Struktur Syarikat Mara Inc Memudahkan Penyelewengan, Tan Sri Anuar Musa Melawat Hartanah

National Oversight & Whistleblowers (NOW) merujuk kepada kenyataan-kenyataan Tan Sri Anuar Musa kebelakangan ini mengenai skandal pembelian hartanah oleh MARA Inc; seperti berikut:

1. Beliau memberi gambaran seolah-olah beliau tidak tahu menahu mengenai kontroversi pembelian itu sehinggalah isu itu ditimbulkan

2. Beliau memberi gambaran bahawa berdasarkan maklumat yang ada pada MARA, pembelian itu adalah baik dan tidak ada apa-apa yang menimbulkan syak wasangka mengenai urusniaga tersebut

Minggu lalu, saya (Rafizi Ramli) berada di Australia untuk beberapa urusan dan sempat membuat siasatan ringkas mengenai pembelian hartanah-hartanah tersebut.

Saya berjaya mendapatkan satu dokumen dalaman MARA yang digunakan di dalam satu taklimat kepada Tan Sri Anuar Musa dan delegasi MARA mengenai pembelian hartanah ini. Taklimat itu diberikan pada 20 Mei 2014 di Melbourne dan selain dari Tan Sri Anuar Musa sendiri, delegasi MARA itu turut disertai oleh Dato’ Lan Allani iaitu individu yang dikaitkan bertanggungjawab dengan pembelian hartanah ini.

Lawatan delegasi MARA ini untuk melawat hartanah yang baru dibeli di Melbourne dilaporkan oleh Kementerian Luar Negara di lamannya http://www.kln.gov.my/web/aus_melbourne/e2014/-/asset_publisher/ME2g/blog/majlis-amanah-rakyat-mara-working-visit-to-melbourne-australia?redirect=%2Fweb%2Faus_melbourne%2Fe2014%22 .

Gambar-gambar lawatan seperti berikut:

photo1

visit1

visit2

visit5

Dokumen dalaman yang berbentuk taklimat kepada Tan Sri Anuar Musa dan delegasi MARA itu memberi beberapa maklumat penting mengenai keseluruhan pelaburan hartanah MARA Inc di Melbourne. Salah satunya ialah struktur pegangan syarikat-syarikat milik penuh MARA Inc yang akhirnya memiliki 4 hartanah yang dibeli iaitu:

1. 746 Swanston Street
2. Dudley International House
3. 333 Exhibition Street
4. 51 Queen Street

Saya sertakan 2 mukarusat dari dokumen itu yang menunjukkan struktur pegangan syarikat-syarikat milik penuh MARA Inc. Daripada dokumen tersebut, dapat disahkan bahawa:

IMG_2335

IMG_2336 (1)

i. Bagi 2 hartanah (746 Swanston Street dan Dudley International House), MARA Inc menubuhkan satu syarikat milik penuh di luar pesisir pantai (offshore company) yang didaftarkan di British Virgin Island (BVI) untuk memiliki 2 hartanah ini. Syarikat BVI bermakna segala maklumat kewangan dan operasi syarikat ini dilindungi sepenuhnya oleh kerahsiaan dan tidak termasuk di dalam carian umum

ii. Bagi 2 lagi hartanah (333 Exhibition Street dan 51 Queen Street), MARA Inc menggunakan 3 lapisan syarikat di negara yang berbeza untuk memiliki hartanah ini.
Bagi 333 Exhibition Street, hartanah ini dipegang melalui Powerwell Holdings Limited (didaftarkan di Labuan), yang seterusnya memiliki Carlton Garden Pte Ltd (didaftarkan di Singapura), yang seterusnya memiliki Peters Equity Pty Ltd (didaftarkan di Australia) yang akhirnya memiliki hartanah itu.

Bagi 51 Queen Street, hartanah ini dipegang melalui Vortex Holdings Limited (didaftarkan di Labuan), yang seterusnya memiliki Marinn Property Pte Ltd (didaftarkan di Singapura), yang seterusnya memiliki Queville Pty Ltd (didaftarkan di Australia) yang akhirnya memiliki hartanah itu.

Daripada maklumat-maklumat ini, jelas bahawa pembelian hartanah ini distrukturkan untuk menyembunyikannya dari pengetahuan awam dengan menggunakan syarikat pesisir luar pantai di BVI atau menggunakan beberapa lapisan syarikat yang didaftarkan di negara yang berbeza untuk memisahkan hartanah itu dari MARA Inc.

Tindakan menggunakan syarikat-syarikat yang berbeza-beza ini bukan sahaja sepatutnya menimbulkan syak wasangka, ia juga menelan belanja pengurusan dan pentabdiran yang merugikan MARA.

Oleh kerana Tan Sri Anuar Musa telah melawat sendiri hartanah-hartanah ini dengan diiringi oleh Dato’ Lan Allani dan diberikan maklumat ini sejak tahun 2014 lagi, NOW mengajukan soalan-soalan berikut kepada beliau:

i. Bukankah sepatutnya Tan Sri Anuar Musa sudah sedia maklum bahawa pembelian hartanah ini bermasalah melihatkan kepada struktur pegangan yang digunakan MARA Inc?

ii. Kenapa beliau tidak mengarahkan siasatan yang lebih awal sejak tahun 2014 lagi dan bukannya selepas perkara ini didedahkan oleh akhbar Australia?

iii. Kenapa syarikat-syarikat di BVI, Labuan dan Singapura digunakan untuk membeli hartanah-hartanah ini sedangkan pemilik sebenarnya ialah MARA Inc?

Daripada dokumen yang diperolehi, NOW akan mendedahkan beberapa perkara lagi minggu ini yang menunjukkan bagaimana pelaburan hartanah ini tidak memenuhi syarat pulangan kepada MARA dan sepatutnya telah dihentikan oleh Tan Sri Anuar Musa sebaik sahaja beliau menjadi Pengerusi MARA.

RAFIZI RAMLI
AKMAL NASIR
Pengarah Eksekutif NOW
29 Jun 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.