Sekat Kakitangan Dan Pengurusan PETRONAS Dari Semenanjung Bukan Jawapan Kepada Barisan Nasional Mungkir Janji

Saya membaca laporan-laporan mengenai tuntutan supaya lebih ramai kakitangan PETRONAS yang berasal dari Sarawak diberikan tempat dalam pengurusan dan lebih banyak jawatan dikhaskan secara kuota kepada penduduk Sarawak. Saya juga sedia maklum dengan cadangan YB Chong Chin Jien, Ahli Parlimen Kuching yang mencadangkan supaya Kerajaan Sarawak menggunakan kuasa imigresennya untuk menyekat kakitangan dan pengurusan PETRONAS yang bukan dari Sarawak dari masuk ke negeri itu.

Saya adalah sebahagian dari keluarga PETRONAS sejak berumur 17 tahun hinggalah saya meninggalkan syarikat kebanggaan negara itu hampir 10 tahun yang lalu bila mana kontrak perkhidmatan seperti perjanjian penajaan pendidikan hampir tamat. Sepanjang perkhidmatan saya dengan PETRONAS, saya pernah terlibat dengan pengurusan Perniagaan Petrokimia (yang mempunyai anak syarikat di Sarawak) dan pengurusan PETRONAS Carigali (yang mempunyai operasi yang besar di Sarawak).

Sedang saya memahami sentimen sebahagian besar rakyat Sarawak yang merasakan bahawa kekayaan negeri mereka tidak dikongsi sama rata, saya juga ingin mengajak ahli-ahli politik dan rakyat Sarawak untuk memfokuskan bantahan dan kritikan kepada punca sebenar masalah ini iaitu Kerajaan Persekutuan. Tindakan menyalahkan PETRONAS bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah malah pada pendapat saya bertentangan dengan kebajikan kakitangan eksekutif PETRONAS yang berasal dari Sarawak sendiri.

Kakitangan eksekutif PETRONAS diambil bekerja oleh ibupejabat PETRONAS dan kemudiannya ditugaskan ke unit-unit dan anak-anak syarikat di seluruh dunia. PETRONAS mempunyai operasi besar yang meliputi huluan (upstream), gas dan LNG, loji penapisan dan petrokimia, operasi hiliran (downstream) yang lain, pemasaran, perdagangan antarabangsa dan sebagainya. Operasi yang besar dan kejayaan PETRONAS sebagai satu-satunya syarikat Fortune500 (500 syarikat terbesar di dunia) dari Malaysia membolehkan kakitangan PETRONAS dibentuk dan dilatih melalui pelbagai pengalaman dan kemahiran dari pelbagai operasi. Itu menjadi keistimewaan yang hanya dinikmati oleh kakitangan PETRONAS dan menjadikan mereka mempunyai daya bolehpasar (“marketability”) yang lebih baik berbanding syarikat lain.

Dari pelbagai operasi yang saya sebutkan di atas, bukan semuanya ada di Sarawak. Operasi PETRONAS di Sarawam hanya meliputi operasi huluan (upstream) di luar pantai dan berpusat di Miri serta kompleks LNG dan loji urea di Bintulu.

Sebab itu pada pendapat saya, mengenakan kuota agar jawatan pengurusan bagi operasi PETRONAS di Sarawak dikhususkan hanya untuk orang Sarawak sebenarnya tidak baik untuk kakitangan tersebut kerana perkembangan dan kemajuan kerjaya mereka akan terbantut di situ. Apabila mereka naik pangkat kerana kuota dan bertumpu kepada operasi di Sarawak sahaja, mereka akan menghadapi kesukaran untuk beralih jawatan dan pengalaman pada peringkat pengurusan yang sama di bidang-bidang lain.

Kesan ialah kakitangan PETRONAS dari Sarawak mendapat insentif jangka pendek untuk naik pangkat cepat dengan berebut jawatan pengurusan di Sarawak tetapi rugi jangka panjang kerana tidak cukup luas pengalaman untuk menaiki tangga kerjaya di peringkat kumpulan PETRONAS yang lebih besar dan mencabar. Akhirnya, kita bakal berhadapan dengan satu lagi masalah baru iaitu rungutan pengurusan peringkat tertinggi kumpulan PETRONAS ketandusan kakitangan yang berasal dari Sarawak.

Sebab itu pada pendapat saya, konglomerat bertaraf dunia seperti PETRONAS yang telah terbukti menjadi tulang belakang negara perlu dilindungi dari campur tangan politik dan menjadi bola sepak permainan politik. Mandat yang diberikan kepada PETRONAS ialah untuk mendapatkan nilai yang terbaik dari setiap molekul hidrokarbon yang ada di negara ini dan itu hanya boleh dicapai sekiranya PETRONAS beroperasi sepenuhnya mengikut pertimbangan komersil dan profesional.

Soal ketidakadilan perkongsian hasil minyak Sarawak sewajarnya dirundingkan dengan Kerajaan Persekutuan yang diketuai Dato’ Seri Najib Tun Razak.

PETRONAS tertakluk kepada undang-undang dan jumlah royalti serta syarat-syarat lain yang ditetapkan dan digubal Kerajaan Persekutuan. Tugas PETRONAS ialah memulangkan hasil minyak negara pada nilai keuntungan yang terbauk kepada Kerajaan Persekutuan. Keputusan membelanjakannya secara adil adalah keputusan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sebab itu juga saya telah berkali-kali mencadangkan supaya Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak masing-masing menubuhkan PetroSabah dan PetroSarawak untuk menjadi dua syarikat minyak yang boleh dibantu oleh PETRONAS untuk membangun bertaraf dunia. Rakyat Sarawak dan rakyat Sabah akan lebih beruntung jika mereka dibantu oleh PETRONAS dari segi kepakaran dan kemahiran supaya PetroSarawak dan PetroSabah boleh bersaing di luar negara. Keputusan pengurusan dan pengambilan pekerja PetroSarawak dan PetroSabah adalah keputusan komersil pengurusannya yang dilantik oleh Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Sabah.

Tetapi idea saya ini tidak pun dipandang oleh mana-mana pimpinan Sarawak dan Sabah baik dari Barisan Nasional atau Pakatan Harapan. Sebaliknya kadang-kadang saya melihat mereka berlumba-lumba memukul institusi lain yang dilihat dari Semenanjung, sedangkan yang sepatutnya dipukul ialah Dato’ Seri Najib Tun Razak yang menabur janji mengenai autonomi tetapi nampaknya enggan ditunaikan.

Adalah lebih baik menyekat Dato’ Seri Najib Tun Razak dari masuk Sarawak dari menyalahkan PETRONAS. Ia juga satu langkah menyelamatkan rakyat Sarawak dari pelbagai janji-janji pilihanraya yang tidak ikhlas seperti yang berlaku baru-baru ini.

Rafizi Ramli adalah pengurus termuda pernah dilantik di PETRONAS pada umur 25 tahun. Beliau juga adalah pengurus kanan termuda pernah dilantik pada umur 27 tahun. Berkelulusan kejuruteraan elektrik dan elektronik serta ditauliahkan sebagai akauntan bertauliah oleh Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW), beliau pernah bertugas di loji petrokimia, ibupejabat korporat dan Carigali.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

3 thoughts on “Sekat Kakitangan Dan Pengurusan PETRONAS Dari Semenanjung Bukan Jawapan Kepada Barisan Nasional Mungkir Janji”

  1. YB Rafizi…perkara pokok sekrang ni..org swk ataupun lebih spesifik lagi graduan atau penganggur yang mencari kerja hanya minta peluang petronas swk bagi quota utk org swk mengisi jawatan kosong yang ada di petronas swk..kalau kekosongan di swk pun petronas x nak bagi…jgn lah mimpi nak kerja di petronas klcc.☺

    1. Jawatan bukanlah sesuatu untuk dikekalkan, iaitu melalui kuota. Adakah Sarawakian terlalu lemah @ lekeh @ lokoi, untuk dapat kerja secara ‘cemey’? Pesaing lain diikat kakitangan dan mulut, tapi calon Sarawak diberikan kebebasan bergerak. Adilkah?

      Key words adalah KELAYAKAN. Kalau engkau bagus, tiada masalah pun nak masuk. Ni tiada, masalah org kena vss sikit pun suda mengamok mcm nak kiamat dunia.

      Ramai jer kawan kamek org Sarawak di KLCC…tapi sik ramai yang mahu balit Sarawak. Fikirkan.

      Kenapa hanya PETRONAS. Bagaimana Shell, Nippon mahupun Murphy? Kitak takut dengan org luarkah?

  2. sbenarnya perkara ni bukan shja berlaku dalam petronas, bahkan berlaku dlm perkhidmatan awam dan swasta yg berkaitan dengan kerajaan pusat…perkara ni dah lama berlaku sebelum datuk sri najib menjadi pm.. kalau masih ingat, pernah viral di facebook ttg lambakan guru dr semenanjung di sarawak.. bukan nk wujudkan sentimen, cuma diharap boleh bertoleransi sikit la.. kalau nk cakap salah, kerajaan negeri dan pusat sama2 salah sebb tak ambik pusing.. semua ada spm, belajar kat u.. kalau pengalaman kurang, boleh bagi tunjuk ajar.. tapi takkan swak dah lama dlm msia, msih jugak bg alsan yg sama kan..

Leave a Reply to one Cancel reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.