Awan Megah Sdn. Bhd. Akan Memeterai Perjanjian Perkongsian Tanah Dengan Jendela Hikmat Sdn. Bhd.

Semakan perjanjian membangunkan tanah-tanah seluas 223 ekar milik Kerajaan Persekutuan yang akan diserahkan kepada Awan Megah Sdn Bhd (milik Raja Ropiaah Raja Abdullah, Ketua Wanita Umno) menunjukkan bahawa ada beberapa urusniaga tanah yang belum didedahkan sepenuhnya oleh Umno/Barisan Nasional.

Perkara 3.2 (Article 3.2) perjanjian di antara Awan Megah Sdn Bhd dan Bakti Wira Sdn Bhd itu menyebut bahawa Awan Megah Sdn Bhd akan menandatangani satu Perjanjian Perkongsian Tanah (Land Sharing Agreement) dengan Jendela Hikmat Sdn Bhd, satu lagi anak syarikat milik Boustead Holdings Berhad termasuklah bagi tujuan pemindahan hakmilik tanah kepada Awan Megah Sdn Bhd.

Jendela Hikmat Sdn Bhd adalah syarikat pemaju milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melalui Boustead Holdings Berhad. Selain diberikan pelbagai projek penswastaan untuk membina kem tentera dan lain-lain, ia juga dianugerahkan bank tanah yang luas bagi membiayai aktivitinya. Salah satu bank tanah terbesar adalah bersebelahan dengan tanah seluas 223 ekar yang kini mahu dipindahmilik kepada Raja Ropiaah Raja Abdullah melalui Awan Megah Sdn Bhd.

Oleh sebab itulah, perjanjian baru di antara Awan Megah Sdn Bhd dan Jendela Hikmat Sdn Bhd melalui Perjanjian Perkongsian Tanah ini menimbulkan syak wasangka bahawa akan ada lot-lot tanah yang akan dipindahmilik kepada Raja Ropiaah Raja Abdullah sebagai ganti kepada tanah seluas 200 ekar yang diserahkan kepada Bakti Wira Sdn Bhd, seperti mana perjanjian sedia ada masih memperuntukkan tanah seluar 23 ekar secara senyap-senyap kepada Raja Ropiaah Raja Abdullah disamping wang pampasan RM130 juta yang diterima beliau.

Saya menyeru Dato’ Seri Zahid Hamidi supaya berterus terang mengenai perkara ini dan mendedahkan secara terperinci berapa ekar tanah yang akhirnya akan dipindahmilikkan.

kepada Raja Ropiaah Raja Abdullah, melalui pelbagai perjanjian yang dimeterai di antara anak-anak syarikat LTAT dengan Awan Megah Sdn Bhd?

Walau bagaimana pun, perjanjian sedia ada memberi sedikit ruang untuk menghentikan keseluruhan urusniaga yang merugikan anggota tentera dan rakyat ini.

Perkara 8.1(e) (Article 8.1(e)) menyebut bahawa Awan Megah Sdn Bhd memberi jaminan ia tidak pernah dan masih belum menerima sebarang notis pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

Perkara 8.1(g) (Article 8.1(g)) pula adalah berkenaan jaminan Awan Megah Sdn Bhd bahawa tidak ada sebarang tindakan dari mana-mana badan kerajaan yang mempengaruhi kemampuannya melaksanakan tanggungjawabnya mengikut kontrak itu.

Perkara 8.2 (Article 8.2) memberi kuasa kepada Astacanggih Sdn Bhd (kini milik LTAT) untuk membatalkan perjanjian ini sekiranya semua jaminan yang dibuat di dalam Perkara 8.1(e) dan 8.1(g) itu tidak tepat dan tidak lagi sah.

Oleh yang demikian, saya telah menulis secara rasmi kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor agar mempertimbangkan mengeluarkan notis pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960. Apabila notis ini dikeluarkan, secara automatik Perkara 8.2 di dalam perjanjian berkuatkuasa dan wajarlah keseluruhan urusniaga ini dibatalkan seperti yang diperuntukkan di dalam perjanjian.

Jika Dato’ Seri Zahid Hamidi melalui Boustead Holdings Berhad masih berkeras mempertahankannya, bermakna beliau terpaksa tunduk kepada tekanan politik tertentu.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

26 FEBRUARI 2013

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.