenaan dana SRC International Sdn Bhd yang dipindahkan ke akaun Dato’ Seri Najib Tun Razak sebenarnya mahu menumpukan perhatian rakyat kepada isu yang lebih besar iaitu bagaimana wang dari tabung pencen rakyat dan wang dari Tabung Haji akhirnya diselewengkan kepada Jho Low.

Hari ini, saya akan buktikan bagaimana Jho Low menjadi penerima terbesar aliran wang dari tabung rakyat melalui SRC International Sdn Bhd yang mendapat dana dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) sebanyak RM4 bilion.

Tumpukan perhatian anda kepada aliran dana dari SRC International Sdn Bhd kepada syarikat-syarikat berikut (seperti paparan carta aliran dana yang ditunjukkan secara tidak sengaja oleh Peguam Negara, Tan Sri Affandi Ali tahun lalu):

 

1. Sebanyak RM170 juta disalurkan terus dari SRC International Sdn Bhd ke Putra Perdana Construction Sdn Bhd, iaitu RM35 juta pada 8 Julai 2014, RM105 juta pada 14 Julai 2014 dan RM30 juta pada 8 Ogos 2014.

2. Pada hari yang sama iaitu 8 Julai 2014, sebanyak RM34.99 juta dipindahkan dari Putra Perdana Construction Sdn Bhd kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak (sebanyak RM27 juta) melalui sebuah lagi syarikat bernama Permai Binaraya Sdn Bhd.

3. Seminggu kemudian pada 14 Julai 2014, RM140 juta dipindahkan ke sebuah syarikat lain iaitu Putra Perdana Development Sdn Bhd iaitu RM105 juta yang dipindahkan terus dari SRC International Sdn Bhd melalui syarikat pengantara Putra Perdana Construction Sdn Bhd pada hari yang sama; dan RM5 juta dari Permai Binaraya Sdn Bhd iaitu penerima sejumlah RM34.99 juta dari SRC International Sdn Bhd seminggu sebelum itu (rujuk pemindahan wang dalam 2).

4. Sebulan kemudian pada 11 Ogos 2014, Putra Perdana Development Sdn Bhd menerima RM30 juta lagi dari SRC International Sdn Bhd melalui Putra Perdana Construction Sdn Bhd.

5. Jumlah RM140 juta yang diterima oleh Putra Perdana Development Sdn Bhd dalam bulan Julai dan Ogos 2014 kemudian dibayar kembali oleh Putra Development Sdn Bhd pada 12 Disember 2014 kepada SRC International Sdn Bhd melalui Putra Perdana Construction Sdn Bhd.

Semakan ke laman web dan carian syarikat Putrajaya Perdana Berhad (http://www.p-perdana.com/index.php) mengesahkan perkara-perkara berikut:

i. Putra Perdana Development Sdn Bhd (juga dikenali sebagai PPD) adalah anak syarikat kepada Putrajaya Perdana Berhad (rujuk carian SSM PPD dan paparan skrin dari laman web Putrajaya Perdana Berhad di bawah):

Download (PDF, 464KB)

Download (PDF, 534KB)

 

ii. Permai Binaraya Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang tidak aktif (“dormant”) yang mempunyai pengarah-pengarah yang sama dengan Putra Perdana Development Sdn Bhd iaitu Dato’ Shukri Dahlan dan Dato’ Rosman Abdullah;

Download (PDF, 533KB)


iii. Putra Perdana Construction Sdn Bhd adalah anak syarikat kepada Putrajaya Perdana Berhad.

Download (PDF, 464KB)

Semakan di laman web Putrajaya Perdana Berhad menunjukkan dalam bulan Mac 2014, Putra Perdana Development Sdn Bhd (syarikat yang menerima RM140 juta dari SRC International Sdn Bhd dalam bulan Julai dan Ogos 2014) telah memeterai satu urusniaga besar yang disenaraikan di bahagian “milestone” (peristiwa besar).

 

Dalam bulan Mac 2014, Putra Perdana Development Sdn Bhd telah membeli 37.5% pegangan di dalam Iskandar (Holdings) Company Limited dari Unity Capital Partners (Cayman) Limited. Kedua-dua syarikat tersebut iaitu Iskandar (Holdings) dan Unity Capital Partners adalah syarikat pesisir luar pantai yang dibuka di Kepulauan Cayman yang menyebabkan senarai pemegang saham dan pengarahnya dirahsiakan.

Walau bagaimana pun, saya berjaya menjejaki kedua-dua syarikat ini kepada Jho Low melalui satu rencana yang disiarkan oleh akhbar perniagaan The Edge bertarikh 3 April 2015 (capaiannya di http://www.theedgemarkets.com/article/jho-low-made-rm400-million-quick-flip-iskandar-land-deal).

Download (PDF, 730KB)

Rencana itu mengesahkan:

i. Jho Low mempunyai kepentingan saham di dalam Iskandar (Holdings) Company Limited
ii. Jho Low mempunyai kepentingan saham di dalam Unity Capital Partners (Cayman) Limited yang turut dimiliki oleh keluarga bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Taib Mahmud

Ini bermakna, dalam bulan Mac 2014, Putra Perdana Development Sdn Bhd telah membeli 37.5% kepentingan dari syarikat-syarikat Jho Low.

Beberapa bulan selepas itu iaitu dalam bulan Julai dan Ogos 2014, Putra Perdana Development Sdn Bhd yang tidak ada kena mengena dengan SRC International Sdn Bhd menerima sejumlah RM140 juta dari SRC International Sdn Bhd, iaitu syarikat milik rakyat yang menggunakan dana pencen kononnya untuk melabur.

Dalam bulan Disember 2014, seperti yang dilaporkan sendiri di laman web Putrajaya Perdana Berhad yang saya tunjukkan di atas, Tabung Haji membeli 30% pegangan di dalam Putrajaya Perdana Berhad dari Cendana Destini Sdn Bhd iaitu satu lagi syarikat yang dilaporkan dikawal oleh Jho Low.

Tahun lepas, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, YB Tony Pua telah berjaya mendapatkan pengesahan berapa jumlah yang disuntik oleh Tabung Haji ke dalam Putrajaya Perdana Berhad selepas pembelian 30% saham dari syarikat Jho Low.

Saya sertakan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir yang mengesahkan bahawa Tabung Haji telah menyuntik sebanyak RM193.5 juta ke dalam Putrajaya Perdana Berhad.

Oleh yang demikian, saya berani mengunjurkan perkara-perkara berikut:

1. Sejumlah RM140 juta telah diambil dari SRC International Sdn Bhd dalam bulan Julai dan Ogos 2014 untuk membayar Jho Low apabila Putra Perdana Development Sdn Bhd membeli pegangan di dalam Iskandar (Holdings) Company Limited

2. Sejumlah RM140 juta telah diambil dari Tabung Haji untuk membayar kembali dana SRC International Sdn Bhd dalam bulan Disember 2014 (yang digunakan terlebih dahulu untuk membayar Jho Low) melalui suntikan dana Tabung Haji ke dalam syarikat Putrajaya Perdana Berhad.

Saya menunggu maklumbalas kedua-dua orang tokoh politik Melayu dari parti Melayu terbesar iaitu Dato’ Seri Najib dan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang apabila dana dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Tabung Haji berkemungkinan besar telah diselewengkan untuk masuk ke poket Jho Low.

Saya akan meneruskan pendedahan dan siasatan ke atas dana ini kerana ia melibatkan dua tabung yang dimiliki rakyat keseluruhannya.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia
https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.