Turunkan Harga Kereta Dulu Sebelum Naikkan Harga Minyak

Laporan The Edge yang menyebut bahawa Malaysia mempunyai harga kereta yang kedua tertinggi di dunia tidaklah mengejutkan. Struktur cukai kereta yang melampau tingginya menyebabkan rakyat Malaysia terpaksa membayar harga lebih kurang satu kali ganda lebih mahal berbanding rakyat negara lain.

Sebab itu rakyat tidak boleh berkompromi apabila Barisan Nasional menaikkan harga minyak kerana ia tidak adil di kala cukai yang dikenakan ke atas kereta adalah antara yang tertinggi di dunia.

Barisan Nasional sering mengungkit kononnya rakyat Malaysia tidak membayar harga pasaran bagi seliter petrol atau diesel, lalu dijadikan alasan untuk menaikkan harga minyak. Sebaliknya Barisan Nasional tidak pula mahu menurunkan harga kereta supaya rakyat Malaysia juga membayar harga pasaran bagi sebuah kereta, seperti mana rakyat negara lain.

Sebenarnya, sebuah isirumah purata rakyat Malaysia (keluarga berpendapatan bawah RM5,000 sebulan yang dianggarkan membentuk 70% dari keluarga Malaysia) membayar lebih banyak cukai dan tol berbanding
jumlah subsidi minyak yang diperolehi.

Secara purata sebuah isirumah menggunakan 300 liter petrol sebulan. Dengan subsidi sebanyak 63 sen setiap satu liter, ini bermakna sebuah isirumah menerima subsidi minyak sebanyak RM189 sebulan.

Bagi sebuah kereta berharga RM60,000 yang dibayar secara ansuran selama 7 tahun (seperti amalan biasa sebuah isirumah), duti eksais kereta dan bayaran faedah ke atas duti eksais kereta dianggarkan
sebanyak RM3,565 setahun, bersamaan sekitar RM300 sebulan.

Ini bermakna, Barisan Nasional mencukai rakyat Malaysia dalam bentuk duti eksais kereta sebanyak RM300 sebulan sedangkan subsidi minyak yang diterima hanyalah RM189 sahaja bagi setiap isirumah purata.

Ini adalah ketidakadilan yang nyata dan jelas menindas rakyat. Lebih teruk apabila Barisan Nasional enggan pula mengakui hakikat bahawa ia mencukai rakyat lebih banyak dari subsidi minyak yang diwar-warkan.

Saya akan terus bersuara menentang sebarang usaha menaikkan harga minyak selagi harga kereta tidak diturunkan, kalau benar Barisan Nasional mahu harga minyak mengikut pasaran dunia.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi PKR
Ahli Parlimen Pandan

4 thoughts on “Turunkan Harga Kereta Dulu Sebelum Naikkan Harga Minyak”

  1. Assalamualaikum.

    Mr. Rafizi,

    I have faith in you no matter what you are doing to fix this country. Malaysian government is going terribly insane. i hope you do your part to max. May Allah s.w.t be with us. InsyaAllah.

    Wasasalam.

  2. En. Rafizi,

    Tolong buat lebih kajian terhadap Harga kenaikan kereta di sebabkan oleh Penjual.

    Saya beri contoh Harga Kenderaan Hybrid di Malaysia yg tidak di cukai adalah lebih tinggi daripada negara lain.

    Kita lihat di Langkawi dan Labuan, kenderaan dijual pada harga tanpa Cukai namun harga kenderaan masih lebih mahal dari Thailand dan Indonesia.

    Perlu kita alihkan perhatian kepada peniaga yang ingin mengaut keuntungan yg berlebihan. Mereka lah punca rakyat merana.

    Cukai kereta pada saya masih lagi OK, memandangkan kos pemilikan masih relevan. Yang perlu diberi perhatian, Harga rumah yang semakin tidak kecapaian oleh rakyat

    1. En. Halim,

      Apa En. Rafizi katakan adalah betul, mesti faham bahawa kereta Hybrid yang tidak dikenakan cukai tidak murah kerana Hybrid juga bersaing dengan kereta2 lain yang dicukai secara terlampau.

      Yang mesti dilakukan adalah pengurangan cukai “across the board” seperti yang di cadangkan oleh En. Rafizi. Ramai rakyat sudah merana dan bankrap kerana minyak, kereta, gula, rumah yang terlampau.

      Untuk rumah, kerajaan harus membuka lebih tanah kepada usahawan untuk bersaing, terutamanya tanah2 di sekeliling lembah kelang.

  3. Tolong beri lebih perincian dlm bab harga kereta dgn menunjukan harga kereta import spt toyota,BMW, Audi, honda, Proton dsbnya di negara2 ASEAN. Dgn ini pembaca dapat melihat perbandingan struktur harga dgn lebih baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.