Bakal Haji Memang Perlu Menunggu Lebih 50 Tahun Untuk Menunaikan Haji: Kenapa Dato’ Seri Najib Tun Razak Tidak Berjaya Mendapatkan Lebih Banyak Kuota Haji?

Saya sedia maklum jawapan Dato’ Seri Jamil Khir semalam yang seolah-olah menuding jari kepada komen-komen yang saya buat sebagai sebab kenapa jemaah haji terpaksa menunggu sehingga 70 tahun untuk menunaikan haji.

Sebenarnya saya telah mendapat jawapan dari beliau sendiri pada 9 Mac 2016 yang lalu mengenai kaedah yang digunakan untuk menentukan giliran jemaah haji menunaikan haji (jawapan dilampirkan bersama). Sebab itu jawapan beliau semalam adalah tidak tepat dan cuba menyembunyikan kelemahan di pihak beliau sendiri dengan memberi gambaran seolah-olah timbal balik (“check and balance”) terhadap kedudukan kewangan Tabung Haji adalah punca bakal haji terpaksa menunggu masa yang lama.

TH - Kuota Haji - Menteri1

TH - Kuota Haji - Menteri2

Merujuk kepada jawapan beliau sendiri, setakat Februari 2016 ada 2.023 juta pemegang akaun Tabung Haji yang telah mendaftar untuk menunaikan haji sedangkan kuota haji setiap tahun adalah sebanyak 0.1% dari jumlah penduduk Malaysia (rujuk laman rasmi Tabung Haji). Ini bermakna kuota rasmi jemaah haji bagi Malaysia adalah 30,000 orang setahun. Malah sejak beberapa tahun lalu, kuota haji Malaysia adalah sekitar 22,000 orang setahun sahaja.

Pada angka ini dan jumlah bakal haji seramai 2.023 juta, secara purata seorang bakal haji memang perlu menunggu di antara 40 hingga 70 tahun untuk menunaikan haji. Tempoh masa yang lama ini tidak ada kena mengena dengan komen-komen saya mengenai Tabung Haji tetapi adalah kerana kegagalan Kerajaan Malaysia mendapatkan kuota tambahan dari Kerajaan Saudi.

Saya ingin mengusulkan supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak merundingkan dengan Kerajaan Saudi untuk meningkatkan kuota haji sehingga 50,000 setahun untuk memendekkan tempoh menunggu giliran memandangkan beliau sangat rapat dengan Kerajaan Saudi. Jika keluarga diRaja Saudi boleh mendermakan RM2.6 bilion kepada beliau, saya yakin beliau begitu rapat dengan keluarga diRaja Saudi dan boleh mendapatkan pertambahan kuota haji bagi rakyat Malaysia.

Saya akan membentangkan analisa saya mengenai pengurusan giliran haji dan kuota haji dalam masa terdekat untuk menunjukkan bahawa ada kepincangan yang memangsakan bakal haji yang miskin dan tua. Sepatutnya isu ini perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh Dato’ Seri Jamil Khir sebelum beliau menuding jari sesuka hati seperti itu.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.