Lebih Banyak Projek Negara Dimenangi Oleh Syarikat Asing Ekoran Skandal 1MDB

Perjanjian jual beli di antara 1MDB dengan satu konsortium Iskandar Waterfront Holding Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (CREC) bagi pegangan 60% di dalam pembangunan Bandar Malaysia mengesahkan kebimbangan saya sebelum ini bahawa lebih banyak aset strategik dan projek negara jatuh dimiliki oleh syarikat asing terutamanya dari China akibat kemelut kewangan 1MDB.

Sebelum ini, 1MDB telah menjual aset penjanaan elektrik kepada sebuah lagi syarikat milik kerajaan China walaupun penjualan itu bertentangan dengan dasar dan peraturan umum kerajaan Malaysia yang tidak membenarkan aset elektrik dikuasai oleh syarikat asing.

Dengan perjanjian hari ini, CREC akan mempunyai 40% dari 60% pegangan di dalam Bandar Malaysia (pegangan 24% di dalam keseluruhan projek) iaitu satu bidang hartanah yang cukup bernilai dan strategik. Bandar Malaysia kini sedang dibangunkan sebagai pusat pengangkutan utama negara yang baru dengan memusatkan keretapi laju Kuala Lumpur – Singapura (HSR), sistem MRT2 dan MRT3 di situ selain dari pembangunan hartanah.

Walaupun pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak akan memberi alasan bahawa pegangan 24% dari keseluruhan projek yang kini dimiliki oleh syarikat China itu adalah kecil, saya percaya pegangan itu akan memberi kelebihan kepada CREC untuk membida dan memenangi projek yang lebih besar yang berkait rapat dengan Bandar Malaysia iaitu pembinaan sistem keretapi laju Kuala Lumpur –Singapura yang dijangka menelan belanja USD11 bilion (bersamaan RM47 bilion pada kadar tukaran semasa).

Oleh sebab itu, saya mengajak rakyat Malaysia menghayati bagaimana kebelakangan ini ada kecenderongan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menjual atau menganugerahkan bidaan kepada syarikat-syarikat yang berkait dengan kerajaan China termasuklah penjualan Edra Energy dan hari ini pegangan di dalam Bandar Malaysia.

Saya berani meneka bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak juga sedang berkira-kira untuk menganugerahkan projek sistem keretapi laju Kuala Lumpur – Singapura yang berharga RM47 bilion itu juga kepada syarikat-syarikat berkait dengan kerajaan China.

Jika ini berlaku, Malaysia akan memasuki era baru yang lebih sulit apabila banyak kepentingan negara berhubung kait dengan pemilikan oleh syarikat-syarikat kerajaan China yang sudah tentu merumitkan pendirian negara dalam isu-isu serantau seperti tuntutan bertindih ke atas Kepulauan Spratly.

Perjanjian hari ini hanya mengesahkan amaran saya sebelum ini bahawa kemelut kewangan 1MDB akan mengheret negara sehingga banyak aset-aset penting negara akan dijual demi untuk mengambus hutang besar 1MDB.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.