1MDB Melanggar Syarat Sukuk RM2.4 Bilion: Siapa Beri Kebenaran Kepada Tabung Haji Dan KWAP Untuk Bersetuju Dengan Pelanggaran Syarat?

Sehingga hari ini, 1MDB atau Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak menjawab perkara-perkara yang saya timbulkan setiap hari minggu ini mengenai pembiayaan kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera yang perlu dilaksanakan oleh 1MDB. Apabila saya mendedahkan bahawa Kerajaan Persekutuan sebenarnya telah memberi geran sebanyak RM1.0865 bilion kepada 1MDB bagi kerja-kerja tersebut menggunakan dana awam, sehingga kini tidak ada penafian.

Sudah tentu tidak ada penafian atau sebarang tindakan saman ke atas saya kerana ini fakta semata-mata.

Akhirnya, 1MDB terpaksa berselindung di sebalik Dato’ Abdul Rahman Dahlan yang menyerang peribadi saya dan Tony Pua yang banyak menumpukan perhatian kepada skandal 1MDB ini.

Saya dipilih oleh rakyat dengan majoriti yang begitu tinggi untuk menumpukan kepada isu-isu rakyat. Penyalahgunaan dana awam adalah perkara yang banyak memangsakan rakyat, jadi saya akan terus bersuara selagi ada perkara yang tidak dijawab dengan baik oleh 1MDB.

Hari ini, saya menarik perhatian umum kepada Perjanjian Sukuk RM2.4 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB di mukasurat 30 dan 32 mengenai syarat-syarat (“positive covenants”) yang saya sertakan bersama di bawah:

Download (PDF, 596KB)

Saya menarik perhatian kepada syarat di dalam Perkara 2(w)(i)(12) di dalam Perjanjian Terbitan Sukuk RM2.4 bilion bahawa Bandar Malaysia Sdn Bhd (“the issuer” atau penerbit sukuk) hendaklah kekal menjadi anak syarikat milik penuh 1MDB RE (iaitu anak syarikat milik penuh 1MDB).

Pengumuman penjualan 60% pegangan 1MDB di dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada konsortium swasta yang dianggotai oleh syarikat berkaitan Kerajaan China sudah tentu akan menjadikan Bandar Malaysia Sdn Bhd hanyalah syarikat bersekutu (“associated company”) dan bukannya syarikat milik penuh 1MDB seperti syarat di atas.

Oleh itu, salah satu tiang utama program rasionalisasi 1MDB yang dijalankan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak sebenarnya melanggar perjanjian terbitan sukuk yang masih berkuatkuasa.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 18 Mei 2014, Perdana Menteri mengesahkan bahawa Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) turut mempunyai bon yang diterbitkan oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd. Sebelum itu, saya telah mendedahkan bahawa bon yang diterbitkan oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd dilanggan oleh Tabung Haji.

Semakan saya dari maklumat umum menunjukkan daripada sejumlah RM1.5 bilion yang diterbitkan di bawah Perjanjian Sukuk RM2.4 bilion ini, sebanyak RM920.8 juta telah dilanggani oleh Tabung Haji dan besar kemungkinan bakinya RM579.2 juta dilanggani oleh KWAP. Saya telah mengulangi perkara ini berkali-kali dan tidak pernah dinafikan oleh 1MDB atau Dato’ Seri Najib Tun Razak setakat ini.

Oleh yang demikian, soal penjualan pegangan 1MDB di dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd yang melanggar syarat terbitan sukuk di bawah Perkara 2(w)(i)(12) ini turut mengheret Perdana Menteri, pengurusan Tabung Haji dan pengurusan KWAP untuk menjawab perkara-perkara berikut:

1. Jika pengurusan Tabung Haji dan KWAP tidak bersetuju dengan pelanggaran syarat tersebut, kenapa pengurusan Tabung Haji dan KWAP tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap 1MDB?

2. Jika pengurusan Tabung Haji dan KWAP bersetuju dengan pelanggaran syarat tersebut, siapa yang memberi kebenaran kepada pengurusan Tabung Haji dan KWAP untuk bersetuju?

3. Bilakah Tabung Haji dan KWAP akan mendapatkan kembali dana yang dipinjamkan kepada Bandar Malaysia melalui terbitan sukuk ini yang setakat ini dianggarkan berjumlah RM1.5 bilion?

Skandal ini akan terus menjadi sensitif kerana dana yang tidak dibelanjakan untuk pemindahan dan naiktaraf pengkalan tentera udara itu adalah dana Tabung Haji dan KWAP. Jika 1MDB tidak mahu menjawab ke mana dana itu dibelanjakan, saya cabar Dato’ Abdul Rahman Dahlan untuk berdepan dengan rakyat ke mana dana Tabung Haji dan KWAP yang dipinjamkan kepada 1MDB itu dibelanjakan?

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.