Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Serbu National Oversight & Whistleblowers (NOW)

Pagi ini sekitar jam 11 pagi, beberapa orang pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) datang ke pejabat National Oversight & Whistleblowers (NOW) menuntut untuk memeriksa keseluruhan rekod kewangan NOW.

Mereka memberi alasan pemeriksaan dibuat untuk memastikan NOW mematuhi Seksyen 167 Akta Syarikat yang mewajibkan sesebuah syarikat dan pegawai-pegawainya (termasuk pengarah) menyimpan rekod kewangan terperinci sehingga 7 tahun.

Saya tidak berada di NOW kerana hari Jumaat adalah hari saya berada di Pusat Khidmat Parlimen di Pandan. Saya dimaklumkan oleh Saudara Akmal Nasir, Pengarah Eksekutif NOW yang berada di pejabat bahawa pegawai-pegawai SSM ini tidak memberikan sebarang notis bertulis untuk memeriksa rekod kewangan NOW.

Perkara itu adalah bertentangan dengan undang-undang kerana SSM tidak ada kuasa untuk datang tanpa notis bertulis untuk memeriksa apa-apa dokumen sebuah syarikat atau pertubuhan. Setelah berbincang dengan beberapa peguam, kami memaklumkan kepada pegawai-pegawai tersebut supaya menunjukkan notis bertulis terlebih dahulu.

Saya dimaklumkan oleh Saudara Akmal bahawa alasan yang diberikan oleh pegawai-pegawai tersebut ialah mereka tidak menunjukkan notis bertulis untuk memudahkan urusan kerana jika mereka menunjukkan notis, NOW terpaksa mengemukakan semua dokumen yang disenaraikan di dalam notis tersebut. Untuk membantu NOW, mereka mencadangkan lebih baik jika mereka diberikan dahulu rekod lejer dan mereka akan memilih dokumen mana yang sesuai.

Jika pun itu niat sebenar pegawai-pegawai ini, mereka sepatutnya mematuhi bidang kuasa mereka seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang di bawah Bahagian IV (Seksyen 27A hingga 27D) Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia mengenai kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan.

Kuasa-kuasa itu secara jelas mengkehendaki satu notis bertulis dikeluarkan terlebih dahulu.

Saya telah menasihatkan NOW untuk menunggu notis bertulis tersebut dan tidak memberi apa-apa akses kepada maklumat selagi notis bertulis itu tidak dikeluarkan. Sebagai pengasas NOW yang telah masak dengan pelbagai cubaan menakutkan kami, saya tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan.

Sebaik sahaja notis bertulis itu dikeluarkan mengikut undang-undang, saya akan menasihatkan NOW untuk menyerahkan semua maklumat kewangan bagi tujuan Seksyen 167 Akta Syarikat kepada SSM. Namun, jika notis bertulis itu menyenaraikan maklumat yang tidak ada kena mengena dengan keperluan penyiasatan di bawah Seksyen 167 Akta Syarikat (contohnya maklumat kes-kes penyelewengan yang kami sedang siasat), saya akan berunding dengan peguam untuk mencabar notis bertulis itu.

Saya kesal kerana organisasi yang membongkarkan penyelewengan wang rakyat seperti NOW terus menjadi sasaran pihak berkuasa. Selain saya sendiri yang berdepan dengan 12 tindakan undang-undang setakat ini, Saudara Akmal pun pernah disaman oleh menteri sebelum ini.

Saya menasihati supaya SSM lebih menumpukan kepada pelbagai penemuan oleh Ketua Audit Negara mengenai salahlaku 1MDB dan dirumuskan oleh Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC). Pelanggaran–pelanggaran oleh 1MDB mengikut peruntukan di bawah Akta Syarikat adalah banyak dan saya sendiri telah membuat laporan polis mengenai pelanggaran-pelanggaran di bawah Akta Syarikat ini.

Kenapa sehingga sekarang SSM masih belum menyerbu 1MDB?

MOHD RAFIZI RAMLI dan AKMAL NASIR

Bagi pihak NOW

Pautan:

Laporan polis terhadap Jho Low berkenaan kesalahan bersabit Akta Syarikat

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.