Bukti Perbelanjaan Kempen Barisan Nasional Dalam PRU13 Yang Menggunakan Dana Awam

Saya telah tampilkan bukti bagaimana geran Kerajaan Persekutuan berjumlah RM2 juta telah dipindahkan kepada Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) pada 22 April 2013 yang kemudiannya diisytiharkan sebagai “derma” bagi membiayai perbelanjaan kempen Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Umum 13 (PRU13) oleh presiden MAICCI Datuk K.K.Eswaran.

Hari ini, saya bentangkan bukti-bukti bagaimana dana awam RM2 juta itu telah dibelanjakan oleh individu-individu tertentu untuk menjalankan kempen BN. Perincian perbelanjaan ini boleh disemak melalui dokumen-dokumen berikut:

1. “Payment Summary” berjumlah RM954,678.10 yang menunjukkan secara terperinci segala perbelanjaan bagi kempen BN untuk masyarakat India di beberapa negeri tertentu. Sebahagian dari program yang dibiayai (seperti program Sahabat BN di Melaka, Sahabat BN di Klang dan lain-lain) telah pun disahkan melalui liputan-liputan berita yang saya senaraikan di dalam sidang media semalam

Download (PDF, 175KB)

2. “Payment Voucher” bernombor 7(14) bertarikh 4 Ogos 2014 sebanyak RM185,000 kepada Datuk K.K.Eswaran sebagai bayaran balik kepada perbelanjaan kempen PRU13 yang didahulukan oleh beliau

Download (PDF, 32KB)

3. “Payment Voucher” bertarikh 8 Mei 2013 kepada Narish Enterprise sebanyak RM50,000 sebagai bayaran kepada jentera pilihanraya BN Pahang (Dato’ M. Davendran, Setiausaha Kehormat MAICCI adalah bekas Pengerusi MIC Pahang dan bekas ADUN Sabai, Pahang)

Download (PDF, 32KB)

4. “Payment Voucher” bertarikh 3 Mei 2013 kepada Teraju Muda Sdn Bhd sebanyak RM500,000 bagi penyediaan CD program Sahabat BN. Teraju Muda Sdn Bhd adalah syarikat RM2 yang didaftarkan di Johor Bahru. 2 orang pengarahnya adalah bekas pegawai kanan kerajaan iaitu Dato’ Shahrom Abdul Majid (bekas Ketua Pengarah Jabatan Perikanan) dan Dato’ Mohd Ali Samad (bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan)

Download (PDF, 129KB)

Saya juga telah menyemak pembayaran invois dan baucer bayaran ini dengan penyata bank MAICCI dan boleh mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. Cek bagi bayaran RM185,000 kepada Datuk K.K.Eswaran telah dilunaskan pada 7 Ogos 2014

2. Cek-cek bagi bayaran berjumlah RM954,678.10 (kepada Datuk K.K.Eswaran, nombor cek 719603), RM50,000 (nombor cek 719604) dan RM500,000 (nombor cek 719602) seperti perincian di atas telah dilunaskan pada tarikh yang sama dalam bulan Mei 2013 (salinan penyata bank tidak jelas dan tidak dapat dipastikan pada hari apa)

3. Satu lagi cek bernilai RM420,000 (nombor cek 719601) dilunaskan pada tarikh yang sama dalam bulan Mei 2013 (salinan penyata bank tidak jelas dan tidak dapat dipastikan pada hari apa) seperti cek-cek di atas iaitu bayaran bagi kemeja-T kempen pilihanraya BN kepada Impak Dermaga Sdn Bhd

Ini menjadikan jumlah keseluruhan bayaran yang dibuat oleh MAICCI bagi perbelanjaan kempen BN bagi PRU13 adalah RM2,109,678.10. Saya juga boleh mengesahkan melalui semakan penyata bank bahawa kesemua RM2 juta yang dipindahkan oleh Kementerian Kewangan sebagai “geran” kepada MAICCI telah digunakan bagi perbelanjaan-perbelanjaan yang diperincikan di atas.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

One thought on “Bukti Perbelanjaan Kempen Barisan Nasional Dalam PRU13 Yang Menggunakan Dana Awam”

  1. salam, boleh ke saya menggunakan data ini untuk digunakan dalam kajian saya. saya pelajar sains politik dari UKM. adakah data ini data yang boleh percayai?

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.