Pelaburan Tabung Haji Di Syarikat Kejuruteraan Huluan (Ramunia Holdings Berhad) Catat Kerugian Atas Kertas RM200 Juta, Risiko Kerugian Jangka Panjang RM1.4 Bilion

Pelaburan Tabung Haji yang mengundang kontroversi paling utama ialah pelaburannya di dalam syarikat kejuruteraan huluan (“upstream engineering”) yang bernama Ramunia Holdings Berhad bermula dari 2008. Setelah syarikat tersebut mengalami kerugian mendadak dan sahamnya jatuh menjunam dalam tahun 2010, Tabung Haji menjenamakan semula syarikat itu sebagai TH Heavy Engineering Berhad (THHE) dan terus menyuntik lebih banyak pelaburan.

Tabung Haji mula membeli saham dengan agresif dalam pertengahan tahun 2008 seperti berikut:

• Di antara 10 Julai 2008 hingga 16 Julai 2008, Tabung Haji membeli 14.23 juta saham menjadikan pegangannya mencecah 18.06% (99.74 juta saham) selepas pembelian tersebut. Harga saham pada waktu ini adalah di antara RM1.54 hingga RM1.59 sesaham.
• Berdasarkan Laporan Tahunan Ramunia Holdings Berhad bagi tahun kewangan 2008, setakat 29 Februari 2009, Tabung Haji telah mengumpul 166,836,833 saham menjadikannya pemegang saham terbesar Ramunia Holdings Berhad pada 29.68% pegangan.

thhe2008

Mengambil kira prestasi harga saham Ramunia Holdings Berhad sepanjang tahun 2008 yang menunjukkan harganya memuncak pada harga RM1.95 sesaham pada awal Februari dan mula menurun sehingga ia mencatat harga terendah (rekod 52 minggu) 76 sen sesaham pada pertengahan Ogos, anggaran harga saham purata yang dibeli oleh Tabung Haji untuk mengumpul 29.68% saham ialah RM1.50 sesaham.

Saya menganggarkan pelaburan awal Tabung Haji dalam tahun 2008 untuk membeli saham-saham Ramunia Holdings Berhad adalah sekitar RM250 juta.

Walaupun saya faham pada ketika itu ada khabar-khabar angin bahawa MISC (anak syarikat PETRONAS) akan membeli Ramunia (yang menyebabkan harga sahamnya naik melonjak), prestasi kewangan Ramunia secara jelas menunjukkan ia sebuah syarikat yang mempunyai masalah kewangan, seperti yang ditunjukkan berikut:

Tahun Kewangan Kerugian Tahunan

(RM juta)

Kerugian Terkumpul

(RM juta)

2008 21 74
2009 383 457

pnlthhe

retainedthhe

 

Oleh kerana kerugian yang mendadak dan terlalu besar bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2009, juruaudit telah memberi amaran bahawa Ramunia Holdings Berhad berdepan dengan risiko muflis (“going concern”) terutamanya kerana sebuah anak syarikatnya Ramunia Fabricator Sdn Bhd disaman oleh banyak pihak kerana gagal membayar hutang.

goingconcernthhe

Akibat dari amaran ini, saham Ramunia Holdings Berhad jatuh menjunam sehingga ditutup pada harga 20.5 sen pada 2 Mac 2010. Berikutan dari ini, Ramunia Holdings Berhad digantung penyenaraiannya dan dikategorikan sebagai syarikat PN17.

Kontroversi melibatkan Ramunia Holdings Berhad diketahui umum kerana ia melibatkan penjualan asetnya kepada Sime Darby Engineering dan pelbagai tindakan mahkamah oleh kontraktor-kontraktor yang rata-ratanya usahawan Bumiputra yang terpaksa gulung tikar. Saya telah duduk sendiri dengan beberapa orang usahawan ini yang jatuh muflis akibat masalah kewangan Ramunia Holdings Berhad.

Tabung Haji sebaliknya terus menambah pelaburan di dalam Ramunia Holdings Berhad yang dijenamakan semula sebagai TH Heavy Engineering Berhad (“THHE”). Tabung Haji melantik wakilnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan kekal sebagai pemegang saham terbesar.

Prestasi kewangan THHE menampakkan sedikit pemulihan bagi beberapa suku kewangan sahaja sebelum sahamnya jatuh kembali. Ketua Pegawai Eksekutif yang dilantik Tabung Haji sebelum ini iaitu Datuk Nor Badli Mohd Alias meletakkan jawatan secara mengejut dalam tahun 2014 apabila THHE gagal menunjukkan pemulihan kewangan.

Saham THHE terkini (berdasarkan harga 22 Februari 2016) ditutup pada 14.5 sen.

shareprice

 

Oleh itu, perkiraan kerugian atas kertas pelaburan Tabung Haji di dalam THHE setakat ini adalah seperti berikut:

  RM Juta
Pelaburan asal 2008:

166,836,833 saham @ RM1.50 harga purata

 

250

   
Nilai terkini 22 Februari 2016:

334,162,107 saham @ RM0.145

(jumlah saham selepas penstrukturan)

 

48

   
Kerugian atas kertas 202

 

Paling membimbangkan, THHE terpaksa pula beroperasi dalam suasana harga minyak mentah yang rendah yang dijangkakan berterusan sehingga 5 hingga 8 tahun akan datang. Ini akan menyebabkan tidak banyak kontrak-kontrak pembinaan huluan yang boleh dibida kerana syarikat-syarikat minyak memotong perbelanjaan kapital mereka dalam tempoh tersebut.

Tabung Haji terus memberi sokongan kewangan walaupun prospek THHE membimbangkan. Apabila THHE menerbitkan “Islamic irredeemable cumulative preference shares” (ICPS), terbitan itu tidak mendapat sambutan yang baik oleh pelabur lain tetapi Tabung Haji menyuntik RM275 juta ke dalam THHE dengan melanggan ICPS tersebut.

Kontroversi terkini ialah dokumen yang bocor dari Tabung Haji dalam Januari yang lalu yang menunjukkan Tabung Haji melanggar akta dan undang-undang penubuhannya apabila ia memberikan jaminan korporat (“corporate guarantee”) kepada THHE berjumlah RM981 juta (seperti dihuraikan di dalam Laporan Risiko Pelaburan) sedangkan THHE bukanlah anak syarikat Tabung Haji (kerana pegangan saham Tabung Haji hanyalah 29.81% setakat 10 April 2015). Maklumat di dalam Laporan Risiko Pelaburan tersebut menunjukkan bahawa kelulusan pengurusan Tabung Haji untuk memberikan jaminan korporat kepada THHE itu dibuat sekitar November atau Disember 2015.

THHECG1

THHECG2

THHECG3

THHECG4

 

Oleh yang demikian, risiko pelaburan Tabung Haji di dalam THHE kini mencecah sekurang-kurangnya RM1.4 bilion (iaitu kerugian saham pada nilaian RM100 juta bagi keseluruhan pegangan saham, ICPS sebanyak RM275 juta, sukuk sebanyak RM50 juta dan jaminan korporat sebanyak RM981 juta). Risiko pelaburan ini akan lebih tinggi melangkau RM1.4 bilion apabila harga saham THHE jatuh di bawah paras 30 sen satu saham.

Soalan saya yang paling utama: sejauh mana Tabung Haji akan menyuntik lebih banyak dana pendeposit di dalam THHE untuk bertahan dalam tempoh 5 hingga 8 tahun kejatuhan harga minyak mentah ini, sedangkan ia gagal memulihkan THHE dalam tahun-tahun 2008 hingga 2014 pada ketika harga minyak mentah memuncak?

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

2 thoughts on “Pelaburan Tabung Haji Di Syarikat Kejuruteraan Huluan (Ramunia Holdings Berhad) Catat Kerugian Atas Kertas RM200 Juta, Risiko Kerugian Jangka Panjang RM1.4 Bilion”

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.