Skandal Geran MOSTI: Perdana Menteri & Menteri Enggan Jawab Di Parlimen, Sahkan Kesahihan Surat

Sebelum ini, saya telah mendedahkan bagaimana geran di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang sepatutnya digunakan untuk memacu aktiviti R&D telah disalahgunakan untuk membiayai projek komersil yang tidak pasti nilai R&Dnya.

Ini berikutan satu surat yang diminitkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada Menteri MOSTI, Datuk Dr Ewon Ebin yang memberi sokongan agar dana sebanyak RM100 juta diberikan kepada sebuah syarikat iaitu NSE Resources Corporation Sdn Bhd.

Oleh kerana Perdana Menteri enggan memberi sebarang maklum balas seperti lazimnya, saya pernah menggesa supaya kedua-dua Perdana Menteri dan Menteri MOSTI membuat akuan bersumpah bahawa surat-surat itu adalah palsu, seperti berikut:

1. Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak membuat akuan bersumpah (statutory declaration) bahawa surat yang diminitkan beliau itu palsu dan beliau tidak pernah melihat atau meminitkan sesuatu mengenai perkara itu;

Download (PDF, 1.19MB)

2. Menteri MOSTI Datuk Dr Ewon Ebin membuat akuan bersumpah (statutory declaration) bahawa surat yang ditandatangani beliau bertarikh 21 Januari 2014 itu palsu dan beliau tidak pernah melihat atau menandatangani surat itu.

Download (PDF, 83KB)

Seperti lazimnya juga, kedua-dua Perdana Menteri dan Menteri MOSTI mendiamkan diri dan tidak memberi sebarang maklumbalas kepada desakan saya itu.

Oleh sebab itu, saya telah mengajukan dua soalan mengenai perkara ini untuk mengesahkan sama ada Perdana Menteri dan Menteri MOSTI ada menandatangani kedua-dua surat yang saya dedahkan sebelum ini yang membongkarkan skandal geran MOSTI ini.

Saya menerima jawapan dari Setiausaha Dewan semalam bahawa soalan-soalan itu ditolak atas alasan seperti yang diberikan di dalam surat dari Setiausaha Dewan seperti yang dilampirkan bersama.

Download (PDF, 609KB)

Download (PDF, 603KB)

Saya merumuskan bahawa ini mengesahkan bahawa kedua-dua surat itu adalah sahih dan memang betul Perdana Menteri memberi sokongan agar dana RM100 juta dari geran MOSTI diberikan kepada sebuah syarikat yang mengusahakan projek komersil yang tidak mendapat sokongan institusi kewangan.

Keengganan Dato’ Seri Najib Razak dan Datuk Dr Ewon Ebin membuat akuan bersumpah dan enggan menjawab di Dewan Rakyat menjadi bukti bahawa kesemua surat dan dokumen yang saya tampilkan selama ini adalah benar dan sahih.

Dalam tempoh sidang Parlimen minggu ini dan minggu depan, saya akan terus mendedahkan beberapa dokumen lain yang mengesahkan bagaimana syarikat ini tidak layak untuk menerima geran sebanyak RM100 juta dan menguatkan lagi kenyataan saya bahawa berlaku salahguna di dalam pentadbiran pemberian geran apabila geran-geran diberikan kepada syarikat atau projek yang tiada nilai tambah R&D.

Malah, saya berpendapat bahawa penyelewengan geran seperti ini selama ini tidak disiasat dan dihalusi oleh rakyat sehingga telah berlaku ketirisan yang wajar disiasat secepat mungkin.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

11 Jun 2014

One thought on “Skandal Geran MOSTI: Perdana Menteri & Menteri Enggan Jawab Di Parlimen, Sahkan Kesahihan Surat”

  1. Em… Apa masalahnya kalau Najib tulis:

    “Untuk pertimbangan. Saya tiada halangan jika projek ini sesuai”

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.