Caj Penyenggaraan Mengikut Konsesi Penswastaan UiTM Dua Kali Ganda, Dedah Perjanjian Konsesi

Saya menyambut baik kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh dua orang pemimpin Barisan Nasional baru-baru ini yang turut sama menyarankan supaya perjanjian konsesi UiTM didedahkan kepada umum untuk meyakinkan rakyat bahawa penswastaan UiTM itu menguntungkan rakyat.

Kenyataan-kenyataan Datuk Paul Low dan Datuk NurJazlan Mohamad yang kedua-duanya diberi amanah meningkatkan ketelusan urusan kerajaan membayangkan mereka sendiri bersetuju bahawa kaedah menswastakan kampus-kampus UiTM pada harga yang cukup tinggi ini boleh merugikan negara dalam jangka masa panjang, seperti yang telah berlaku dengan konsesi penswastaan penjana bebas (IPP) dan lebuhraya misalnya.

Saya mendapat beberapa maklumat yang menimbulkan syak wasangka bahawa perjanjian-perjanjian konsesi penswastaan UiTM ini memberi kelebihan kepada pemegang konsesi yang akan merugikan rakyat seperti berikut:

1. Kelengkapan di beberapa kampus yang telah dibina adalah tidak mencukupi dan tidak dibina mengikut keperluan pengajaran UiTM. Ini menyebabkan UiTM terpaksa mengeluarkan belanja tambahan untuk melengkapkan kampus ini bagi membolehkan kampus ini digunakan. Contohnya, ada dakwaan bahawa beberapa bangunan kampus UiTM cawangan Jasin tidak mempunyai soket elektrik yang secukupnya kerana tidak termasuk di dalam spesifikasi perjanjian konsesi sehingga menyukarkan ia digunakan sepenuhnya oleh tenaga pengajar UiTM;

2. Klausa perjanjian konsesi penswastaan UiTM turut memperuntukan Pembayaran Tetap (atau dipanggil Availability Charges) seperti mana yang pernah menimbulkan kontroversi di dalam perjanjian konsesi penjana bebas (IPP);

3. Bayaran khidmat penyenggaraan (atau maintenance charge) yang dikenakan oleh pemegang konsesi adalah dua kali ganda lebih mahal dari anggaran kos biasa yang sepatutnya ditanggung oleh UiTM. Saya dimaklumkan bahawa perjanjian konsesi penswastaan UiTM menetapkan bayaran khidmat penyenggaraan sebanyak RM1.05 setiap kaki persegi berbanding anggaran kos biasa yang dinilai/kini dibayar oleh UiTM iaitu di antara 50 sen hingga 60 sen kaki persegi.

Ini bermakna, UiTM terpaksa membayar dua kali ganda lebih mahal bagi khidmat penyenggaraan di bawah penswastaan kepada syarikat pemegang konsesi berbanding dengan kos yang ditanggung sedia ada.

Ini adalah maklumat dalam UiTM yang diberikan kepada saya oleh pengurusan dalam UiTM dan tidak dapat saya sahkan tanpa melihat sendiri perjanjian konsesi penswastaan UiTM. Perkara ini menjadi buah mulut di kalangan tenaga pengajar UiTM dan sering disampaikan kepada saya.

Oleh yang demikian, untuk membuktikan bahawa perkara ini tidak benar dan perjanjian konsesi tidaklah merugikan UiTM seperti yang disebut-sebut oleh Timbalan Perdana Menteri, saya sarankan kabinet mengambil nasihat yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low agar perjanjian konsesi penswastaan UiTM didedahkan kepada umum secepat mungkin.

Keengganan kabinet mendedahkan perjanjian konsesi penswastaan UiTM hanya mengesahkan bahawa dakwaan-dakwaan mengenai kadar bayaran yang dua kali ganda lebih tinggi itu adalah benar belaka.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

16 Julai 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.