Dapatan Kajian Keberhutangan PTPTN

Kajian keberhutangan peminjam PTPTN yang dijalankan oleh KEADILAN telah berjaya menarik penyertaan sebanyak 1,053 responden dalam tempoh seminggu ia dijalankan secara dalam talian. Jumlah responden yang setara dengan kajiselidik-kajiselidik lain (di antara 1,000 hingga 1,500 responden) membayangkan isu ini adalah isu penting terutamanya dikalangan orang muda.

Dapatan dari kajiselidik tersebut disertakan bersama untuk makluman dan penelitian media dan orang ramai.

Download (PDF, 334KB)

Dapatan-dapatan penting dari kajiselidik tersebut adalah seperti berikut:

1. Masalah keberhutangan PTPTN bukanlah dipengaruhi oleh pilihan jurusan seperti yang selalu disebut-sebut oleh sesetengah pimpinan Barisan Nasional. Kajiselidik menunjukkan hanya 23% dari responden adalah dari jurusan seni dan sastera. Majoriti responden adalah dari jurusan sains, kejuruteraan dan IT yang sering dikaitkan dengan peluang kerja yang lebih baik.

2. 90% dari responden ini telah pun bekerja dan majoritinya adalah di tahap professional/eksekutif (iaitu 38% dari responden, diikuti dengan perkeranian/bukan eksekutif sebanyak 29%). 94% dari responden mengakui bahawa PTPTN membebankan, tidak kira jawatan atau gaji mereka.

3. Masalah gaji yang tidak sepadan dengan kos sara hidup adalah masalah terbesar yang dihadapi oleh peminjam. 53% dari peminjam tergolong di dalam kategori kumpulan 40% termiskin (berpendapatan isirumah kurang RM1,900 sebulan), sementara 80% dari peminjam berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan. Gaji yang rendah ini menyebabkan bayaran bulanan PTPTN menjadi bebanan berat kepada mereka.

4. 54% dari responden pernah membayar ansuran PTPTN. Peratusan yang besar iaitu 29% pernah membayar tetapi kemudiannya berhenti atas sebab-sebab tertentu.

5. 36% responden menyalahkan kos pentadbiran yang tinggi dan tidak adil sebagai sebab kenapa mereka tidak membayar ansuran PTPTN dengan sempurna, sementara 39% lagi menyebut kekangan kewangan akibat gaji yang rendah dan kos sara hidup yang tinggi sebagai sebab utama.

6. Dua tema utama yang dituntut oleh peminjam PTPTN adalah sama ada pemansuhan terus PTPTN (41%) atau pemansuhan kos pentadbiran/kadar faedah yang membebankan (42%).

Berdasarkan dapatan ini, KEADILAN percaya bahawa langkah seterusnya sementara menunggu pelaksanaan pendidikan percuma bila mana Pakatan Rakyat berkuasa kelak ialah dengan menggerakkan kempen untuk menuntut penghapusan kos pentadbiran pinjaman PTPTN. Kami percaya dengan suntikan sebanyak RM800 juta setahun untuk menghapuskan faedah ini, lebih ramai peminjam PTPTN yang akan mula membayar dan mereka yang telah berhenti membayar akan turut membayar kembali.

KEADILAN juga sedang berbincang dengan aktivis-aktivis PTPTN agar satu pertubuhan peminjam PTPTN ditubuhkan untuk membela nasib peminjam PTPTN. Pertubuhan ini perlu bebas dari parti politik dan pandangan mereka sangat berguna dalam menyelesaikan kemelut peminjam PTPTN. Saudara Nik Nazmi telah dipertanggungjawabkan mengetuai pasukan KEADILAN berunding dan bekerjasama dengan aktivis-aktivis PTPTN ke arah itu.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

NIK NAZMI AHMAD
Pengarah Komunikasi

3 SEPTEMBER 2013

2 thoughts on “Dapatan Kajian Keberhutangan PTPTN”

  1. Terima kasih atas usaha menjalankan kaji selidik ini walaupun dengan sumber yg terbatas.

    Mohon kajian (extended) ke pinjaman PTPTN atau seumpamanya berkaitan dengan kadar kebankrupan atas pinjaman peribadi, 13%, (sumber:http://goo.gl/aUFfoI).

    Pinjaman pelajaran juga diklasifikasikan sebagai pinjaman peribadi (sila betulkan jika salah), dimana kadar pinjaman untuk peringkat diploma (± RM20k, 2-3thn) & sarjana muda (± RM40k, 3-4thn) di IPTS tempatan. Oleh itu, pinjaman pendidikan yg dibuat mendedahkan pelajar2 risiko bangkrup, jika mempunyai masalah untuk membayar. Jadi, diminta supaya kajian ini dibolehkan supaya pinjaman berkaitan pelajaran diklasifasikan kepada pinjaman pelajaran (khas berkecuali – exclusif), tidak berkait dengan risiko undang2 pinjaman biasa(kereta, rumah dll) yg boleh menyebabkan pelajar yang membuat pinjaman disenaraihitamkan di CTOS, CCRIS & seumpamanya lalu jatuh bankrup.

  2. Ramai juga telah disaman bankrap dan tiada option untuk membayar secara bulanan mengikut kemampuan masing masing.

    Ada yang terpaksa mengambil personal loan untuk membayar hutang yang dituntut secara lump sum.

    Apakah statistik student disaman bankrap kerana tidak dapat menjelaskan biasiswa?

Leave a Reply to syawal Cancel reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.