SYABAS/Puncak Niaga Wajar Belanjakan Wang Selesai Masalah Air, Bukan Saman

Saya dimaklumkan bahawa SYABAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap saya di atas kenyataan yang saya buat pada hari Isnin mengenai masalah bekalan air yang terganggu melibatkan lebih 100,000 pintu rumah di sekitar Lembah Klang.

Sudah menjadi kebiasaan SYABAS atau Puncak Niaga mengambil pendekatan saman setiap kali ada kritikan mengenai prestasinya sebagai syarikat yang memonopoli bekalan air di Lembah Klang.

Sebagai wakil rakyat, saya telah mengambil pelbagai jalan untuk membawa rasa tidak puas hati penduduk yang sering menjadi mangsa gangguan bekalan air terutamanya di kawasan Pandan. Ini termasuklah:

1. Mengumpul tanda tangan bantahan
2. Membawa kes kegagalan SYABAS ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia
3. Membawa isu ini untuk dibahaskan di Parlimen
4. Mengusulkan kepada Kerajaan Negeri supaya menyediakan bekalan air kecemasan apabila berlaku gangguan
5. Berbincang dengan kakitangan SYABAS sendiri untuk membantu penduduk

Malangnya, semua langkah-langkah ini baik yang bekerjasama atau berdepan dengan SYABAS tidak sedikit pun membaiki prestasi bekalan air kepada penduduk. Gangguan terus berlaku dan setiap kali gangguan bekalan air berlaku, jumlah lori air untuk menghantar bekalan kecemasan tidak pernah mencukupi.

Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab saya terus mengkritik prestasi SYABAS kerana kelemahan perancangan dan operasi SYABAS dan syarikat loji pembersihan air (LPA) yang turut dikuasai oleh kepentingan yang sama (melalui Puncak Niaga) terus menyebabkan kesukaran kepada penduduk di Lembah Klang.

Dalam gangguan terbaru, saya tidak dapat menerima alasan bahawa dua LPA iaitu Batu 11 Cheras dan Bukit Tampoi ditutup kerana kandungan ammonia di dalam air sungai melebihi kapasiti pemprosesan yang dibenarkan di dua LPA itu sedangkan sekiranya LPA itu dinaiktaraf lebih awal, ia boleh menangani air sungai yang mempunyai kandungan ammonia lebih tinggi.

Melalui semakan awam, saya mendapati bahawa kedua-dua LPA itu hanya boleh memproses air sungai yang mempunyai kandungan ammonia maksima sebanyak 1.5 mg/liter. Pada masa yang sama, sisa air rawatan dari sistem kumbahan yang dilepaskan ke sungai-sungai oleh Indah Water Konsortium (IWK) mempunyai kandungan ammonia lebih tinggi kerana piawai yang dibenarkan adalah maksima 15 mg/liter atau 25 mg/liter (bergantung lokasi sungai).

Ini bermakna pengendali LPA seperti Puncak Niaga sememangnya tahu bahawa wujud kemungkinan bahawa kandungan ammonia di dalam air sungai yang tinggi terutamanya apabila musim panas kerana kekurangan hujan. Dalam keadaan kita boleh merujuk kepada ramalan cuaca, bermakna pengendali LPA seperti Puncak Niaga sepatutnya boleh menduga tempoh tertentu yang mana kadar kandungan ammonia di dalam air sungai lebih tinggi yang boleh menjejaskan bekalan air.

Persoalan yang saya timbulkan ialah kenapa tidak ada tindakan proaktif sebelum ini di pihak Puncak Niaga (dan SYABAS kerana kedua-duanya dikawal oleh kepentingan yang sama) untuk menaiktaraf LPA sedia ada agar LPA-LPA ini boleh mengambil air sungai berkandungan ammonia yang lebih tinggi dari 1.5 mg/liter kerana perkara ini boleh dibuat.

Saya difahamkan Puncak Niaga sudah pun bersetuju untuk memasang sistem penapis (filtering system) yang menggunakan Sodium Aluminosilicate yang menelan belanja RM5 juta yang dijangkakan akan meningkatkan keupayaan kedua-dua LPA itu memproses air berkandungan ammnoia yang lebih tinggi dari 1.5 mg/liter.

Masalahnya, pemasangan sistem penapis baru ini akan mengambil masa lebih enam bulan dari sekarang dan tidak akan menyelesaikan masalah bekalan air sekarang.

Bukankah jika tindakan ini diambil lebih awal, dengan mengambil kira ramalan cuaca, masalah gangguan bekalan air yang kini menyusahkan rakyat di seluruh Selangor dapat dielakkan?
Sebab itu saya mengkritik kelemahan perancangan SYABAS dan Puncak Niaga yang tidak menduga lebih awal keperluan menggantikan sistem penapis kepada Sodium Aluminosilicate yang jika dibuat lebih awal telah dapat mengelakkan masalah bekalan air sekarang.

Tindakan jangka pendek iaitu menggunakan kolam-kolam air berdekatan dengan hilir Sungai Langat untuk mencairkan air sungai yang digunakan oleh LPA Bukit Tampoi perlulah dilaksanakan segera kerana kosnya hanyalah sekitar RM360,000 sebulan.

Saya akan terus menyuarakan bantahan kepada mana-mana pihak yang saya fikir tidak meletakkan kepentingan awam sebagai keutamaan nombor satu dalam memastikan bekalan air yang baik kepada penduduk di kawasan saya iaitu Pandan dan rakyat Selangor amnya.

Jika ini bermakna saya akan berdepan dengan tindakan undang-undang, ini bukan kali pertama saya diheret ke mahkamah apabila bersuara di dalam isu berkepentingan awam.

Cuma SYABAS dan Puncak Niaga (serta tuan punyanya) nampak dangkal apabila ia sanggup membazirkan wang membayar peguam menyaman wakil rakyat seperti saya, sedangkan wang itu lebih baik digunakan untuk menukar sistem penapis di loji-lojinya supaya kegagalan yang menyebabkan penutupan dua LPA di Batu 11 Cheras dan Bukit Tampoi dapat dielakkan di masa akan datang.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

21 Februari 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.