Hentikan Salahguna Kakitangan Polis Bawahan Demi Kepentingan Politik

31 MAC 2015

Saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang memberikan sokongan moral kepada saya dan rakan-rakan tahanan politik yang lain setakat ini. Sejak tahun lepas, beratus-ratus aktivis telah ditahan dan/atau didakwa dengan pelbagai alasan terutamanya bagi tujuan siasatan di bawah Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Amana tau Seksyen 143 Kanun Keseksaan (berhimpun secara haram dengan niat menimbulkan kekacauan).

Pasukan polis datang ke rumah saya pada jam 2 pagi hari Jumaat 27 Mac 2015 untuk menahan saya. Walau bagaimana pun, saya yang mengalami serangan gastrik dan demam pada ketika itu tidak mendengar pintu diketuk. Mereka akhirnya menahan saya di Pusat Khidmat Parlimen Pandan sejurus selepas solat Jumaat.

Saya tahu bahawa penahanan saya bagi tujuan siasatan di bawah Akta Hasutan berkenaan pekeliling yang saya keluarkan itu hanyalah satu alasan yang diberikan oleh Ketua Polis Negara yang tidak dipercayai sesiapa pun. Tujuan sebenar penahanan saya ialah untuk memastikan beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat seperti saya, Tuan Haji Mohamad Sabu, Saudara Tian Chua dan lain-lain tidak boleh menyertai perhimpunan #kitalawan pada 28 Mac 2015 yang lalu.

Saya sebenarnya berasa lucu kerana pimpinan Umno seperti Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Polis Negara masih belum faham perubahan di dalam masyarakat kita. Mutakhir ini rakyat lebih menghormati aktivis-aktivis yang dipenjarakan bila berjuang menentang Umno/Barisan Nasional dalam isu-isu yang membabitkan kepentingan rakyat.

Saya tahu saya dilihat sebagai duri yang perlu dibuang kerana sering kali mendedahkan pelbagai penyelewengan dan pembaziran Umno/Barisan Nasional. Setiap kali pendedahan sebegini berlaku, pimpinan Umno/Barisan Nasional tidak mempunyai jawapan kerana ia memang benar-benar berlaku. Akibatnya, pimpinan Umno/Barisan Nasional terpaksa menggunakan Ketua Polis Negara untuk menutup penyelewengan-penyelewengan ini dengan menahan saya dengan harapan ia akan menutup mulut saya.

Apabila saya membuat keputusan meninggalkan dunia korporat untuk menjadi aktivis politik sepenuh masa, saya telah nekad untuk tidak akan berundur sehinggalah ada perubahan dalam negara ini. Tidak ada lokap, penjara atau mahkamah yang boleh menutup mulut saya. Di mana ada pembaziran dan rasuah Umno/Barisan Nasional, di situ saya menunggu. Sebab itu, hari ini saya tampil untuk menyambung pendedahan mengenai skandal pembelian jet peribadi oleh Perdana Menteri.

Saya mengucapkan terima kasih kepada kakitangan polis di IPD Dang Wangi, kakitangan Hospital Kuala Lumpur dan kakitangan Lokap Bersepadu Jinjang yang banyak bertimbang rasa. Pegawai-pegawai polis bawahan ini hanya menerima arahan walaupun mereka pun tidak mahu digunakan sebagai alat politik. Sepanjang tahanan 3 hari, saya sempat memberi beberapa ceramah kelompok kecil kepada anggota-anggota polis mengenai GST. Saya faham mereka juga mangsa kepada kerakusan pimpinan atasan yang tamakkan kedudukan seperti mana rakyat Malaysia yang lainnya.

Oleh sebab itu, jika benar Ketua Polis Negara prihatin mengenai kebajikan kakitangan PDRM, hentikanlah menggunakan pegawai polis bawahan ini demi kepentingan politik beberapa kerat pimpinan Umno/Barisan Nasional.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

One thought on “Hentikan Salahguna Kakitangan Polis Bawahan Demi Kepentingan Politik”

  1. I agree with what you say…an analogy for you..the general is in a deep bunker which is surrounded by well placed machinegun bunkers all around..in a battle plan what do you do…focus on the machine gun nests first..destroy them and then and only then can you go for the main bunker..just a suggestion from me a rakyat marhaen.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.