Tuduhan Rasuah Berhubung Pengurusan Balak Di Bawah Pentadbiran Dato’ Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu

Umno/Barisan Nasional menumpukan sepenuh serangan terhadap kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat (terutamanya Kedah) dengan tuduhan pelbagai kelemahan pengurusan balak. Namun, sehingga kini masih belum ada satu pendakwaan pun yang dibuat berhubung pelbagai tuduhan ini yang menunjukkan ia hanya satu serangan politik yang tidak berasas.

Pada masa yang sama, YB Dr Syed Azman dan saya telah sama-sama mengumpul bukti dan maklumat yang secara jelas menunjukkan modus operandi bagaimana rasuah dan penyelewengan berlaku di dalam pengurusan balak di Terengganu, di bawah pentadbiran YAB Dato’ Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu.

Hari ini, kami tampilkan bukti-bukti awal perkara ini sementara menunggu reaksi dan jawapan dari Dato’ Seri Ahmad Said dan pimpinan Umno/Barisan Nasional di peringkat pusat.

Kajian kami menunjukkan modus operandi pengutipan wang rasuah bersabit balak di Terengganu adalah seperti berikut:

  1. Syarikat yang ditawarkan kawasan pembalakan dikehendaki memeterai satu perjanjian pembelian saham (Share Sale Agreement) dengan seorang penama/proksi untuk membeli saham sebuah syarikat
  2. Syarikat yang dipunyai penama/proksi yang dijual ini selalunya hanyalah berharga RM2 sahaja
  3. Syarikat ini dijual pada harga yang cukup tinggi dan tidak berpadanan dengan aset dan kedudukan syarikat tersebut yang tidak mempunyai sebarang aktiviti perniagaan
  4. Secara kebetulan, syarikat-syarikat yang terpaksa membeli saham syarikat dormant pada harga yang tinggi ini dianugerahkan hak membalak di kawasan-kawasan yang ditentukan oleh Kerajaan Negeri Terengganu
  5. Wang dari jualan tersebut disyaki disalurkan kembali kepada orang-orang tertentu yang mempunyai pengaruh untuk menentukan hak membalak.

Pada 17 Julai 2012, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu mengeluarkan surat kelulusan membalak kepada sebuah syarikat bagi kawasan seluas 1,000 ekar di Hutan Simpan Hulu Setiu. Keputusan itu diluluskan oleh Mesyuarat Lembaga Mengambil Hasil Hutan yang dipercayai dipengerusikan sendiri oleh Dato’ Seri Ahmad Said.

Pihak kami juga telah berjaya menjejaki penama dan syarikat yang terbabit di dalam satu urusniaga pembelian saham (Share Sale Agreement) seperti mana yang digambarkan di atas. Satu perjanjian telah ditandatangani pada 28 Disember 2011 (iaitu 6 bulan sebelum kelulusan membalak dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu) agar syarikat terbabit membayar RM2.5 juta untuk membeli sebuah syarikat dormant bernama Berkat Seribumi Sdn Bhd, yang hanya mempunyai saham berbayar RM2 sahaja.

Kami mempunyai bukti-bukti lain yang jelas bahawa perjanjian ini ada kena mengena dengan kelulusan membalak yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pengurusan Dato’ Seri Ahmad Said.

Bukti-bukti ini akan terus dikeluarkan dalam tempoh 2 minggu ini menjelang pilihanraya umum ke-13 sementara menunggu jawapan rasmi dari beliau dan keseluruhan kepimpinan Umno/Barisan Nasional.

Buat masa sekarang, kami menasihati supaya media-media milik Umno/Barisan Nasional tidak terlalu ghairah mereka-reka cerita mengenai penyelewengan balak di negeri-negeri Pakatan Rakyat kerana kes rasuah balak di negeri Terengganu adalah lebih besar dan lengkap dengan bukti-buktinya.

YB DR SYED AZMAN SYED AHMAD NAWAWI
ADUN BATU BURUK/TIMBALAN SETIAUSAHA AGONG PAS

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

26 FEBRUARI 2013

(Muat Turun) Salinan dokumen;
1) Surat kelulusan membalak daripada Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu

2) Penama dan syarikat yang terbabit di dalam satu urusniaga pembelian saham (Share Sale Agreement).

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.