1MDB: Bentangkan Terma Audit Di Parlimen, Ambil Tindakan Segera Di Bawah Akta Anti Pengubahan Wang Haram (Anti Money Laundering Act)

5 Mac 2015

Saya mengucapkan syabas kepada seluruh rakyat Malaysia yang berterusan menekan Dato’ Seri Najib Tun Razak sehingga akhirnya beliau tidak ada pilihan untuk beralah sedikit dengan mengarahkan Ketua Audit Negara untuk menjalankan audit ke atas 1MDB.

Saya sendiri pernah mengutus surat sebagai Ahli Parlimen pada 26 November 2014 kepada Ketua Audit Negara menggesa beliau untuk menjalankan audit ke atas 1MDB memandangkan sejumlah RM4 bilion dana dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) telah dipinjamkan kepada 1MDB dalam tahun 2011. Surat itu tidak pernah dijawab oleh Ketua Audit Negara dan beliau juga membuat kenyataan rasmi menolak keperluan audit dijalankan ke atas 1MDB.

Makanya, keputusan Dato’ Seri Najib Tun Razak semalam membuktikan sekali lagi bahawa desakan-desakan yang dibuat oleh pimpinan Pakatan Rakyat termasuk saya, Saudara Tony Pua, Saudara Anwar Ibrahim dan Saudara Lim Kit Siang selama ini ada asasnya. Seperti juga dalam skandal-skandal yang lain (contohnya NFC), perkara yang ditimbulkan kami pada awalnya dinafikan mentah-mentah oleh Barisan Nasional tetapi akhirnya terpaksa membuat “U-Turn” dan melaksanakan juga apa yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat dari awal.

Pun begitu, saya tidak yakin audit itu diarahkan dengan objektif untuk memastikan segala urusan 1MDB didedahkan kepada orang awam mengikut prinsip tata kelola dan ketelusan. Malah, saya bimbang audit itu hanyalah satu helah untuk mengheret Ketua Audit Negara mengiyakan bahawa operasi 1MDB tidak membawa risiko kewangan kepada negara, seperti mana suatu ketika dahulu Ketua Audit Negara pernah dilibatkan untuk membersihkan nama NFC.

Fungsi dan matlamat sesuatu audit ditentukan oleh skop dan terma audit. Audit penyata kewangan yang dilakukan oleh firma audit bebas misalnya adalah mengikut peraturan dan piawai audit dan laporan kewangan antarabangsa selain dari mengikut undang-undang (Akta Syarikat dan lain-lain). Oleh itu, sejauh mana audit yang bakal dijalankan ini berkesan dalam merungkai penyelewengan yang mungkin telah berlaku di dalam 1MDB bergantung kepada apakah skop dan terma audit yang telah ditetapkan.

Sebab itu, saya menyeru supaya skop dan terma itu dibentangkan di Parlimen dalam sidang akan datang supaya ia benar-benar menyeluruh dan bermatlamatkan ketelusan. Audit tersebut mestilah mempunyai objektif-objektif berikut:

1. Mengenalpasti ke mana dana telah dilaburkan, berapa yang dibelanjakan dan siapa penerima akhir (“final beneficiaries”) bagi setiap satu sen dana yang digunakan oleh 1MDB

2. Mengenalpasti sama ada keputusan bagi setiap pelaburan dan perbelanjaan telah menepati tata kelola (“good governance”) dan berpatutan dengan harga/nilai pasaran

3. Memastikan setiap pelaburan dan perbelanjaan membawa pulangan yang berpatutan yang melebihi nilai hutang yang telah diambil oleh 1MDB

4. Mengenalpasti risiko kewangan yang dibawa 1MDB kepada ekonomi negara khususnya sektor perbankan dan pasaran bon/ekuiti serta langkah-langkah segera membendungnya

5. Mengenalpasti individu terbabit dalam setiap perbelanjaan dan pelaburan yang dibuat 1MDB serta saranan tindakan yang perlu diambil terhadap mereka sekiranya terbukti berlaku penyelewengan atau pengurusan yang lemah

Jika audit itu tidak menyentuh mana-mana objektif di atas, saya yakin ia tidak akan memberi sebarang jawapan kepada pelbagai tanda tanya mengenai 1MDB selama ini. Saya juga percaya keputusan audit itu akan mengheret Ketua Audit Negara untuk mengiyakan bahawa 1MDB bebas dari sebarang masalah seperti mana seluruh Jemaah Menteri diheret membela 1MDB apabila mereka menyatakan mereka berpuas hati dengan penjelasan pengurusan 1MDB minggu ini.

Pada masa yang sama, arahan agar audit ini dijalankan tidak patut dijadikan alasan untuk tidak mengambil tindakan bagi pelanggaran undang-undang yang nyata telah dibuat oleh pengurusan 1MDB.

Saya turut meneliti pendedahan Sarawak Report mengenai email-email di antara pengurusan 1MDB dan pihak-pihak lain. Salah satu dari siri email ini adalah bersabit pemindahan wang USD700 juta milik 1MDB yang akhirnya dipindahkan ke sebuah syarikat bernama Good Star Limited yang mana Jho Low mempunyai kepentingan.

Email di antara Jacqueline Ho, wakil dari Deutsche Bank dan Shahrol Halmi, mantan CEO 1MDB pada 2 Oktober 2009 adalah seperti berikut:

From : Jacqueline Ho <[email protected] >
To : Casey Tang; Shahrol Halmi
Sent : Fri Oct 02 06:19:20 2009
Subject : RESEND : URGENT REQUEST OF RBS COUTTS
Dear Casey and Shahrol

Please see an email request from RBS Coutts to reveal the beneficiary name pertaining to 1MDB’s remittance.

In that sense, I believe RBS needs confirmation on the beneficiary’s name in order to complete their internal risk mitigating processes as no name was

We will await your instructions on whether to reveal the beneficiary name and address (please provide) to RBS Coutts.
As requested by them, we will have to send it out via email and an authenticated swift message so would appreciate a reply as soon as possible.

Best Rgds
Jacqueline Ho
Corporate Coverage
Deutsche Bank (M) Bhd
Tel: + 603 20317798
Mob: +6012 2059561

From : Shahrol Halmi
Date : Fri, 2 Oct 2009 08:21:15 -0400
To : ‘[email protected]’ <[email protected] >; Casey Tang <[email protected] >
Subject : Re: RESEND : URGENT REQUEST OF RBS COUTTS

Jac, please use this address for GOOD STAR LIMITED.

P.O.Box 1239, Offshore Incorporation Centre, Victoria, Mahe, Republic of Seychelles

Thanks

Dari email ini, ada kemungkinan besar bahawa mantan CEO 1MDB dan Deutsche Bank telah melanggar peruntukan Akta Anti Pengubahan Wang Haram (Anti Money Laundering Act) apabila gagal menyatakan nama penerima dana (“beneficiary name”) seperti yang dituntut undang-undang. Siasatan perlu segera dijalankan oleh Bank Negara Malaysia untuk memastikan dana USD700 tidak dipindahkan tanpa bank-bank dan syarikat terbabit tahu kepada siapakah dana itu dipindahkan.

Saya percaya Bank Negara Malaysia selama ini tahu bahawa banyak urusniaga dan pemindahan dana oleh 1MDB berkemungkinan besar melanggar Akta Anti Pengubahan Wang Haram.

Oleh itu, jika benar Dato’ Seri Najib Tun Razak mahu meyakinkan rakyat bahawa 1MDB tidak mempunyai apa-apa masalah, beliau tidak patut campur tangan dengan membenarkan Bank Negara menjalankan siasatan segera di bawah Akta Anti Pengubahan Wang Haram.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.