Apa Jaminan Perdana Menteri RM650 Juta Kos Taman Tugu Tidak Digunakan Untuk Mengumpul Dana PRU14?

Saya melihat satu trend terkini iaitu dalam kegawatan polemik politik yang tepu, ada pengumuman-pengumuman besar yang membawa kesan kewangan besar kepada rakyat. Malangnya dalam kegawatan polemik politik mutakhir, pengumuman-pengumuman begini dilepas pandang baik oleh ahli politik, wakil rakyat, media atau rakyat sendiri.

Saya sangat prihatin dengan pengumuman oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak minggu lalu mengenai satu projek menaiktaraf Taman Tasik Perdana (nama lama) yang turut dikenali sebagai Lake Gardens menjadi “Taman Tugu” pada kos RM650 juta.

Saya telah mendapat tahu mengenai perkara ini sejak beberapa bulan yang lalu kerana dimaklumkan oleh kakitangan awam yang prihatin akan kesannya kepada Rumah Kelab Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik dan perniagaan di situ. Saya memilih untuk menunggu pengumuman rasmi sebelum memberi komen.

Saya sangat terkejut dengan harga RM650 juta yang diumumkan terutamanya melihatkan skop kerja dan naiktaraf yang diumumkan setakat ini. Orang ramai boleh meninjau sendiri cadangan naiktaraf di laman Taman Tugu http://tamantugu.com.my/en/things-to-see-do/. Saya rumuskan kerja-kerja naiktaraf yang telah disenaraikan seperti berikut:

1. Sektor Keluarga & Komuniti – Surau Jumaat, gerai makan, taman kanak-kanak dengan kawasan bermain air, parkir, kawasan acara luar dewan, kawasan makan dan minum tepi tasik, laluan pejalan kaki, dewan acara untuk 1,000 orang dan kuil Hindu

2. Sektor Pendidikan & Pembelajaran – Pusat Pendidikan Hutanhujan, laluan 800 meter untuk ruang berjalan dan berlari, laluan 500 meter tepian alur, laluan tergantung 80 meter untuk pusat pembelajaran dan inovasi dengan kerjasama Malaysian Nature Society

3. Aktiviti rekreasi – Kawasan rekreasi, laluan hutan 800 meter, kawasan gazebo terbuka, kawasan perkhemahan dan menara pantau

4. Kawasan bersejarah – pejabat ISIS dan rumah Kelab PTD

Kos RM650 juta adalah tinggi bagi kerja-kerja sebegini dan ia akan dibiayai sebahagian besarnya oleh Khazanah sebanyak RM500 juta.

Melihatkan kos RM650 juta yang tinggi dan dananya akan diperolehi oleh Khazanah, saya khuatir projek ini tidak lebih dari projek untuk menjana dana bagi pihak-pihak berkepentingan yang akhirnya akan disalurkan kembali kepada kempen Umno/Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum 14 (PRU14) nanti.

Umum mengetahui bahawa belanja menguruskan kempen yang ditanggung oleh Umno/Barisan Nasional dalam sesuatu pilihanraya umum boleh mencecah berbilion ringgit. Jika dalam PRU13 Dato’ Seri Najib Tun Razak mengaku menerima derma RM2.6 bilion, saya tidak yakin beliau akan begitu bernasib baik untuk menerima derma yang sebesar itu menjelang PRU14.

Saya ingin melahirkan kebimbangan bahawa projek-projek pembinaan dan naiktaraf diwujudkan bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan untuk menyedut dana-dana dari syarikat berkaitan kerajaan atau tabung awam yang lain. Projek-projek yang kosnya tidak seberapa kemudian akan dilipatgandakan nilainya dan dianugerahkan kepada kontraktor tertentu dan keuntungan yang berlipatganda itu kemudian “didermakan” balik kepada pimpinan atau badan tertentu menjelang PRU14.

Sebagai seorang akauntan bertauliah dan aktivis whistleblower yang telah lama berdepan dengan kes-kes penyelewengan dana awam, saya ingin menyatakan bahawa projek Taman Tugu ini mengundang risiko yang besar akan ada campur tangan untuk menganugerahkan tender kepada kontraktor tertentu.

Oleh yang demikian, saya mendesak supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak menjelaskan kepada rakyat jaminan beliau bahawa:

1. Proses ukur bahan (quantity survey) untuk menentukan kos sebenar bagi kerja-kerja di atas dibuat secara terbuka, telus dan boleh diteliti secara terperinci oleh rakyat

2. Proses bidaan tender bagi setiap pakej dibuat secara terbuka, telus dan boleh diteliti secara terperinci oleh rakyat

3. Setiap pembida bersetuju membuat pengisytiharan terperinci (detailed disclosure) yang menunjukkan pemilikan dan aliran wang

Sekiranya beliau gagal memberi jaminan ini, maka saya akan mengambil pendirian untuk menentang projek ini dan akan mula menggerakkan kempen tersusun menghalangnya. Saya akan mulakan dengan mengumpul satu pasukan juruukur bahan (quantity surveyor) sukarela yang akan mula meneliti kos sebenar bagi kerja-kerja di atas.

Saya akan menunggu maklumbalas dari Dato’ Seri Najib Tun Razak atau Khazanah dalam tempoh seminggu sebelum mengumumkan pendirian saya sebagai ahli parlimen mengenai projek ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.