Tabung Haji Terdedah Kepada Kerugian RM554 Juta Di Dalam TH Heavy Engineering Berhad

071316 Pelaburan TH Rugi_1

Sepanjang bulan Februari 2016, saya telah memberi tumpuan kepada kedudukan kewangan Tabung Haji dan risiko-risiko kewangan/pelaburan yang perlu ditangani dengan segera demi kepentingan pendeposit dan jemaah haji. Antara lain saya mempersoalkan pelaburan-pelaburan yang merugikan pendeposit seperti Silverbird Berhad (pembuat roti High 5 yang kini terbukti gagal buat kali kedua), Felda Global Ventures dan penglibatan Tabung Haji membeli Ramunia Holdings Berhad (kini dikenali sebagai TH Heavy Engineering Berhad atau THHE).

(Analisa saya mengenai risiko-risiko pelaburan di dalam THHE boleh didapati di capaian:

http://rafiziramli.com/2016/02/pelaburan-tabung-haji-di-syarikat-kejuruteraan-huluan-ramunia-holdings-berhad-catat-kerugian-atas-kertas-rm200-juta-risiko-kerugian-jangka-panjang-rm1-4-bilion/

http://rafiziramli.com/2016/02/penafian-tabung-haji-mengenai-corporate-guarantee-kepada-thhe-surat-kementerian-kewangan-membuktikan-corporate-guarantee-diluluskan-oleh-tabung-haji/

http://rafiziramli.com/2016/02/laporan-polis-pengurusan-tabung-haji-jangan-sembunyi-di-belakang-peguam-negara-jawab-prestasi-dan-risiko-pelaburan-di-dalam-th-heavy-engineering-thhe-dan-lain-lain/ )

Minggu lalu, dua syarikat antarabangsa telah memfailkan dua petisyen berasingan untuk menuntut hutang mereka dari THHE seperti berikut:

1. Tuntutan oleh MIB ITALIANA S.P.A sebanyak USD 1,266,496.80 atau RM5.1 juta (rujuk http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/5142273)

2. Tuntutan oleh Orwell Offshore Ltd sebanyak USD 7, 607,440.74 atau RM30.4 juta (rujuk http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/5142285)

Kedua-dua kes ini bakal didengari di mahkamah.

Ekoran dari dua petisyen menuntut hutang yang berjumlah RM35.5 juta ini, saham THHE telah menjunam ke paras terburuk dalam sejarahnya. Setakat kenyataan media ini ditulis, saham THHE diniagakan pada 6.5 sen sesaham seperti dibawah:

sharepriceJuly16

Saya juga telah memberi amaran sebelum ini bahawa prospek jangka panjang pelaburan Tabung Haji di dalam THHE adalah buruk memandangkan prestasi kewangan THHE yang lemah selama ini akan diburukkan lagi akibat pasaran minyak mentah dunia yang terus kekal rendah.

Perkara ini kini disahkan apabila bukan sahaja saham THHE diniagakan pada harga terendah, penganalisa pasaran juga telah memotong unjuran prestasi kewangannya dan menasihatkan pelabur menjual saham-saham THHE. Firma saham Maybank Kim Eng dalam nota pelaburan bertarikh 8 Julai 2016 memotong unjuran perolehan THHE bagi tempoh 2016 hingga 2018 sebanyak 16% – 32% (rujuk nota pelaburan di bawah).

Download (PDF, 1.16MB)

Saya juga telah memberi amaran sebelum ini bahawa pergantungan THHE kepada satu-satunya projek besar iaitu menyediakan kemudahan FPSO (floating production, storage and offloading) untuk disewakan kepada konsortium JX Nippon dan Petronas Carigali (75%:25% pegangan) yang mengendalikan lapangan gas Layang adalah sangat berisiko tinggi kerana kelewatan-kelewatan yang telah berlaku.

THHE sepatutnya menyiapkan FPSO itu pada awal 2016 tetapi telah dilanjutkan tempohnya hingga ke pertengahan 2016 (iaitu sekarang). Sehingga kini tidak ada tanda-tanda bahawa FPSO itu akan siap, malah ada dakwaan bahawa ada masalah teknikal yang menyukarkan kerja-kerja menukar FPSO milik THHE untuk menepati spesifikasi teknikal seperti di dalam kontrak dengan consortium JX Nippon-Carigali.

Lebih buruk lagi, masalah kewangan dan aliran tunai terhad yang dihadapi oleh THHE kini bermakna ia berhadapan risiko melanggar kontrak dan tidak dibayar jika ia gagal memenuhi syarat-syarat kontrak yang ditandatangani.

Pendek kata, saya tidak perlu menghuraikan dengan lebih panjang kerana fakta-fakta telah jelas mengiyakan amaran dan analisa saya sebelum ini. Saya lebih berminat kepada tindakan segera yang perlu diambil untuk melindungi simpanan deposit jemaah haji di dalam Tabung Haji agar tidak terus terdedah kepada risiko kerugian yang lebih besar.

Pelaburan Tabung Haji di dalam THHE setakat ini adalah seperti berikut:

thheinitial

Mengambil kira harga terkini saham iaitu 6.5 sen sesaham dan kemungkinan THHE muflis akibat tindakan mahkamah serta kegagalan menyiapkan kemudahan FPSO seperti kehendak kontrak, kerugian pelaburan Tabung Haji di dalam THHE dianggarkan seperti berikut:

thhecurrent

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri memberi jawapan kepada rakyat terutamanya pendeposit Tabung Haji mengenai langkah-langkah beliau untuk menyelamatkan Tabung Haji dari kerugian berganda ini. Kerugian sebanyak RM554 juta pendeposit Tabung Haji yang kebanyakannya dari kalangan orang miskin dan warga emas bukanlah sesuatu yang boleh didiamkan sahaja.

Saya juga menyeru supaya kepimpinan baru Tabung Haji di bawah Dato’ Johan Abdullah mengambil pendekatan yang berbeza dalam menangani pandangan timbang tara dari Ahli Parlimen seperti saya. Oleh kerana analisa dan amaran-amaran saya telah terbukti benar, saya menyeru supaya Tabung Haji menarik balik laporan polis mengenai perkara ini yang telah dibuat terhadap saya sehingga menyebabkan saya didakwa di mahkamah kononnya memfitnah Tabung Haji sedangkan apa yang saya ulas itu kini telah berlaku.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

2 thoughts on “Tabung Haji Terdedah Kepada Kerugian RM554 Juta Di Dalam TH Heavy Engineering Berhad”

  1. Assalam Tuan,

    Laporan Firma Saham Maybank yang tuan paparkan diatas adalah laporan mengenai syarikat Malaysia Marine and Heavy Engineering (MMHE). Bukan mengenai TH Heavy Engineering.

Leave a Reply to Hassan Cancel reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.